Cara memotivasikan murid dalam bilik darjah
Definisi Motivasi
Motivasi boleh didefinasikan sebagai kemahuan dalam diri seseorang untuk melakukan sesuatu bagi mencapai matlamat. Menurut Strenberg (2001), motivasi bererti dorongan atau keperluan yang memimpin kepada sesuatu tindakan. Selain itu, motivasi turut melibatkan sesuatu proses yang memberikan kuasa dan arahan yang menggerakkan tingkah laku seseorang. Menurut Mohd Zaaba dan Zuraida (2004), motivasi belajar ditakrifkan sebagai usaha dan kemahuan individu untuk belajar, bekerja kuat dan mencapai prestasi cemerlang di sekolah. Motivasi adalah aras insentif yang terdapat pada seseorang dalam usaha untuk mencapai matlamat akademik yang berkait rapat dengan keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap usaha yang dilakukan (Mohd Zaaba dan Zuraida, 2004). Menurutnya lagi, jika seseorang pelajar terdorong untuk belajar dengan tekun bagi mencapai keputusan cemerlang maka pelajar itu adalah pelajar bermotivasi. Selain daripada itu, motivasi tidak hanya terikat kepada pembelajaran semata-mata.
Kepentingan Motivasi
Motivasi mempunyai beberapa kepentingan untuk proses pengajaran dan pembelajaran murid. Kepentingan yang pertama adalah untuk menarik minat murid bagi mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran. Murid yang bermotivasi akan bersemangat untuk mengikuti pengajaran oleh guru dan memberikan sepenuh perhatian terhadap pengajaran. Hal ini akan mecetuskan kepentingan yang kedua iaitu meningkatkan daya pemahaman murid terhadap sesuatu pembelajaran. Murid yang bermotivasi akan lebih memahami pengajaran guru kerana mereka memberikan sepenuh perhatian sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Selain itu, motivasi juga penting untuk mewujudkan keghairahan untuk belajar. Pelajar yang bermotivasi akan meningkatkan usaha mereka untuk tidak hanya bergantung pada pengajaran guru tetapi juga berusaha untuk menambah pengetahuan sedia ada.
Terdapat 8 jenis motivasi yang boleh dikembangkan oleh guru di dalam kelas iaitu motivasi tugas, motivasi aspirasi, motivasi persaingan, motivasi afiliasi, motivasi kecemasan, motivasi menghindar, motivasi penguatan dan motivasi yang diarahkan oleh diri sendiri. Motivasi tugas adalah motivasi yang ditimbulkan oleh tugas-tugas yang ditetapkan manakala motivasi aspirasi yang tinggi akan dapat dipupuk sekiranya pelajar memiliki perasaan ingin berjaya. Guru dapat membantu pelajar yang memiliki motivasi aspirasi yang rendah dengan menggalakan pelajar tersebut untuk mengejar citi-citanya. Bagi motivasi persaingan pula dapat diterapkan melalui persaingan yang sihat sekaligus menjadi motivasi yang kuat. Namun begitu, guru haruslah mengawal motivasi ini kerana persaingan yang tidak sihat mampu menjejaskan motivasi pelajar.
Motivasi afiliasi adalah dorongan untuk melaksanakan kegiatan belajar dengan sebaikbaiknya, kerana ingin diterima dan diakui oleh orang lain manakala motivasi kecemasan sangat berkesan untuk meningkatkan usaha dan hasil belajar pelajar yang bermotivasi rendah dan yang memiliki kecerdasan tinggi. Sebagai contoh, guru subjek kimia boleh meningkatkan motivasi pelajarnya untuk menghafal simbol kimia dengan mengadakan kuiz ringkas pada permulaan setiap kelas mengenai simbol kimia. Hal ini akan mencetuskan motivasi kecemasan di dalam diri pelajar sekaligus mendorong pelajar untuk belajar. Motivasi penguatan dapat ditimbulkan melalui diagram kemajuan belajar murid, memberikan komentar pada setiap kertas tugas, ujian dan peperiksaan pelajar dan memberikan penghargaan. Motivasi ini dapat dilaksanakan dengan memberi penghargaan dan pujian sekiranya terdapat peningkatan dalam prestasi pelajar dan memberi nasihat sekiranya terdapat sebarang penurunan dari segi prestasi murid. Motivasi yang diarahkan oleh diri sendiri sangat berkesan dalam meningkatkan motivasi pelajar dalam belajar. Pelajar-pelajar yang mempunyai motivasi ini menunjukkan tingkah laku yang mandiri dalam belajar dan mempunyai sistem nilai yang baik yang menjadi latar belakang tingkah laku mereka. Oleh itu, sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran guru seharusnya memberikan aktiviti yang bersesuai dengan pelajar.
