Kesahan dalam pengukuran dan penilaian

Apa itu kesahan ?
Kesahan antara kriteria yang terpenting dan yang perlu dipertimbangkan apabila melakukan penilaian dalam ujian. Menurut Bhasah (2007)  Kesahan merujuk kepada takat sesuatu  alat itu mengukur apa yang seharusnya diukur. Mohamad Najib (2011) menjelaskan kesahan merujuk kepada sejauh mana pengukuran berguna dalam tujuannya. Contohnya ujian bangkit tubi adalah sah untuk mengukur daya tahan otot dan kekuatan otot bahagian abdominal tetapi ia tidak sah digunakan untuk mengukur kepantasan kerana bilangan ulangan yang dilakukan semasa ujian tidak dipengaruhi oleh kepantasan.

Sesuatu instrumen atau ujian yang sah mestilah boleh dipercayai tetapi sebaliknya ujian yang mempunyai kebolehpercayaan mungkin belum tentu sah untuk digunakan. Jika data yang datangnya daripada sesuatu instrumen atau ujian pengukuran yang tidah sah, maka data tersebut adalah tidak boleh diguna pakai dalam proses pengukuran dan penilaian. Sidek (2002) pula menegaskan bahawa sesuatu pengukuran mempunyai kesahan yang tinggi sekiranya darjah kebolehannya mengukur apa yang semestinya diukur adalah tinggi. Kebanyakan pengukuran fizikal dalam Pendidikan Jasmani akan diterima jika nilai korelasi kesahan ujian di antara .80 dan ke atas.

Terdapat empat jenis pengukuran kesahan yang biasa digunakan dalam Pendidikan Jasmani iaitu kesahan logikal, kesahan kandungan, kesahan kriteria dan kesahan konstruk.

a) Kesahan Logikal
Kesahan logikal juga disebut sebagai kesahan muka (face validity). Secara umumnya, kesahan merujuk kepada apa yang hendak dinilai dalam ujian. Sesuatu ujian dikatakan mempunyai kesahan logikal apabila ujian tersebut jelas mengukur prestasi lakuan yang terlibat. Namun, ia tidak menjamin sama ada ujian tersebut betul-betul mengukur lakuan dalam domain pengukuran yang terlibat.

Bagi menguatkan kesahan logikal ini, ia sepatutnya digunakan berserta dengan salah satu bukti sama ada daripada kesahan kandungan, kesahan kriteria atau kesahan konstruk. Sebagai contoh, ujian tekan tubi ialah ujian yang sah bagi mengukur kekuatan otot seseorang kerana ujian tersebut memang benar-benar mengukur kekuatan otot individu.

(b) Kesahan Kandungan
Ujian bertulis biasanya mempunyai kesahan kandungan apabila soalan-soalan yang dibina telah mengambil kira kesemua item yang telah ditentukan dalam sesuatu topik yang hendak diuji. Secara amnya, kesahan kandungan dapat ditingkatkan dengan menilai item-item berdasarkan spesifikasi ujian oleh panel pakar rujuk yang akan menyemak item dan memberikan komen bagi penambahbaikan jika diperlukan.

Kesahan kandungan menjadi tinggi apabila wujud kesemua sasaran kandungan ujian secara sama rata. Kesahan kandungan sesuatu instrumen merujuk kepada sejauh mana instrumen tersebut dapat mengumpulkan data yang merangkumi kandungan sesuatu bidang yang dikaji. Sesuatu instrumen dikatakan mempunyai kesahan kandungan yang tinggi sekiranya instrumen tersebut dapat mengukur semua isi serta kandungan bidang yang dikaji dengan berkesan dan bersesuaian (Mohd Majid, 2000; Syaharom, 1990). Sesuatu instrumen dianggap mempunyai kesahan kandungan yang baik apabila memenuhi syarat-syarat berikut iaitu:

  • Menepati sasaran populasi di mana instrumen yang dibina mengambil kira aspek latar belakang dan tingkah laku pelajar;
  • Situasi pengajaran dan pelaksanaan instrumen adalah baik dan memuaskan;
  • Masa yang diperuntukkan kepada pelajar untuk menyelesaikan  sesuatu instrumen mencukupi dan memadai
  • Berlaku peningkatan pencapaian pelajar: dan
  • Berlaku perubahan sikap ke arah lebih cemerlang


Kesahan kandungan (content validity) merupakan penilaian yang sistematik ke atas isi kandungan ujian untuk menentukan sama ada domain tingkah laku yang hendak diukur mewakili keseluruhan kandungan sesuatu domain.

