Tajuk Artikel : Program Intervensi Kemahiran Membaling Bola Terhadap Pelajar Autisme Sekolah Menengah : Satu Kajian Kes
Penulis : Tan Teck Bee & Loh Sau Cheong
Bilangan muka surat : 17 muka surat
Sumber : Fakulti Pendidikan Universiti Malaya


Jurnal yang ditulis oleh TAN TECK BEE & LOH SAU CHEONG adalah untuk membantu pelajar-pelajar berkeperluan khas memaksimumkan peluang pembelajaran. Kajian ini bertujuan untuk meninjau keberkesanan program intervensi kemahiran membaling bola serta mengenal pasti kebolehan pelajar-pelajar autisme membaling bola tepat pada sasaran. Oleh itu program intervensi yang dirancang harus berdasarkan kebolehan dan keperluan individu (Eaves & Pottet, 2000).

Kajian kes ini dijalankan ke atas tiga orang pelajar autisme sekolah menengah dalam program intervensi kemahiran membaling bola. Kemahiran membaling bola pada aras bahu dalam kajian ini adalah berpandukan buku The Biomechanics of Sports Techniques (Hay, 1993) dan Retarded  Kids Need To Play
(Hirst & Michaelis, 1983). Setiap pelajar mempunyai Rancangan Pendidikan Individu (RPI). Pengajaran kemahiran membaling bola adalah berasaskan pencapaian subjek dalam ujian kemahiran bagi sesi latihan sebelumnya. Setiap responden mempunyai ciri-ciri yang berbeza dan memiliki tahap autisme yang berbeza.

Saya berpendapat kaedah pemerhatian yang digunakan penulis sangat sesuai kerana perlakuan setiap fasa dapat diperhatikan dengan jelas. Pembahagian pelakuan mengikut fasa dapat membantu penulis mengesan kekuatan dan kelemahan responden. Pembahagian kemahiran kepada tiga fasa adalah penting kerana ia dapat menyenangkan penyelidik mengesan kesalahan perlakuan subjek
(Hay, 1993). Pembahagian skor juga dapat membantu penulis mengumpulkan skor yang dikumpulkan mengikut tahap pencapaian responden. Penulis turut menyatakan bagaimana sesuatu kemahiran diuji. Setiap responden memulakan kemahiran dengan memanaskan badan dan seterusnya melakukan kemahiran asas yang lain seperti memegang dan membaling bola. Langkah sebegini pada saya perlu kerana responden perlu membiasakan diri dengan perlakuan yang hendak diuji.

Akibat daripada perbezaan tahap kebolehan dasar, aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh setiap subjek pada sesi latih tubi adalah berbeza antara individu. Strategi pengajaran dan pembelajaran yang direka bentuk khas untuk setiap subjek adalah berdasarkan keperluan, kebolehan dan pencapaian subjek dalam setiap sesi latihan. Menurut Khairul Yusri (2007) , perbezaan individu ini adalah dari segi ketidaksamaan aspek perkembangan secara fizikal, mental, sosial, emosi dalam kalangan individu. ketiga-tiga subjek belajar dengan cara yang berlainan. Berdasarkan dapatan kajian, responden belajar melalui kaedah yang pelbagai antaranya demonstrasi dan arahan. Responden berupaya mengubahsuai kesalahan setelah penyelidik memberi maklum balas dan memberitahu kesalahannya. Menurut Teng (2001) bahawa maklum balas yang diberi harus spesifik, serta merta dan positif. Maklum balas merupakan galakan dan dorongan untuk responden meneruskan semangat berlatih.

