Pendidikan Jasmani Suaian adalah direka khas untuk kanak-kanak yang mengalami kecacatan dari segi mental mahupun fizikal serta kanak-kanak yang tidak mempunyai keupayaan seperti seorang manusia yang normal.

Melalui Pendidikan Jasmani Suaian, kanak-kanak kurang upaya mengalami pertumbuhan dan perkembangan daripada aspek fizikal, kognitif dan afektif. Hal ini bermaksud, Pendidikan Jasmani Suaian sangat membantu dalam perkembangan ketiga-tiga aspek tersebut terutamanya aspek fizikal yang agak sukar diperolehi daripada subjek lain.

“Adapted Physical Education is predicated on the belief that each student has an ability and a desire to move, to be active and ti participate meaningfully with peers. Participation and activity are necessary components of physical and social health. Teachers who expertly adapt and vary learning experiences to meet the needs of students with disabilities in physical education turn philosophy into practice.”

Petikan kata-kata di atas diambil daripada kenyataan yang dilakukan oleh pengkaji dari Colorado Department of Education Statement for Adapted Physical Education yang menggambarkan betapa pentingnya seseorang yang mengalami kecacatan atau kurang upaya menerima pengalaman pendidikan atau pengajaran. Ia membolehkan mereka berupaya untuk bergerak bebas, menjadi aktif dan menyertai serta bersosial bersama rakan-rakan. Penglibatan dan aktiviti merupakan komponen keperluan yang utama dalam kesihatan sosial dan fizikal kerana setiap pengalaman yang diperolehi membolehkan mereka mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam kehidupan seharian.

Menurut IDEA, takrifan utama Pendidikan Jasmani Suaian adalah pembinaan dan perkembangan individu kurang upaya dalam aspek kecergasan motor dan fizikal, kemahiran asas dan perkembangan motor, kemahiran akuatik, menari (pergerakan asas), permainan individu dan berkumpulan (sukan secara berpasukan dan sukan untuk masa depan). Psikomotor merupakan aspek perkembangan terpenting bagi seseorang individu kurang upaya yang hanya boleh diperolehi dalam hasil pembelajaran Pendidikan Jasmani Suaian. Namun yang demikian, Pendidikan Jasmani Suaian juga tidak mengabaikan aspek kognitif dan afektif.

Pertumbuhan dan Perkembangan Fizikal

Walaupun ada kalanya kecacatan yang dimiliki oleh individu berkenaan adalah kecacatan kekal, kita masih boleh merangsang pertumbuhan dan perkembangan fizikal mereka melalui pengajaran dan pembelajaran dalam Pendidikan Jasmani Suaian. Kecacatan bukanlah alasan untuk mereka tidak perlu menerima pendidikan yang sewajarnya kerana dalam Pendidikan Jasmani Suaian, sistem atau kandungan isi pengajarannya adalah bersesuaian untuk golongan kurang upaya.

Mereka tetap memerlukan latihan daripada segi fizikal supaya perkembangan otot-otot mereka dapat dilakukan dalam keadaan yang paling minima dan tidak menimbulkan kesakitan. Ianya tidak boleh berhenti begitu sahaja kerana mereka seharusnya tahu menggunakan anggota badan atau fizikal mereka sekurang-kurangnya dalam menguruskan diri dalam kehidupan seharian. Seterusnya, apabila sudah tahu mengurus diri, mereka akan diberikan pendedahan tambahan iaitu dalam melatih kemahiran motor mereka dalam keadaan yang bersesuaian.

Melalui aktiviti fizikal yang dijalankan, individu kurang upaya ini akan berusaha untuk bergerak. Secara tidak langsung, mereka telah meningkatkan kemahiran motor mereka. Jika mereka diajar dengan kemahiran motor yang lebih spesifik, secara tidak langsung mereka turut berkembang daripada aspek kawalan motor.
         
Aspek kehidupan seharian

Dalam kehidupan seharian, setiap individu memerlukan pergerakan untuk melakukan semua perkara dan untuk membantu perkembangan motor individu. Guru akan merangsang murid untuk menggunakan otot-otot secara maksimum agar pertumbuhan dan perkembangan otot berlaku dengan baik.

Guru juga perlu memantau kelemahan murid. Sebagai contoh: terdapat murid yang mengalami masalah postur badan yang tidak sempurna hingga menjejaskan cara murid tersebut berjalan. Oleh itu, guru perlu bertindak membantu murid dengan memberi latih tubi berjalan dengan betul sehingga kemahiran tersebut dapat dikuasai dengan lebih baik.

Antara kepentingan pertumbuhan dan perkembangan fizikal dalam aspek kehidupan seharian ialah:
  1. Membolehkan murid dapat berjalan dengan betul.
  2. Membolehkan murid menggunakan peralatan kebersihan diri dengan betul seperti memberus gigi.
  3. Murid mampu memegang sudu, cawan atau menyuap nasi menggunakan tangan semasa makan dan minum dengan betul.
  4. Murid mampu memegang pensil dan peralatan menulis lain dengan baik ketika aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
  5. Murid mampu memegang dan menggunakan peralatan sukan dengan betul dan cekap.
  6. Murid mampu menguruskan diri sendiri seperti menyikat rambut, memakai tali kasut, memakai baju dan lain-lain.

