Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Hubungannya dengan Pendidikan Jasmani Suaian

Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan suatu garis panduan yang sangat penting dalam menentukan bentuk dan perkembangan sistem pendidikan di negara kita. Falsafah Pendidikan Kebangsaan bertindak sebagai dasar, hala tuju dan panduan kepada segala idea dan usaha yang dijalankan bagi meningkatkan mutu dan prestasi pendidikan negara kita. Konsep Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat dinyatakan melalui:
Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Isaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

                    (Kementerian Pendidikan Malaysia 1996)
           
Dapatlah dilihat daripada konsep itu, pendidikan merupakan satu usaha yang berterusan dan berlangsung sepanjang hayat (life long education). Manusia mengalami proses pertumbuhan dan perkembangan yang menyebabkan perubahan berlaku dalam hidup seseorang individu.
       
Oleh sebab itu, latihan kemahiran mahupun pendidikan diperlukan untuk menerima segala perubahan yang berlaku. Persekitaran juga berubah dari semasa ke semasa dan akan menyebabkan perubahan dari segi ketrampilan. Melalui konsep pendidikan sepanjang hayat, perkembangan dalam kehidupan dapat berjalan dengan baik dan lancar.
       
Matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan pula ialah melahirkan insan yang baik dan sempurna supaya menjadi warganegara Malaysia yang baik dan berguna. Dalam erti kata lain, matlamat utama Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah melahirkan rakyat yang memiliki dan menghayati ciri percaya dan patuh kepada Tuhan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara, memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu; dan memupuk perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang kaum. Semua ciri ini merupakan potensi dalam diri individu dan dapat dipupuk. Selain itu, melalui pendidikan (jangka masa panjang), Malaysia dapat:

2.2.1  Melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan boleh memenuhi kewajipannya sebagai seorang warganegara.
2.2.2  Menghasilkan rakyat yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkannya berupaya melaksanakan tugas secara produktif serta sempurna demi memberikan sumbangan terhadap kemajuan dan pembangunan.
2.2.3  Melahirkan rakyat yang boleh memahami dan menerima serta mengamalkan prinsip-prinsip dan cita-cita demokrasi mengikut perlembagaan.
2.2.4  Melahirkan rakyat yang taat setia kepada Raja dan cinta kepada negara.
2.2.5  Melahirkan rakyat yang memahami serta mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara dan bersikap toleransi demi wujudnya perpaduan rakyat berbilang kaum.
2.2.6  mengurangkan jurang perbezaan di antara kaum dengan membekalkan kemudahan-kemudahan asas pendidikan kepada golongan yang kurang berada.
       
Matlamat pendidikan akan menjadi lebih jelas dan tersusun sekiranya elemen-elemen pendidikan dimasukkan dalam ideologi dan aspirasi negara diwujudkan sebagai Falsafah pendidikan Kebangsaan.
           
Falsafah Pendidikan Khas juga mempunyai matlamat yang sama dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu tidak hanya meliputi semua aspek pendidikan sahaja. Ia turut menyediakan perkembangan optima kepada kanak-kanak berkeperluan khas agar dapat berfungsi sebagai individu yang berkemahiran, berdikari, berhaluan, boleh merancang, mengurus kehidupan sendiri, boleh menyedari potensi sendiri dan boleh menyesuaikan diri dalam masyarakat.

Falsafah Pendidikan Khas berteraskan kepada 3 prinsip utama iaitu:
  • Perkembangan individu yang menyeluruh
  • Kepatuhan kepada agama dan negara
  • Pembentukan masyarakat yang berdisiplin dan bersepadu

Falsafah Pendidikan Khas turut menjelaskan bahawa:
  • Setiap kanak-kanak istimewa mempunyai hak terhadap penerimaan pendidikan
  • Perbezaan-perbezaan ilmu yang luas, wujud antara kanak-kanak dalam setiap bidang keistimewaan
  • Tapisan pengenalpastian dan penempatan awal dalam program Pendidikan Khas diperlukan
  • Pendekatan multidisiplin yang melibatkan pakar-pakar pendidik, perubatan, sosiologi dan psikologi
  • Kurikulum dan bahan-bahan khas diperlukan
  • Pendidikan Khas harus menjadi bahagian yang melengkapkan dalam program pendidikan yang menyeluruh
  • Pemerhatian terhadap kanak-kanak yang meninggalkan program Pendidikan Khas serta khidmat penempatan amat diperlukan
  • Program Pendidikan Khas diperkukuhkan lagi melalui pentaksiran berkali-kali tentangnya daripada pendidik, ibu bapa dan orang ramai.
   
