Konsep Kesepaduan

Konsep kesepaduan ialah gabungan beberapa aspek kemahiran atau aspek-aspek perkembangan fizikal kanak-kanak. Kesepaduan merupakan penyatuan dua atau lebih subjek yang menjadi satu matapelajaran yang bersepadu dan membekalkan murid dengan ilmu yang bersepadu dan tidak terasing. Konsep kesepaduan dalam kurikulum menghilangkan sempadan mata pelajaran dan disiplin. Murid-murid akan melihat ilmu sebagai satu yang bersepadu dan lebih bermakna.

Kesepaduan ialah kaedah pengajaran dan cara mengelola program pengajaran agar pelbagai matapelajaran dan kemahiran dalam kurikulum boleh dihubungkaitkan antara satu sama lain. Pendekatan ini memberi kesepaduan kepada pengalaman sekolah murid.

Pendekatan ini merupakan strategi induktif yang direkabentuk untuk membolehkan murid meningkatkan pemahaman mereka terhadap pelbagai bentuk pengetahuan, di samping mengamalkan pemikiran aras tinggi tentang maklumat yang sedang mereka pelajari
   
Kaedah Kesepaduan
  • Model kesepaduan ini melihat murid sebagai seorang yang secara aktif membentuk fahaman mereka tentang topik yang dipelajari.
  • Gabungan beberapa kemahiran atau aspek-aspek perkembangan   fizikal murid-murid
  • Kombinasi beberapa kemahiran dalam sesuatu matapelajaran.
  • Membina konsep yang kukuh secara tersusun melalui kesinambungan daripada beberapa kemahiran tertentu.
Jenis-Jenis Kesepaduan
  • Kesepaduan pengetahuan kognitif, kemahiran bahasa dan nilai murni dalam setiap pelajaran.
  • Kesepaduan pengalaman pembelajaran antara mata pelajaran sekolah.
  • Kesepaduan antara pendidikan dalam bilik darjah dengan pendidikan di luar bilik darjah.
  • Hubungkait antara pengalaman dalam bilik darjah dengan pengalaman dalam alam sekitar di luar sekolah.
Tujuan Kesepaduan
  • Untuk mengajar murid berdikari dan menjadi penyelesai masalah yangbergantung kepada diri sendiri
  • Untuk membantu murid memahami dan menghayati sejauh mana mata pelajaran dan kemahiran di sekolah berhubung-kait antara satu sama lain dan bukannya wujud berasingan
  • Untuk mewujudkan minat murid yang tinggi terhadap pembelajaran yang berbentuk peribadi dan individu
  • Membentuk situasi di mana murid boleh belajar tentang apa yang mereka mahu dan ingin mengetahui berbanding dengan apa yang ditetapkan dalam kurikulum
  • Untuk menekankan proses pembelajaran dan bukan isikandungan mata pelajaran dan kemahiran semata-mata
  • Mementingkan nilai sosial pembelajaran di mana murid digalakkan belajar secara koperatif dengan murid lain
Aktiviti Kesepaduan

Contoh aktiviti :
1. Permainan Bola Sepak :- Pergerakan Asas melibatkan aktiviti lokomotor, bukan lokomotor dan manipulasi alatan.
- Berlari + Jengket + Bola Sepak

Penggabungjalinan Dalam Pendidikan Jasmani

Dalam konteks KBSR, penggabungjalinan dilihat dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu yang pertama, penggabungjalinan antara kemahiran-kemahiran yang ada di dalam satu matapelajaran itu. Keduanya ialah penggabungjalinan kemahiran daripada beberapa matapelajaran yang lain.

Penyerapan pendekatan gabung jalin dalam proses pembelajaran dan pengajaran adalah satu inovasi dan anjakan ke arah mewujudkan suasana pembelajaran dan pengajaran yang kondusif bagi menimbulkan minat dan rasa seronok dalam kalangan murid.

Terdapat tiga jenis penggabungjalinan. Pertama, Penggabungjalinan antara kemahiran dalam satu mata pelajaran. Kedua, penggabungjalinan dengan kemahiran mata pelajaran lain. Ketiga, menggabungkan kedua-dua jenis penggabungjalinan dalam satu pengajaran.