Cara-Cara Memotivasikan Murid
Terdapat 2 teknik motivasi iaitu teknik intrinsik dan teknik ekstrinsik. Teknik intrinsik ialah dorongan dalaman dan minat yang terdapat dalam diri seseorang untuk melakukan sesuatu tanpa memikirkan ganjaran dan boleh diwujudkan secara semula jadi tetapi boleh terbentuk dari pengalaman dan pembelajaran. Contohnya, tabiat membaca buku cerita dan bermain alat muzik. Teknik ekstrinsik pila boleh diwujudkan daripada rangsangan luaran dengan tujuan menggerakkan seseorang untuk melakukan sesuatu aktiviti yang akan membawa faedah kepadanya.
Antara ciri-ciri pelajar bermotivasi ialah mereka sentiasa rajin untuk datang ke sekolah lebih awal, ingin ke perpustakaan, gemar membaca dan menganggap peperiksaan sebagai satu cabaran. Dalam hal ini, guru adalah individu yang bertanggungjawab untuk memberikan motivasi kepada murid. Kajian menunjukkan kebanyakan pelajar tidak cemerlang dalam kerja rumah dan tugasan kerana mereka tidak tahu apakah tujuan melaksanakan kerja dan tugasan tersebut. Sebagai seorang pendidik, guru haruslah memberi penjelasan terhadap pelajarnya mengenai beberapa perkara tersebut.iaitu sebab-sebab tugasan yang diberikan penting, perkaitan antara subjek dengan kehidupan dan memastikan pengetahuan asas pelajar mantap serta caracara bagi menilai hasil kerja mereka.
Selepas pelajar jelas akan perkara-perkara di atas, ini mungkin dapat membantu pelajar memahami kepentingan mereka melaksanakan tugas sebagai seorang pelajar. Di sini terdapat beberapa cara dan kaedah yang boleh diambil oleh seorang guru untuk meningkatkan tahap motivasi dalam diri pelajar.
1. Ganjaran
Pelajar yang tidak mempunyai motivasi dalaman yang kuat boleh dimotivasikan secara luaran dengan menyediakan pelbagai bentuk ganjaran. Antaranya, mengenal pasti kebaikan dan kelebihan pelajar dan suburkanya dan mereka pasti akan mengulangi kebaikan ini pada masa akan datang. Pelbagai bentuk ganjaran boleh diberikan seperti hadiah, puji-pujian, markah bonus, dan sebagainya. Ganjaran bukan sahaja diberikan terhadap pencapaian yang diperolehi tetapi juga terhadap usaha yang diberikan. Berikan insentif agar pelajar berusaha untuk menguasai pengetahuan dan maklumat tetapi juga bersaing antara satu sama lain untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Ganjaran luar yang berkesan secara tidak langsung mampu menjana motivasi dalaman pelajar.
2. Tetapkan Matlamat
Guru yang mengajar setiap mata pelajaran haruslah menetapkan matlamat bagi setiap pelajarnya iaitu bagi setiap subjek yang dipelajarinya. Guru tersebut juga perlu mengikuti perkembangan pelajar dan memastikan setiap pelajar mampu merealisasikan matlamat masing-masing. Contohnya, bagi subjek Biologi, guru yang mengajar subjek tersebut haruslah menetapkan matlamat kepada pelajar bahawa mereka harus faham tentang topik yang diajar pada hari tersebut di akhir kelas. Jika matlamat tersebut tidak dapat dicapai, guru harus membimbing pelajar supaya matlamat tersebut tercapai.
3. Mengambil Berat
Pelajar akan memberikan respon yang positif terhadap guru yang mengambil berat mengenai diri dan masalah mereka. Memahami adalah lebih baik dari menghukum. Ada ketikanya guru perlu bercerita mengenai pengalaman sendiri. Misalnyanya, memberitahu kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukan sebagai satu teladan untuk pelajar. Keadaan ini kerana melalui cara ini dapat mewujudkan kemesraan antara hubungan guru dan pelajar. Ada ketikanya guru perlu bertemu pelajar secara personal untuk membuktikan yang guru benar-benar mengambil berat tentang mereka di samping guru haruslah mencuri sedikit masa supaya sesi perbincangan secara personal dapat dilakukan kepada semua pelajar.