Matlamat pendidikan ialah melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan memberi sumbangan terhadap masyarakat dan negara. Di dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan KBSR telah menekankan betapa pentingnya Pendidikan Jasmani yang perlu dijalankan di setiap sekolah (Kementerian Pendidikan Malaysia 1998). Ini kerana PJK merupakan satu-satunya mata pelajaran yang dapat menghasilkan pendidikan yang menyeluruh meliputi domain psikomotor, kognitif, afektif, sosial dan emosi. Pendidikan dalam kelas Pendidikan Jasmani memberi peluang kepada pelajar untuk mencuba dan mengalami proses pembelajaran melalui penglibatan mereka dalam aktiviti fizikal. Colfer, Hamilton dan Magill (1986) berpendapat Pendidikan Jasmani merupakan proses pembelajaran yang berorientasikan tugasan dan dapat menghasilkan kejayaan kepada sesuatu kumpulan pelajar. Oleh itu, mata pelajaran ini memerlukan satu pendekatan pengajaran yang lebih mantap supaya menghasilkan proses pendidikan yang menyeluruh dan berkesan.
   
Dalam aspek hubungan antara Pendidikan Jasmani dengan pendidikan formal pula, Pendidikan Jasmani merupakan penyumbang besar kepada proses asimilasi individu ke dalam masyarakat. Pendidikan formal pula ialah proses di mana masyarakat melalui sekolah, universiti dan lain-lain institusi pengajian menurunkan ilmu pengetahuan dan kemahiran terkumpul daripada satu generasi ke satu generasi. Mata pelajaran pendidikan Jasmani dilihat sebagai lebih menyeluruh berbanding mata pelajaran lain yang hanya banyak menyentuh aspek kognitif (intelek) dan rohani (afektif) sahaja. Dengan penekanan kepada semua aspek dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, adalah penting kepada kanak-kanak berkeperluan khas kerana sebahagian besar daripada mereka mengalami masalah fizikal seperti pertumbuhan otot dan deria yang tidak sempurna. Aktiviti jasmani yang disesuaikan dengan keupayaan mereka boleh membantu golongan ini mengurangkan kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh mereka. Oleh yang demikian, pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani Suaian untuk murid-murid berkeperluan khas yang dirancang dengan baik dan bersesuaian akan dapat memenuhi hasrat falsafah dan kurikulum bersepadu yang dilaksanakan di sekolah-sekolah.
   
Maka jelaslah bahawa Pendidikan Jasmani Suaian turut menerapkan di dalam diri murid-murid dengan keperluan yang sama seperti yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Murid-murid berkeperluan khas juga merupakan nadi penggerak negara maka mereka juga harus diberikan peluang yang sewajarnya. Melaui Pendidikan Jasmani Suaian, individu yang yang mempunyai potensi menyeluruh dan seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek dapat diwujudkan kerana dalam pendidikan tersebut kesemua aspek yang dinyatakan diambil berat dan menjadi objektif pembelajaran yang utama. Seperti mana yang dinyatakan, aspek jasmani tidak dapat dilihat dalam mata pelajaran yang lain tetapi dapat diuji dan dikembangkan dalam Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Jasmani Suaian. Pendidikan Jasmani Suaian turut menerapkan nilai-nilai murni sewaktu pembelajaran yang akan memenuhi dan melengkapkan aspek rohani murid-murid. Oleh yang demikian, dengan rapatnya hubungan dan perkaitan antara Pendidikan Jasmani Suaian dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan maka aspirasi negara akan dapat dicapai dan dijayakan.



Post a Comment