Pengenalan


Dalam konteks psikologi sukan, kebangkitan dan kebimbangan dalam sukan merupakan dua konstruksi yang berbeza. Cara pengukurannya juga adalah berbeza dan memerlukan kaedah penyesuaian yang berbeza. Walau bagaimanapun ianya saling berkaitan antara satu sama lain dan juga berkait rapat dengan tekanan atau stres.

Definisi Kebangkitan, Tekanan dan Kebimbangan

(a)     Kebangkitan

Menurut LeUnes dan Nation (1989), kebangkitan ialah aktiviti psikologi individu. Manakala Cox (1998) pula, mendefinisikan kebangkitan sebagai tahap kesediaan fisiologi yang berada dalam satu kontinum dari tidur yang lena sehingga keseronokan yang terlampau. Wann (1997) pula menyatakan, kebangkitan ialah tahap kesediaan fisiologi individu untuk beraksi secara fizikal, intelaktual atau perceptual yang tidak dipengaruhi oleh emosi. Kesimpulannya ialah, kebangkitan merupakan perubahan fisiologi yang berlaku dalam diri setiap individu setelah menerima rangsangan dari persekitarannya. Perubahan fisiologi ini seterusnya akan mempengaruhi tindakan individu tersebut. Ini mempunyai persamaan dengan apa yang dinyatakan oleh Wann (1997), iaitu kebangkitan sebenarnya bersifat neutral, sementara kesannya akan ditentukan oleh tafsiran induvidu terbabit. Dalam konteks sukan, kebangkitan merujuk kepada perubahan fisiologikal yang dialami oleh seseorang atlet yang akan bertanding. Sekiranya atlet tersebut tidak berjaya mengawal kebangkitan yang dialaminya ketika bertanding, atlet tersebut tidak dapat beraksi dengan baik dalam pertandingan tersebut dan seterusnya membawa kepada kekalahan. Kebangkitan sebenarnya dikawal oleh sistem saraf, iaitu Sistem Saraf Autonomik (SSA). Sistem ini mengawal tindakan autonomik serta fungsi luar kawal badan seperti degupan jantung, tekanan darah dan pernafasan. Sistem Saraf Autonomik ini terbahagi kepada dua iaitu sistem saraf simpatetik dan sistem parasimpatetik. Sistem yang mengawal kebangkitan ialah simpatetik. Manakala sistem parasimpatetik pula bertindak sebagai penenang kebangkitan. Kebangkitan sebegini lazimnya dialami oleh individu yang akan bertanding. Namun begitu, kebangkitan yang dialami adalah berbeza bagi setiap individu. Selain itu tahap optimum kebangkitan setiap individu juga berbeza. Tahap optimum ialah tahap kebangkitan yang tidak terlalu tinggi dan juga tidak terlalu rendah untuk dialami oleh seseorang individu.

(b)    Tekanan

Tekanan atau stress berasal dari perkataan Greek yang bermaksud stringere yang membawa maksud ketat atau tegang. Mohd Makzan Musa (2003) mendefinasikan tekanan sebagai gangguan emosi atau tekanan perasaan. Seseorang individu akan mengalami gangguan emosi apabila individu tersebut menerima desakan melebihi kemampuan dirinya sendiri. Individu yang mengalami tekanan ini selalunya menunjukkan gejala-gajala seperti banyak berpeluh, loya, dan keyakinan diri yang rendah. Namun begitu tekanan mempunyai konsep yang berbeza mengikut individu. Contohnya, ada individu yang dapat menukarkan tekanan yang dialaminya menjadi rangsangan luar untuk berjaya dan ada juga yang sebaliknya. Semua ini bergantung kepada cara pengurusan tekanan individu tersebut. Konsep ini juga telah diguna pakai dalam pengurusan tekanan untuk atlet yang bertanding. Contoh yang boleh dilihat ialah, atlet yang mampu menyerap tekanan dengan baik tidak akan menjadikan kecederaan yang dialaminya sebagai halangan untuk berjaya.