Penulis turut menyatakan perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh guru untuk mengajar murid-murid autisme. Pelajar-pelajar autisme dalam kategori tahap pembelajaran rendah memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan situasi baru. Menurut Autism Research Institute (2005) , setiap individu autisme memerlukan bantuan. Apabila pelajar pelajar autisme tidak dapat melakukan sesuatu perlakuan, guru harus menghulurkan bantuan agar mereka boleh mencuba. Menurut penulis lagi, Pendidikan Jasmani Suaian yang berdasarkan prinsip-prinsip latihan dan tata cara latihan memberi peluang kepada pelajar-pelajar autisme memperbaiki domain psikomotor, afektif dan kognitif. Oleh itu, Rancangan Pengajaran Individu yang direka bentuk khas untuk setiap subjek perlu sesuai dan dapat menunjukkan keberkesanan program intervensi sesuatu kemahiran. Melalui dapatan kajian juga menunjukkan bahawa pelajar-pelajar autisme mempunyai kebolehan untuk belajar kemahiran motor dan tahap kemahiran mereka boleh ditingkatkan. Saya setuju dengan penulis yang menyatakan pelajar autisme harus diberi peluang pendidikan yang sebaik mungkin untuk memperkembangkan potensi kendiri. Proses kemajuan mereka mungkin lebih lambat daripada pelajar-pelajar normal, namun dengan bantuan dan latihan yang sistematik, mereka tetap boleh mencapai potensi kendiri yang diinginkan.

ULASAN KESELURUHAN

Berdasarkan artikel Aktiviti Pendidikan Jasmani Suaian Pelajar Berkeperluan Khas dan Program Intervensi Kemahiran Membaling Bola Terhadap Pelajar Autisme Sekolah Menengah, terdapat beberapa perkara yang dapat disimpulkan. Pertama, Pendidikan Jasmani yang dilaksanakan secara terancang dan sesuai untuk sesuatu kategori keperluan khas boleh membawa kesan yang positif kepada perkembangan fizikal, emosi dan mental individu. Perlu bagi seseorang guru merancang Rancangan Pengajaran Individu yang baik dan sesuai dengan murid berkeperluan khas agar objektif pembelajaran tercapai. Seterusnya, program intervensi dalam bentuk pendidikan jasmani suaian dapat membantu pelajar-pelajar berkeperluan khas meningkatkan kebolehan motor. Mereka harus diberi peluang pendidikan yang sebaik mungkin untuk memperkembangkan potensi kendiri walaupun proses kemajuan mereka mungkin lebih lambat daripada pelajar-pelajar normal. Setelah didedahkan dengan kemahiran-kemahiran tertentu, mereka mampu melakukan aktiviti fizikal yang lebih berfokus dan dapat melatih diri memaksimakan penggunaan fizikal. Dengan bantuan dan latihan yang sistematik, mereka tetap boleh mencapai potensi kendiri. Malah menurut penulis, guru perlu lebih bersikap penyabar dan positif apabila berdepan dengan kanak-kanak khas ini. Tidak kurang penting juga, mereka perlu peka mengenai perbezaan yang terdapat pada anak didik mereka. Masalah yang dikemukan penulis seperti kekurangan guru pendidikan jasmani yang berkelayakan dan peralatan yang tidak sesuai bagi pelajar khas perlu diatasi dengan segera agar pelajar berkeperluan khas juga mampu mendapat peluang belajar dan beraktiviti seperti pelajar normal. Pendidikan Jasmani perlu dilihat sebagai lebih menyeluruh berbanding dengan subjek lain. Subjek-subjek lain banyak menyentuh aspek kognitif (intelektual), sedikit ruang untuk aspek rohani (afektif) dan hampir tiada ruang untuk aspek psikomotor dan fizikal.  Aktiviti jasmani yang disesuaikan dengan keupayaan pelajar berkeperluan khas boleh membantu golongan ini mengurangkan kelemahan dan masalah yang dihadapi. Aktiviti Pendidikan Jasmani yang bersesuaian perlu disediakan untuk melazimkan keupayaan mereka ke tahap yang optimum bagi menyediakan mereka untuk menghadapi kehidupan sebenar di luar sekolah serta dapat menggalakkan kesejahteraan emosi kepada golongan istimewa ini.

Maklumat Lanjut : www.scribd.com/mohd_muhammad_29





Post a Comment