4. Penglibatan Pelajar
Salah satu kunci motivasi diri ialah penglibatan aktif pelajar dalam pembelajaran. Guru memainkan peranan untuk merangsang pelajar untuk terlibat dalam aktiviti seperti perbincangan dalam kumpulan, penyelesaian masalah, aktiviti luar bilik darjah, dan interaksi antara pelajar dan guru. Pelajar akan lebih bermotivasi apabila mereka merasakan diri mereka penting dan diperlukan. Keadaan ini penting berikutan apabila pelajar berasa diri mereka diperlukan secara tuntasnya mereka akan lebih bersemangat untuk belajar dan berjaya. Oleh itu, kesemua pelajar perlu terlibat dalam setiap aktiviti yang dilakukan.
5. Penuhi Keperluan Pelajar
Guru mestilah sedar bahawa setiap pelajar memerlukan daya hidup, kasih sayang, kuasa memilih, keseronokan dan kebebasan. Contohnya, memberikan peluang kepada pelajar memilih satu dari dua tiga tajuk untuk disiapkan atau memberikan mereka membuat pilihan membuat tugasan berkumpulan mengikut tajuk pilihan sendiri. Seperti yang diketahui, pelajar yang sedang melalui alam remaja lebih mahukan kebenasan dan mahu individu lain memahaminya. Oleh itu, hubungan antara guru dan pelajar haruslah berterusan supaya pelajar dapat berkomunikasi serta mewujudkan silaturrahim baik dengan guru. Guru juga perlu menciptakan suasana pembelajaran yang seronok dan menarik yang membolehkan mereka bebas menyumbangkan idea dan ini akan mengaktifkan dan menaikkan semangat murid untuk berfikir dan menghasilkankan idea baru.
6. Lebihkan Pembelajaran Visual
Berikan penerangan dalam bentuk visual agar pelajar mampu memahami dan mengingati dengan lebih berkesan. Gunakan bahan-bahan seperti gambar, lakaran, graf, carta, imej 3D, video, dan sebagainya. Berikan gambaran jelas dengan peta konsep agar pelajar tahu kandungan penting tentang sesuatu bab dan dapat melihat perkaitan antara subtopik dalam bab tersebut. Hal ini membolehkan pelajar membentuk rangka asas terhadap sesuatu topik baru dan seterusnya menimbulkan minat dan meningkatkan pemahaman mereka. Kini, kerajaan telah menyediakan prasarana ICT di dalam kelas seperti projektor, LCD, dan skrin yang membolehkan guru menggunakannya untuk menanyangkan video serta nota dalam bentuk powerpoint yang berkaitan dengan subjek yang diajar di dalam kelas. Melalui kaedah ini, pelajar-pelajar akan lebih memahami dengan jelas dan sekali gus menaikkan motivasi untuk belajar dalam diri pelajar.
7. Gunakan Pelbagai Emosi Untuk Merangsang Pembelajaran Dan Motivasi
Kekuatan memori ada kaitannya dengan tahap emosi yang membentuk pengalaman seseorang. Pelajar akan lebih mudah mengingat dan memahami sesuatu apabila disertai dengan pendekatan emosi. Pelajar lebih bersedia untuk belajar apabila terdapat unsur-unsur kepelbagaian emosi kerana mereka tidak akan mudah berasa bosan. Guru haruslah mempelbagaikan watak, gaya, dan pendekatan demi menarik minat pelajar terhadap apa yang ingin disampaikan. Hakikatnya, siapa guru tidak penting yang penting ialah siapa mereka iaitu pelajar 10 hingga 15 tahun akan datang. Setiap pendekatan emosi yang diambil sama ada marah, menghiburkan, tegas, dan sebagainya tidak lain hanya sekadar lakonan yang tujuannya untuk membentuk dan mendidik.