Aspek Sukan dan Rekreasi

Apabila pertumbuhan dan perkembangan fizikal murid kurang upaya berlaku dengan baik, mereka boleh melakukan aktiviti yang lebih khusus seperti sukan dan rekreasi dengan baik juga. Antara kepentingan aspek pertumbuhan dan perkembangan fizikal dalam aspek sukan dan rekreasi ialah:
  1. Murid boleh melakukan aktiviti pergerakan asas seperti aras mudah ke aras sukar. Contohnya; merangkak, berjalan, berlari, melompat dan sebagainya.
  2. Murid mampu melakukan aktiviti sukan daripada motor kasar kepada motor halus. Contohnya; murid berlatih menyambut bola besar terlebih dahulu sebelum mempelajari menyambut bola kecil.
  3. Murid boleh memilih sukan yang diminati dan menjalani latihan yang berfokus. Contohnya; murid berminat memilih bermain dalam permainan bola jaring maka latihan dan latih tubi yang bersesuaian adalah perlu agar kemahiran dapat dikuasai. Seterusnya dapat menyertai pertandingan di peringkat yang lebih tinggi.
  4. Murid boleh melibatkan diri dalam aktiviti rekreasi seperti berkhemah, berkelah, berkayak tetapi dengan pengesahan daripada pihak yang bertanggungjawab.
  5. Murid boleh bermain bersama rakan-rakan di padang atau taman permainan dan menggunakan semua peralatan yang disediakan dengan berhati-hati.
Perkembangan Kognitif

Pendidikan Jasmani suaian melibatkan aktiviti fizikal secara aktif. Secara tidak langsung, murid akan menggunakan akal fikiran untuk membantu dalam melakukan aktiviti seharian. Aktiviti fizikal akan menyebabkan oksigen disalurkan ke dalam tubuh badan dan otak dengan banyak. Jelaslah bahawa otak yang mengandungi oksigen adalah otak yang baik dan dapat merangsang minda. Selain badan cergas, otak turut menjadi cerdas.

Kepentingan-kepentingan Pendidikan Jasmani Suaian dalam aspek perkembangan kognitif ialah:

  1. Membantu murid menilai kelemahan diri
  2. Murid mampu melakukan setiap perkara yang diajar oleh guru dengan baik dan bersungguh-sungguh.
  3. Murid mendengar setiap arahan yang disampaikan guru.
  4. Murid mampu memahami isi pengajaran yang disampaikan oleh guru tanpa diulang berkali-kali.
  5. Murid boleh berfikir tentang sebab dan akibat sesuatu perkara itu dilakukan.
  6. Murid mampu menilai perkara yang baik dan buruk dalam membuat keputusan.
  7. Murid mampu mengeluarkan idea atau pandangan kepada orang lain.
  8. Murid boleh membantu rakan-rakan lain yang masih lemah.
Perkembangan Afektif
  1. Murid dapat bergaul bersama rakan-rakan sebaya dengan rasa gembira.
  2. Murid menunjukkan keseronokan semasa bermain dan melakukan aktiviti dengan rakan-rakan.
  3. Murid tahu bersikap menghormati guru dan rakan lain.
  4. Murid bersungguh-sungguh semasa melakukan aktiviti yang diarahkan guru.
  5. Murid tahu rasa tanggungjawab terhadap peralatan yang dipinjamkan dan amanah yang diberikan oleh guru.
  6. Murid bekerjasama dalam kumpulan dan tidak menimbulkan pergaduhan.
Motivasi Untuk Murid Kurang Upaya

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, motivasi adalah suatu bentuk dorongan, galakan atau perangsang. Menurut Woolfolk (1998), motivasi boleh ditakrifkan sebagai keadaan dalaman diri yang membangkit, menguasai dan mengekalkan sesuatu tingkah laku dalam diri seseorang itu. 
  
Faktor-faktor motivasi

Motivasi bertindak untuk mengubah tingkah laku seseorang. Perkara-perkara yang selalu dikaitkan dengan konsep motivasi ialah keinginan (drives), keperluan (needs), insentif, rasa takut (fears), matlamat (goals), tekanan sosial (social pressure), kepercayaan diri (self-confidence), minat (interests), rasa ingin tahu (curiousity), kepercayaan (beliefs), nilai (values), pengharapan (expectations) dan berbagai lagi

Konsep motivasi juga dapat dijelaskan berdasarkan ciri-ciri individu atau traits. Sebagai contoh, terdapat situasi yang melibatkan 3 orang atlet badminton yang berlatih bersungguh-sungguh untuk menghadapi Kejohanan Badminton Dunia.

Atlet  1: Atlet tersebut berlatih bersungguh-sungguh kerana mahu mempertahankan gelaran terbaik dunia yang dipegangnya dan mencipta kejayaan yang cemerlang dalam persembahan permainannya.

Atelt  2:  Atlet tersebut berlatih bersungguh-sungguh kerana tidak mahu kalah teruk sewaktu pertandingan.