Contoh Penggabungjalinan

I. Penggabungjalinan antara kemahiran dalam satu mata pelajaran.

Contoh permainan - bola sepak. Di dalam permainan ini, terdapat pelbagai kemahiran yang didedahkan kepada murid seperti menghantar, menggelecek, menjaring, menendangr dan sebagainya. Guru boleh menggabungkan dua atau lebih kemahiran dalam satu-satu sesi pengajarannya, contohnya menggabungkan kemahiran menggelecek dan menendang. Dalam lakuan ini, murid dikehendaki menggelecek bola dalam jarak yang ditetapkan sebelum membuat tendangan dengan teknik yang betul. Di sini, kita dapat perolehi satu contoh penggabungjalinan dalam pendidikan jasmani.
   
II. Penggabungjalinan dengan kemahiran mata pelajaran lain.

Contoh aktiviti – regangan. Di dalam aktiviti ini, guru boleh menerapkan kemahiran membilang dan mengira yang diajar dalam mata pelajaran matematik. Guru hanya perlu meminta murid-murid membuat pergerakan regangan sambil mengira dari nombor satu hingga ke nombor lapan. Melalui aktiviti ini, murid secara tidak langsung dapat memperbaiki kekuatan memori mereka terhadap angka.

III. Menggabungkan kedua-dua jenis penggabungjalinan dalam satu pengajaran.

Contoh aktiviti – senamtari (senamrobik). Aktiviti ini melibatkan pergerakan, aktiviti membilang dan muzik. Guru akan memasang muzik yang berbeza rentak dan kemudian meminta murid-murid melakukan pergerakan fizikal mengikut rentak lagu. Ketika murid melakukan pergerakan, mereka juga dikehendaki untuk membilang beramai-ramai sehingga nombor lapan supaya pergerakan mereka menjadi seragam, kemas dan teratur. Pengajaran yang dijalankan akan menjadi lebih bermakna dan menyeronokkan. Ia bergantung kepada keupayaan guru untuk member penerangan yang jelas kepada murid sebelum melaksanakan aktiviti tersebut.

Konsep Penggabungjalinan
  • Tumpuan seimbang antara akademik, kesihatan, kemahiran fizikal, kestabilan emosi, sosialisasi nilai dan perhubungan positif
  • Proses penyampaian beberapa kemahiran
  • Kecekapan melaksanakan aktiviti  – membaca, menulis,menghurai, mengira, mewarna, menyanyi, melukis, melabel, mengarang, becerita, berlakon dsb
  • Mendengar, lisan, membaca dan menulis secara bersepadu
  • Kemahiran matematik digabungjalinkan dengan kemahiran bahasa
Kaedah Penggabungjalinan
  • Mengenalpasti kemahiran utama & kemahiran sampingan
  • Kemahiran utama diberi keutamaan/ fokus
  • Kemahiran-kemahiran sampingan dikuasai dahulu untuk kukuhkan kemahiran utama
  • Kemahiran utama digunakan di peringkat perkembangan pelajaran, kemahiran sampingan digunakan di semua peringkat pelajaran
  • Strategi penggabungjalinan kemahiran hendaklah dirancangkan berdasarkan objektif pelajaran, kebolehan & pencapaian murid
  • Kemahiran-kemahiran diintegrasikan dalam urutan yang sesuai. Setiap kemahiran hendaklah dikaitkan dengan kemahiran yang berikutnya secara logikal
Ciri-Ciri Penggabungjalinan
  • Integrasi beberapa kemahiran
  • Prosesnya bersepadu dan menyeluruh
  • Aktiviti dipelbagaikan dengan menarik
  • Kemahiran utama menjadi fokus
  • Organisasi kemahiran fleksibel
  • Kemahiran diintegrasikan saling kukuh mengukuh antara satu sama lain
Aktiviti Penggabungjalinan
Contoh penggabungjalinan :
1. Muzik     :- Penghasilan bunyi yang bersesuaian untuk pergerakan manusia.
2. Matematik :- Pengiraan markah dalam sukan.
(Tambah, tolak, darab dan operasi - operasi lain bagi proses mendapat keputusan)

Konsep Integrasi

Menurut Sufean Hussein (1996), Integrasi bermaksud menyatukan etnik-etnik atau kelompok-kelompok yang terasing pada asalnya kepada satu bentuk lain yang tersendiri. Proses mengintegrasikan unsur-unsur isi kandungan daripada dua atau lebih mata pelajaran dalam sesuatu pelajaran.