8. Strategi dan Teknik
Berikan kaedah kepada pelajar mengenai teknik pembelajaran berkesan, pengurusan masa, kaedah membaca, kaedah mengambil nota, dan sebagainya. Tanamkan dalam fikiran pelajar bahawa µBelajar Itu Mudah¶. Buangkan sebarang halangan mental terhadap pelajaran akibat terpengaruh oleh pendapat orang lain. Contohnya, situasi ini sering berlaku kepada pelajarpelajar tingkatan empat yang ingin membuat pilihan aliran yang ingin diambil. Mereka sering terpemgaruh dengan pandangan rakan-rakan dan senior-senior mereka yang mengatakan aliran sains adalah aliran yang paling sukar, subjek Matematik Tambahan adalah subjek yang amat susah dan sebagainya. Mereka tidak sepatutnya terus terpengaruh dengan andaian-andaian tersebut. Jadi, guru haruslah memainkan peranan menjadi penasihat dan memberikan cadangan yang sesuai seiring dengan keupayaan pelajar-pelajar tersebut.
9. Terima Pelajar Seadanya
Ramai guru berkata bahawa mereka lebih suka sekiranya pelajar rajin, pandai, gigih, tekun, dan berdisiplin. Mereka tidak sanggup menerima kenyataan bahawa tidak semua pelajar begitu serta . tidak memberikan perhatian kepada pelajar yang bermasalah. Pelajar ini juga tidak dipedulikan kerana mereka menganggap pelajar tersebut sukar dibentuk. Guru yang cemerlang akan terima pelajar seadanya dan menjangkakan kejayaan untuk setiap pelajar. Hanya dengan memberikan yang terbaik sahaja seorang guru akan merasa puas dengan kariernya. Ramai pelajar gagal kerana guru tidak yakin dan memberikan ramalan awal bahawa mereka akan gagal.
KESIMPULAN
Secara konklusinya, pengurusan murid merangkumi aspek utama yang terdiri daripada merekod murid, persediaan murid untuk belajar dan memotivasikan murid. Bagi mendapatkan impak yang berjaya pengurusan murid disesebuah institusi pendidikan tersebut haruslah dikendalikan dengan penuh komitmen dan kerjasama dari semua pihak yang terlibat seperti jawatan tertinggi di sekolah yang mentadbir sekolah dan dibantu pula oleh guru, kaunselor serta ibu bapa murid itu sendiri.
Suatu pengurusan murid yang baik dapat melahirkan murid yang cemerlang dan mempunyai semangat untuk belajar yang tinggi kerana melalui rekod pelajar yang dicatat oleh guru bagi seseorang pelajar merangkumi segala perkembangan, kebolehan, kemajuan serta pencapaiaan murid. Maka, segala yang telah direkodkan boleh dijadikan rujukan bagi guru dan ibu bapa untuk membantu memastikan murid tersebut dapat mengekalkan prestasi akdemik dan juga sahsiah murid serta dapat membantu pihak sekolah untuk menghubungi keluarga murid sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini kepada pelajar seperti kemalangan atau perkara yang berkaitan displin.
Selain daripada itu, pengurusan murid juga dapat membantu menarik minat murid untuk belajar kerana melalui persedian sebelum belajar yang telah disediakan oleh pihak sekolah. Persedian yang dimaksudkan adalah persediaan dari segi kognitif, afektif dan juga psikomotor. Hal ini dapat membantu murid untuk lebih bersedia dan berkeyakinan sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Misalnya, antara persediaan dari segi kognitif yang boleh disediakan adalah dengan mendedahkan murid terhadap sukatan pelajaran dalam mata pelajaran yang akan mereka pelajari. Secara tidak langsung, murid akan lebih bersedia untuk memulakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Pengurusan murid yang sempurna juga melibatkan proses memotivasikan murid. Bagi melengkapkan sebuah pengurusan murid yang baik, sesebuah sekolah haruslah peka serta mengetahui cara-cara untuk memotivasikan murid. Antara insiatif yang boleh dilakukan adalah dengan menempatkan kaunselor di sekolah tersebut. Memotivasikan pelajar amat penting kerana perkara ini bukan sahaja untuk memotivasikan murid supaya lebih cenderung di dalam akademik tetapi untuk menangani masalah displin serta salah laku murid. Melalui pendekatan ini mungkin lebih sesuai untuk membentuk akhlak dan sahsiah murid serta memotivasikan murid untuk lebih bersemangat untuk belajar atau menghadapi sesuatu peperiksaan.
Seperti mana yang sering diperkatakan, sesuatu perkara tersebut tidak akan dapat dijayakan sekiranya tiada kerjasama. Secara tuntasnya, kerjasama semua pihak haruslah dipertingkatkan bagi memastikan pengurusan murid yang berkesan dapat dilakukan kerana pengurusan yang berjaya akan menjadi pemangkin prestasi murid.
Post a Comment