(c)    Kebimbangan

Kebimbangan merujuk kepada perasaan tidak selesa, takut, resah dan gementar. Menurut Mohammed, 1992 (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee, 2003), kebimbangan boleh didefinasikan sebagai satu keadaan negatif yang dialami oleh manusia dan merupakan gabungan antara perasaan takut, seram, gentar, runsing, cemas, bimbang, risau, gelisah, khuatir dan pelbagai emosi lain. Menurut Mahoney dan Meyers, 1989 (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee, (2002) pula kebimbangan adalah pengalaman dan dilaporkan berlaku kepada semua atlet tanpa mengira usia dan tahap kemahiran. Kebimbangan terbahagi kepada dua jenis:

(i)    Kebimbangan tret adalah merujuk kepada personaliti seseorang individu di mana ia bersifat stabil dan mereka sering mentafsirkan situasi persekitaran dengan perasaan risau atau bimbang yang boleh meningkatkan tahap kebangkitan.
(ii)    Kebimbangan seketika pula merujuk kepada tahap kebimbangan yang terhasil dari persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitarannya pada waktu itu. Kebimbangan seketika ini pula terbahagi kepada dua iaitu:

Kebimbangan kognitif seketika merupakan komponen mental kebimbangan seketika. Ia merupakan proses mental yang bersifat kognitif yang berlaku akibat dari tafsiran terhadap situasi semasa.
Kebimbangan somatik seketika pula merujuk kepada aspek fisiologi dan afektif individu yang terbabit kesan dari kebimbangan kognitif yang wujud dalam diri individu.

Sumber Kebimbangan  dan Tekanan.

Menurut Endler, 1978 (dalam buku Shaharudin Abd Aziz, 2001) kebimbangan dan tekanan terhasil daripada gabungan lima faktor iaitu:

1.       Tekanan terhadap ego

Tekanan berlaku khususnya apabila seseorang atlet tewas sesuatu    perlawanan khususnya kepada lawan yang lebih rendah rankingnya. Ego atlet ini akan tercabar serta tertekan. Beliau juga merasa kurang yakin untuk menghadapi perlawanan seterusnya. Keadaan ini menyumbang kepada peningkatan tahap kebimbangan seketika atlet ini.

2.       Tekanan terhadap fizikal individu
         
Seseorang atlet akan berasa bimbang sekiranya beliau tahu bahawa ada usaha oleh pihak lawan untuk menewaskan beliau secara fizikal.

3.       Ketidaktentuan
   
Keputusan yang belum pasti, perlawanan yang berlarutan ‘sudden death’ serta saat-saat mencemaskan yang menentukan menang-kalah sesebuah pasukan mempunyai elemen ketidaktentuan ini. Kita tidak akan berasa bimbang sekiranya kita tahu kita akan menang atau tidak mempunyai harapan lagi untuk menang.

4.        Perubahan

Sebarang bentuk perubahan sebenarnya akan menyebabkan kita menjadi kurang selesa dengan persekitaran kerana ia bukan rutin harian. Contohnya seorang pemain yang biasa dengan kaedah latihan seorang jurulatih akan merasa tertekan dengan kehadiran seorang jurulatih baru yang membawa pendekatan serta corak latihan dan matlamat yang baru.

5.         Penilaian atau perbandingan sosial
      
Kita akan merasa tertekan sekiranya kita tahu bahawa prestasi kita akan dinilai atau dibandingkan dengan orang lain. Debaran yang dirasakan di garisan permulaan sebelum masuk ke padang atau gelanggang mahupun ketika mengambil peperiksaan merupakan ciri-ciri kebimbangan seketika yang dihasilkan menerusi penilaian. Justeru itu, kemampuan mengubah tafsiran merupakan elemen untuk menangani masalah itu.

Bagaimana Kebangkitan dan Kebimbangan Mempengaruhi Prestasi

Pengaruh kebangkitan dan kebimbangan terhadap prestasi dapat dilihat dengan jelas menerusi teori dorongan, teori U-terbalik dan model bencana Hazey dan Hardy.

(a)     Teori Dorongan (dalam buku Shaharudin Abd Aziz, 2001). Teori dorongan ini telah diperkenalkan oleh Hull (1943, 1951) dan Spence (1956). Teori ini menjelaskan tentang persaingan di antara respons yang terdapat dalam sesuatu proses pembelajaran. Teori ini boleh dijelaskan dengan formula berikut:

Prestasi = Kebangkitan x Tahap Kemahiran

Teori Dorongan ini beroperasi berdasarkan prinsip-prinsip berikut:
(i) Peningkatan kebangkitan (dorongan) akan menghasilkan respons yang dominan.
(ii)  Respons atau tindak balas yang dikaitkan dengan keinginan yang kuat merupakan respons yang paling dominan.
(iii)  Pada tahap awal pembelajaran atau untuk kemahiran yang kompleks, respons yang dominan lazimnya kurang tepat atau salah.
(iv) Ditahap akhir pembelajaran atau untuk kemahiran yang mudah, respons yang dominan lazimnya tepat atau betul.


Teori ini menyimpulkan bahawa kebangkitan yang tinggi diperlukan oleh  atlet yang berpengalaman untuk membantu mereka mencapai kejayaan.  Manakala kebangkitan yang rendah sesuai untuk meningkatkan peluang  kejayaan untuk atlet baru. Ini seterusnya akan meningkatkan keyakinan diri mereka.