Sebagai contoh; isi matapelajaran sains dan kajian tempatan diserap menjadi isi mata pelajaran bahasa. Pendidikan moral, Pendidikan seni, Pendidikan jasmani & Muzik juga diserapkan dalam program bahasa sebagai aktiviti sokongan. Geografi, Sejarah, Kesihatan dan pendidikan moral diserapkan secara bersepadu dalam Sains / Kajian Tempatan. Selain itu, penerapan Nilai murni, kurikulum akademik disepadukan dengan kokurikulum, kurikulum formal disepadukan dengan kurikulum tak formal

Ciri-Ciri  Integrasi
  • Mengandungi beberapa unsur ilmu pengetahuan
  • Berbagai unsur diserapkan dalam satu matapelajaran
  • Bilangan mata pelajaran dalam penyerapan fleksibel
  • Organisasi isi kandungan - Unsur utama dan unsur sampingan
  • Proses penyerapan boleh berlaku serentak dengan proses penggabungjalinan
Aktiviti Integrasi
Contoh aktiviti :
1. Permainan kecil :- aktiviti melibatkan mata pelajaran matematik dalam dalam topik pembentukan kumpulan. Contohnya: Bulatan, sfera, segiempat  dsb. Penggunaan bahasa inggeris digunakan sepenuhnya dalam mengajar pendidikan jasmani.

Tunjang Pembelajaran Pendidikan Jasmani Suaian

Tunjang pembelajaran Pendidikan Jasmani Suaian adalah sama seperti Pendidikan Jasmani normal. Mereka mempelajari semua tunjangpembelajaran yang ada. Tempoh masa bagi setiap tunjang tidak ditetapkan. Ianya mengikut tahap dan kemampuan murid
  • Mengapa mengambil tempoh masa yang panjang?
  • Ikut tahap dan kemampuan murid.
  • Hasil pembelajaran diturunkan ke tahap paling rendah.
  • Memerlukan bimbingan individu.
  • Pendekatan yang berbeza mengikut masalah murid.
Tunjang Kecergasan
  • Konsep tunjang ini menitikberatkan keupayaan murid melakukan aktiviti fizikal secara berterusan tanpa merasa lesu.
  • Tumpuan diberi kepada komponen kecergasan fizikal berasaskan kesihatan dan perlakuan motor.
Tunjang Kemahiran
  • Konsep tunjang ini menitikberatkan keupayaan murid melakukan kemahiran daripada aspek pergerakan otot besar dan otot halus.
  • Tumpuan diberi kepada kemahiran asas dalam permainan, olahraga, gimnastik, pergerakan kreatif dan rekreasi.
Tunjang Kesukanan
  • Konsep tunjang ini menitikberatkan kefahaman dan pengetahuan bagi
  • mengukuhkan amalan pendidikan jasmani dan sukan.
  • Tumpuan diberi kepada aspek keselamatan, pengurusan, kerjaya, etika dan isu-isu dalam pendidikan jasmani dan sukan.
Kurikulum Standard Pendidikan Jasmani Suaian Sekolah Rendah

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi Pendidikan Jasmani Suaian dibina selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan berlandaskan prinsip-prinsip pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, peluang pendidikan dan kualiti pendidikan yang sama untuk semua murid dan pendidikan seumur hidup.

Penggubalan KSSR Pendidikan Khas Masalah Penglihatan sebagai contoh adalah selaras dengan KSSR Kebangsaan dengan penambahan dan pengubahsuaian mata pelajaran. Mata pelajaran baru yang diperkenalkan adalah Kemahiran Asas Individu Masalah Penglihatan (KAIMaL), manakala mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Seni Visual diubahsuai dan untuk lain-lain mata pelajaran lain menggunakan KSSR Kebangsaan. Penambahan dan pengubahsuaian mata pelajaran ini adalah berdasarkan keperluan murid bermasalah penglihatan dalam memperoleh pendidikan yang relevan dan bersesuaian dengan keperluan semasa mereka.

Proses pelaksanaan kurikulum perlu mengambil kira kepelbagaian kebolehan dan keupayaan individu. Pengajaran dan pembelajaran adalah menggunakan pendekatan yang fleksibel dan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997, yang menyatakan “ guru-guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat Pendidikan Khas”.

Mata pelajaran baru dan pengubahsuaian dalam KSSR Pendidikan Khas Masalah Penglihatan dibina supaya pembelajaran yang diperolehi di dalam bilik darjah dapat diaplikasikan dan menjadi pendokong kepada hasrat pelaksanaan mata pelajaran lain dalam KSSR Kebangsaan yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Penggubalan Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Jasmani bertujuan utama untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani. Kurikulum ini turut mampu menyediakan murid ke arah pembinaan modal insan yang sihat dan cergas.