Atlet  3:  Atlet tersebut berlatih bersungguh-sungguh semata-mata untuk memenuhi kehendak orang tuanya atau kehendak jurulatihnya.

Ketiga-tiga situasi ini menggambarkan perbezaan ketiga-tiga bentuk atau faktor motivasi yang wujud dalam individu yang berlainan. Terdapat juga individu yang menggabungkan kesemua faktor tersebut untuk menghasilkan kecemerlangan prestasinya. Namun begitu, jelas menunjukkan motivasi memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan perubahan tingkah laku seseorang.

Secara kesimpulannya didapati bahawa motivasi bergantung kepada dua faktor yang utama iaitu motivasi intrinsik (dalaman) dan motivasi ekstrinsik (luaran).

Motivasi Intrinsik

Motivasi intrinsik adalah satu bentuk motivasi yang dikaitkan dengan faktor dalaman diri seperti keperluan minat, rasa ingin tahu dan rasa kepuasan diri. Reeve 91996) menyatakan bahawa motivasi ini juga merupakan ciri semula jadi seorang manusia atau tabii manusia untuk cuba mengatasi segala cabaran dalam proses mendapatkan sesuatu yang diingininya. Raffini (1996) turut menyokong melalui pernyataannya yang menyebut “...what motivates us to do something when we don’t have to do something”. Hal ini menunjukkan apabila seseorang individu menginginkan sesuatu, dia akan berusaha untuk mendapatkannya dengan dorongan dan motivasi yang diperolehinya.

Motivasi Ekstrinsik

Motivasi ekstrinsik merupakan satu bentuk motivasi yang dikaitkan dengan faktor luaran atau faktor persekitaran seperti hadiah atau ganjaran, tekanan sosial, hukuman dan lain-lain. Motivasi ekstrinsik adalah berlawanan dengan motivasi intrinsik di mana aktiviti yang dibuat adalah bertujuan untuk mendapatkan ganjaran, pujian, mengelak daripada hukuman, mendapatkan perhatian seseorang yang disayangi atau apa sahaja sebab selain daripada untuk memenuhi kehendak diri sendiri.

Faktor Motivasi Untuk Murid Kurang Upaya

Jika dilihat senario di sekolah, murid yang normal memerlukan motivasi untuk melakukan sesuatu arahan dan kehendak guru apatah lagi bagi murid kurang upaya. Akibat daripada kecacatan yang dialami, mereka agak terganggu untuk bertindak sewajarnya jika mendapat arahan guru. Perasaan rendah diri, tidak yakin, kesakitan fizikal, trauma, terpaksa, penat, malas dan banyak lagi alasan yang dirasai oleh mereka.

Menurut Capuzzi & Gross (1991), manusia memiliki kecenderungan semulajadi yang menggerakkannya ke arah perkembangan dan peningkatan diri. Bagi manusia, perkembangan dan peningkatan diri boleh berupa penyesuaian, sosialisasi, kesihatan, kebebasan, kesedaran atau autonomi. Begitu juga halnya dengan kanak-kanak kurang upaya, walaupun mereka mempunyai pelbagai jenis kekurangan dan kecacatan, mereka tetap mempunyai naluri seperti manusia biasa berfikir.

Oleh itu, murid-murid kurang upaya sangat memerlukan motivasi yang bersesuaian untuk memastikan objektif pembelajaran dapat dicapai dan mereka sekurang-kurangnya mendengar arahan yang diberikan guru. Motivasi untuk murid-murid kurang upaya adalah lebih bersifat ekstrinsik iaitu luaran kerana golongan ini sangat memerlukan perhatian. Maka, untuk  menarik perhatian mereka, motivasi berbentuk penghargaan lisan, puji-pujian adalah sangat berkesan dalam membangkitkan semangat mereka. Antara motivasi yang boleh diberikan kepada individu kurang upaya ialah:

Menghormati

Guru atau tenaga pengajar perlu menunjukkan tanda hormat kepada murid kurang upaya. Ia bukanlah bermaksud seorang guru perlu tunduk kepada anak murid sendiri tetapi cuba membina keyakinan diri mereka dengan menyatakan mereka mempunyai kelebihan dan dan orang lain perlu menghormati diri mereka dengan tidak menyisihkan mereka serta menerima diri mereka seadanya.

Perhatian dan Mengambil Berat

Hadiah adalah lebih kepada bentuk material. Kebiasaannya, motivasi jenis ini sangat menarik perhatian murid kurang upaya. Mereka sukakan benda maujud yang mana mereka dapat lihat sendiri hadiah yang diberikan. Mereka akan berasa termotivasi dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan hadiah yang dijanjikan.

Ganjaran

Ganjaran berbentuk wang juga boleh diberikan tetapi tidak digalakkan kerana kita tidak mahu mendidik mereka menjadi materialistik. Dalam waktu-waktu tertentu, motivasi berbentuk ganjaran boleh diberikan kepada mereka untuk menaikkan semangat agar berusaha bersungguh-sungguh dan melakukan yang terbaik dalam setiap tugasan yang diberikan.


Post a Comment