Konsep dan definisi pembentukan kurikulum Pendidikan Jasmani Suaian

Konsep dan definisi

Di Malaysia, beberapa perubahan baru telah berlaku dalam arena pendidikan. Berdasarkan syor-syor yang terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979), Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah dilaksanakan di semua sekolah rendah mulai tahun 1983. Berikutan itu, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) turut dilaksanakan di sekolah-sekolah menengah mulai tahun 1989. Merujuk kepada Kementerian Pelajaran Malaysia, kurikulum kebangsaan merupakan suatu program pendidikan yang melibatkan aktiviti kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini untuk menyampaikan pengetahuan (Akta Pendidikan 1996: Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997).

Menurut Ornstein dan Hunkin (1998), kurikulum merupakan satu rancangan tindakan atau satu dokumen bertulis yang mengandungi strategi untuk mencapai matlamat yang dihajat. Mohd Daud (1995) pula mendefinisikan kurikulum sebagai satu budaya atau ilmu pengetahuan untuk memandu guru mengajar kumpulan murid tertentu. Oleh itu, kurikulum Pendidikan Jasmani Suaian boleh didefinisikan sebagai satu pelan tindakan atau dokumen bertulis yang mengandungi strategi untuk mencapai matlamat dan hala tuju di mana ia mempunyai objektif psikomotor, kognitif dan afektif selain mengandungi pengetahuan, kemahiran, nilai, norma, kebudayaan dan kepercayaan.
Terdapat lima konsep pembentukan kurikulum iaitu:
  • Dokumentasi khas dan panduan
  • Kaedah penyampaian yang lebih menarik
  • Merupakan program pengajian mengikut mata pelajaran
  • Membentuk pengalaman pembelajaran yang terancang
  • Mempunyai konsep tersirat iaitu dari aspek nilai-nilai murni
Matlamat Pembentukan Kurikulum

Secara umumnya, kurikulum yang digubal adalah sebagai garis panduan dan penentu sempadan ilmu. Guru-guru akan merujuk kepada garis panduan yang telah disediakan untuk mengajar dan memudahkan guru membuat persediaan untuk mengajar. Kurikulum yang digubal adalah sentiasa relevan dengan kehendak masyarakat dan semasa. Antara matlamat yang tersirat disebalik kurikulum yang dugubal adalah apabila sesebuah negara menggunakan kurikulum yang sama, ia dapat membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat seterusnya memupuk keharmonian sesama rakyat.

Matlamat pembentukan kurikulum Pendidikan Jasmani Suaian adalah seperti berikut:
  • Sebagai garis panduan dan sempadan penentu ilmu yang ingin disampaikan kepada murid-murid kurang upaya.
  • Menyampaikan maklumat mengikut peringkat umur dan tahap kebolehan murid-murid kurang upaya.
  • Disusun dan dirangka berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Rukun Negara, agama, budaya, polotik dan ekonomi.
  • Melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
  • Menggabungkan unsur nilai, moral dan agama yang merentasi kurikulum.
  • Melahirkan insan yang cintakan negara.
  • Menguatkan hubungan kekeluargaan antara masyarakat majmuk.
Halatuju Kurikulum

Setiap kurikulum yang digubal mempunyai halatuju tersendiri. Kurikulum yang digubal pastinya adalah satu usaha ke arah mencapai sesuatu yang telah digariskan. Kurikulum akan bertindak selari dengan perkara-perkara asas dalam pendidikan ketika ianya digubal. Oleh kerana itu, kurikulum pendidikan antara satu negara dengan satu negara yang lain kerana ia mempunyai halatuju yang berbeza-beza.

Di Malaysia, terdapat tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam penggubalan kurikulum pendidikan sama ada di peringkat rendah, menengah mahupun peringkat lebih tinggi iaitu:
  • Dasar Pendidikan Negara
  • Laporan Kabinet 1979
  • Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Dalam Pendidikan Jasmani Suaian pula kurikulum yang dibina bertujuan untuk membangunkan murid-murid kurang upaya menjadi modal insan yang cemerlang dari segala aspek sekaligus dapat memperkembangkan potensi individu melalui jasmani, emosi, rohani dan intelek serta berketrampilan. Selain itu, kurikulum ini juga membantu murid-murid kurang upaya untuk berfikir secara kritis dan kreatif mengikut tahap kemampuan mereka. Penekanan kurikulum ini adalah terhadap perkembangan kemahiran belajar dan generik yang mana bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik bersesuaian dengan murid-murid kurang upaya.
       
Proses Pembentukan Kurikulum

Kurikulum yang dibentuk perlulah dilakukan dengan teliti. Proses pembentukan ini biasanya dilakukan oleh pakar-pakar dalam bidang akademik. Dalam proses pembentukan kurikulum Pendidikan Jasmani Suaian, pihak yang bertanggungjawab akan mengkaji, menganalisis dan memilih sumber yang bertepatan agar proses pengajaran dan pembelajaran kelak akan berjalan dengan terancang dan teratur terutama bagi guru-guru Pendidikan Khas yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani Suaian.