Bukan hanya murid yang perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang dikehendaki dalam KSSR Pendidikan Jasmani, malahan guru yang mengajar Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Jasmani Tahun Satu perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas seperti yang terkandung di dalam kemahiran pergerakan dan kecergasan berdasarkan disiplin ilmu Pendidikan Jasmani. Antaranya melibatkan pembelajaran motor, perkembangan motor, biomekanik, suaian fizikal, fisiologi senam, psikologi sukan, sosiologi sukan, estetika dan nilai. Pengajaran dan pembelajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Jasmani seharusnya dilaksanakan dalam suasana yang menyeronokkan dan kondusif dengan menekankan aspek keselamatan.

Matlamat

Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Jasmani bertujuan membina murid menjadi individu yang cergas dan sihat serta berkemahiran, berpengetahuan dan mengamalkan nilai murni melalui aktiviti fizikal ke arah mencapai kesejahteraan hidup.

Fokus Matapelajaran

Terdapat tiga fokus Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Jasmani Suaian iaitu membina kemahiran asas pergerakan dan kemahiran motor, memperkenalkan konsep kecergasan berdasarkan kesihatan, dan memupuk elemen keselamatan, tanggungjawab kendiri, dan interaksi sosial semasa melakukan aktiviti fizikal.

Organisasi Kandungan

Dokumen Kurikulum Standard Pendidikan Jasmani Suaian merupakan dokumen pembelajaran untuk satu tahun persekolahan. Kurikulum Standard Pendidikan Jasmani dibina berasaskan lima aspek iaitu:-

Aspek 1 : Kecekapan Kemahiran Pergerakan.

Murid menguasai pelbagai corak pergerakan dan kemahiran motor yang diperlukan untuk melakukan pelbagai aktiviti fizikal melalui konsep pergerakan, pergerakan asas yang melibatkan pergerakan lokomotor, bukan lokomotor, manupulasi alatan dan pergerakan berirama. Yang lainnya melibatkan sukan yang perlu diberi perhatian iaitu gimnastik asas dan akuatik asas. Akhir sekali, aktiviti rekreasi dan kesenggangan.

Aspek 2 : Aplikasi Pengetahuan Dalam Pergerakan

Melalui Aspek 2, murid dapat mengaplikasi pengetahuan mengenai konsep, prinsip dan strategi pergerakan dalam pembelajaran serta mengembangkan kemahiran motor dalam melaksanakan aktiviti fizikal.

Aspek 3: Kecergasan Meningkatkan Kesihatan

Murid berkeupayaan meningkatkan dan mengekalkan tahap kecergasan untuk kesihatan dan prestasi fizikal melalui konsep kecergasan dan komponen kecergasan berasaskan kesihatan iaitu kapasiti aerobik, ,kelenturan, kekuatan dan daya tahan otot, dan komposisi badan.

Aspek 4: Aplikasi Pengetahuan Dalam Meningkatkan Kecergasan

Mengaplikasikan pengetahuan mengenai konsep, prinsip dan strategi meningkatkan kecergasan untuk kesihatan dan prestasi fizikal.

Aspek 5: Kesukanan

Melalui Aspek 5, murid berkeupayaan mengukuhkan amalan Pendidikan Jasmani menerusi elemen keselamatan, konsep sosiologi dan psikologi, prinsip dan strategi dalam melakukan aktiviti fizikal dengan berkesan yang melibatkan  keselamatan dan pengurusan,  tanggungjawab kendiri, interaksi sosial dan  kumpulan dinamik.

Kesimpulan
  • Kesepaduan, penggabungjalinan dan integrasi dapat membantu proses penyampaian ilmu pengetahuan dengan lebih berkesan.
  • Elemen merentasi kurikulum dapat memupuk minat dan sikap ingin tahu murid-murid secara lebih mendalam.
  • Guru perlu berfikir secara kreatif, kritis dan inovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
  • Strategi pengajaran yang digunakan mestilah bersesuaian dan menepati tahap keupayaan murid-murid.
  • Aspek keselamatan murid-murid wajib diutamakan di bawah bimbingan dan pemantauan guru.
  • Guru perlu membantu murid-murid bagi mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan.


Post a Comment