(c) Kesahan Kriteria
Ahmad (2004), kesahan kriteria ditentukan berdasarkan hubungan yang sistematik antara pengukuran kriteria dengan pengukuran lain yang digunakan untuk menganggarkan sesuatu kriteria. Mohd. Majid Konting (2005) kesahan kriteria bagi sesuatu alat kajian merujuk kepada sejauh mana kaitan antara butiran-butiran  dalam alat kajian dengan kriteria luaran yang berkecuali. Kesahan kriteria digunakan dalam bentuk kesahan sejajar dan kesahan jangkaan.

i. Kesahan sejajar
Kesahan sejajar juga dikenali sebagai kesahan serentak (concurrent validity). Pengukuran kesahan ini diperoleh dengan menentukan kriteria terlebih dahulu dan digunakan ke atas ujian yang sama sebagai pengganti atau alternatif. Biasanya ujian yang dipilih sebagai kriteria telah diterima pakai secara meluas. Instrumen pengukuran kriteria adalah sukar diperoleh dan digunakan serta memerlukan kos perbelanjaan yang mahal. Oleh itu, bagi memudahkan pentadbiran ujian kepada sejumlah murid yang ramai dan menjimatkan masa, maka instrumen pengukuran yang baru diperkenalkan sebagai pengganti kepada instrumen kriteria.

Pengiraan pekali korelasi digunakan antara pencapaian skor ujian berdasarkan instrumen baru dengan pencapaian berdasarkan instrumen kriteria ke atas kumpulan subjek yang sama. Apabila nilai pekali kesahan menghampiri nilai 1, maka ini menunjukkan ujian yang digunakan untuk mengukur sesuatu pemboleh ubah adalah menyamai kriteria dan mempunyai kesahan. Bagi menentukan kesahan sejajar, kedua-dua ujian tersebut hendaklah ditadbirkan ke atas sekumpuan subjek yang sama pada masa yang hampir sama.

ii. Kesahan Jangkaan
Kesahan jangkaan juga dikenali sebagai kesahan ramalan (predictive validity). Kesahan jangkaan samalah seperti kesahan sejajar di mana ia ditentukan oleh ukuran kriteria. Jika data ujian dan data kriteria dikumpulkan pada masa yang sama, kesahan tersebut dirujuk sebagai kesahan sejajar. Namun jika data ujian dikumpul terlebih dahulu untuk meramal data kriteria yang akan dikumpul pada suatu masa akan datang, maka kesahan tersebut dikenali sebagai kesahan jangkaan. Oleh itu, kesahan jangkaan yang tinggi ditunjukkan apabila data yang diperoleh daripada ujian awal mempunyai korelasi yang tinggi dengan data yang didapatkan pada masa hadapan.

(d) Kesahan Konstruk
Kesahan konstruk diperoleh berdasarkan kaedah saintifik dengan menggunakan pelbagai prosedur statistik. Sebagai contoh, ujian kepantasan berlari dilakukan ke atas pelari yang mewakili pasukan sekolah dengan pelari yang tidak mewakili pasukan sekolah. Oleh kerana pelari yang mewakili pasukan sekolah lebih pantas, maka kesahan konstruk dapat ditunjukkan bila skor min kepantasan pelari pasukan sekolah adalah lebih tinggi dan berbeza secara signifikan berbanding dengan pelari yang tidak mewakili pasukan sekolah.

Biasanya perbezaan signifikan antara dua min ditentukan pada aras alpha .01 bagi memastikan kedua-dua kumpulan tersebut benar-benar berbeza. Contoh, perbandingan prestasi antara dua kumpulan pelajar sebelum dan selepas menjalani latihan. Pra-ujian dilakukan ke atas kumpulan pelajar tersebut sebelum diberikan latihan. Murid dalam kumpulan tersebut diberikan beberapa teknik latihan untuk beberapa minggu, biasanya empat hingga enam minggu sebelum pasca ujian dilakukan. Kesahan konstruk (construct validity) merujuk kepada ketepatan instrumen mengukur sesuatu konstruk atau gagasan berasaskan beberapa ciri tingkah laku dapat ditentukan jika skor min pasca ujian adalah lebih baik dan signifikan berbanding dengan pra-ujian.

e) Faktor-faktor Mempengaruhi Kesahan
Ujian kesahan mungkin dipengaruhi oleh beberapa faktor. Di antara faktor yang mempengaruhi kesahan adalah seperti berikut:
a) Arahan tidak jelas
b) Struktur ayat dan bahasa yang tidak sesuai
c) Tahap kesukaran soalan yang tidak sesuai
d) Pembinaan soalan yang tidak baik
e) Kesamaran
f) Soalan tidak sesuai untuk tahap kemahiran yang diukur
g) Kekurangan masa
h) Ujian terlalu pendek
i) Susunan soalan yang tidak betul
j) Pola jawapan yang boleh dikenal pasti oleh pelajar
( Mohamad Najib Abdul Ghafar, 2011)


Post a Comment