(b)       Teori U-Terbalik. Teori ini diperkenalkan oleh Yerkes dan Dondon, 1908 (dalam buku Shaharudin Abd Aziz, 2001) yang menggunakan tikus untuk menguji perkaitan di antara kebangkitan dan tahap kesukaran tugasan serta kesannya ke atas prestasi.


Berdasarkan teori ini tahap kebangkitan yang tinggi diperlukan untuk mendapatkan prestasi yang baik apabila melakukan aktiviti yang melibatkan penggunaan otot besar (gross motor skill) atau yang menggunakan tenaga yang tinggi. Namun begitu prestasi tersebut akan menurun secara berkadar selepas atlet tersebut mencapai tahap kebangkitan yang optimum. Ini mungkin berlaku kerana fisiologikal kebangkitan atlet tersebut sudah tidak boleh lagi ditinggikan atau atlet tersebut sudah bosan dengan pertandingan tersebut.

(c)     Model Bencana Gagasan yang diutarakan oleh Fazey dan Hardy 1988 (dalam buku Shaharudin Abd Aziz, 2001) mencabar gagasan teori U-Terbalik yang mengandaikan bahawa:
(i)     Peningkatan tahap kebangkitan yang sedikit akan meningkatkan atau menurunkan sedikit prestasi atlet.
(ii)    Tahap kebangkitan yang sederhana menghasilkan prestasi yang optimum. Teori ini menerangkan bahawa peningkatan kebangkitan fisiologi dan kebimbangan kognitif yang keterlaluan akan menyebabkan penurunan prestasi (bencana) kepada atlet  tersebut.



Bagaimana Mengatasi Masalah Kebangkitan dan Kebimbangan

Untuk mendapatkan prestasi yang baik dalam sesuatu pertandingan, tahap kebangkitan, tekanan dan kebimbangan yang dialami oleh atlet perlu dikawal. Tanpa pengawalan yang betul prestasi atlet boleh merosot. Latihan mental merupakan kaedah yang berkesan untuk mengawal tahap kebangkitan. Kejayaan seseorang atlet dalam pertandingan bergantung kepada keupayaan atlet untuk mengawal mentalnya. Ini penting kerana mental yang baik dapat mengawal tubuh badan dengan baik. Latihan Relaksasi merupakan satu bentuk latihan mental yang boleh dilakukan untuk mengawal tahap kebangkitan. Relaksasi merupakan suatu teknik yang digunakan bagi mengurangkan rasa tekanan terhadap diri sendiri dengan cara mengurangkan kontraksi otot-otot tubuh ke tahap paling minimum (Harrey, 1994 (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee, 2002). Jacobson 1938, (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee, 2002), latihan relaksasi boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

1. Relaksasi aktif adalah latihan yang menumpukan seluruh perhatian kepada 
tubuh badan iaitu teknik otot ke minda. Contohnya ialah yoga, tai chi dan relaksasi progresif.

2. Relaksasi pasif pula merupakan teknik yang menumpukan perhatian otak ke otot. Teknik ini memerlukan otak mengenal dan menghantar segala rangsangan yang diterima kepada otot skeletal. Antara latihan yang termasuk dalam teknik relaksasi pasif ialah latihan pernafasan, latihan autogenic, hypnosis, imageri visual dan meditasi (Harrey, 1994 (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee, 2002).

Antara faedah mengamalkan teknik ini ialah:
(i)   Meningkatkan reflek minda badan.
(ii)   Meningkatkan kesedaran diri dan kesedaran kiu yang penting.
(iii)  Meningkatkan konsentrasi dan keyakinan diri.
(iv)  Menurunkan kebimbangan.
(v)  Mengawal kebangkitan.

Kesimpulan

Kebangkitan, tekanan dan kebimbangan adalah saling berkait antara satu sama lain dan merupakan sesuatu yang akan dialami oleh setiap atlet yang terlibat dalam pertandingan. Ketiga-tiga ini merupakan faktor utama yang menentukan prestasi atlet. Sekiranya atlet dibekalkan dengan latihan fizikal dan mental yang mencukupi mereka seharusnya dapat mengawal dan menukar setiap desakan yang berlaku menjadi faktor kejayaan. Diharapkan juga setiap atlet perlu mempunyai fokus yang baik dan sentiasa mengambil tahu mengenai teknik-teknik sebenar bagaimana untuk mengawal kebangkitan, tekanan dan kebimbangan dalam sukan.


Post a Comment