Perkara -perkara penting yang terlibat dalam proses pembentukan kurikulum   iaitu:
  • Teori-teori berkaitan
  • Falsafah pembentukan kurikulum
  • Kriteria pembentukan kurikulum
Teori-teori Berkaitan

i. Tradisional
  • Diasaskan oleh Dewey, Bobbit, Tyler, Taba dan lain-lain
  • Mementingkan proses pemindahan pengetahuan
ii. Teori Konseptual
  • Diasaskan oleh Bloom, Brunner, Stake dan lain-lain
  • Ilmu pengetahuan distruktur mengikut konsep utama
  • Fokus utama adalah kepada analisis situasi semasa
iii. Teori Rekonseptual
  • Diasaskan oleh ahli akademik berfahaman Marxism
  • Kurikulum adalah bidang ilmu yang dapat membekalkan pedoman dan garis panduan
Falsafah-falsafah Pembentukan Kurikulum

i. Idealisme
  • Ilmu diperolehi dari kebolehan berfikir
ii. Realisme
  • Kebenaran adalah apa yang dapat dilihat
iii. Pragmatisme
  • Idea yang dapat dipraktikkan adalah benar
iv. Perianelisme
  • Pendidikan adalah berada dalam keadaan tetap
v. Essentialisme
  • Kurikulum dan guru adalah faktor penting dalam pembelajaran
vi. Progressisvesme
  • Pembelajaran berlaku berdasarkan perubahan dan kemajuan
vii. Rekonstrutionalisme
  • Penerapan tanggungjawab sosial dan lahirkan masyarakat berilmu
viii. Eksistentialisme
  • Pendidikan melalui persekitaran. Guru membantu murid meneroka
Kriteria Pembentukan Kurikulum

Kriteria pembentukan kurikulum telah dibahagikan kepada tiga kategori rekabentuk kurikulum iaitu:
  • Berpusatkan subjek
  • Berpusatkan pelajar
  • Berpusatkan masalah
Reka bentuk kurikulum yang berpusatkan subjek bermaksud berpaksikan ilmu dan isi kandungan yang mana ia terbahagi kepada empat iaitu:

i. Reka bentuk matapelajaran
  • Berkaitan dengan isi kandungan pelajaran dalam buku teks.
  • Konsep disusun dari mudah ke susah berdasarkan tahap murid-murid tersebut.
  • Tumpuannya adalah kepada proses mengingat dan memahami sesuatu perkara
ii. Reka bentuk disiplin
  • Cara atau proses sesuatu matapelajaran dilaksanakan
  • Dibina berdasarkan proses mengenalpasti struktur ilmu serta disiplin sesuatu subjek dan kaedah atau proses yang terlibat.
  • Sebagai contoh dalam Pendidikan Jasmani Suaian, murid-murid kurang upaya ini diajar kemahiran lari pecut dalam olahraga dengan cara guru menerangkan teknik secara ansur maju, tunjuk cara dan permainan kecil  mengikut tahap kebolehan murid-murid supaya mereka dapat memahami sekaligus memainkannya mengikut peraturan.
iii. Reka bentuk bersepadu
  • Menyatukan dua atau lebih mata pelajaran menjadi satu mata pelajaran yang menarik
  • Sebagai contoh: menggunakan muzik dalam pengajaran pendidikan jasmani
iv. Reka bentuk korelasi
  • Mengaitkan maklumat antara satu mata pelajaran dengan mata pelajaran lain untuk mengurangkan pemisahan mata pelajaran
  • Sebagai contoh: pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan bergabung yang mana murid-murid mengetahui pakaian yang sesuai untuk bersukan dan aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan
Bagi reka bentuk berpusatkan pelajar pula bermaksud pelajar merupakan elemen yang penting dalam proses pelaksanaannya. Ianya boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu:

i. Reka bentuk berpusatkan pelajar
  • Pemikiran pelajar akan berkembang sekiranya diberi peluang belajar berdasarkan kegemaran dan keperluan pelajar
ii. Reka bentuk berpusatkan pengalaman
  • Penekanan diberikan berdasarkan minat dan keperluan pelajar
  • Kurikulum tidak dapat dirancang dengan awal kerana minat dan keperluan murid tidak dapat dijangka
  • Kurikulum akan dibina apabila guru sudah mula mengenali murid
iii. Reka bentuk berpusatkan humanistik
  • Penekanan kepada isi kandungan, aspek kognitif, pengalaman dan perasaan murid-murid kurang upaya
Seterusnya adalah reka bentuk berpusatkan masalah yang bermaksud fokus kepada masalah dalam kehidupan dan berdasarkan kepada pengalaman individu dan kemasyarakatan.


Post a Comment