Jenis Ujian, Pengukuran Dan Penilaian

Jenis Ujian dan Penilaian

Penilaian merupakan satu proses untuk memperolehi maklumat kuantitatif. Ia adalah satu proses bagi guru untuk menentukan perubahan tingkah laku dan membuat pertimbangan menilai. Proses menilai dapat memberi maklumat tentang pencapaian objektif pembelajaran, kaedah mengajar seorang guru dan keberkesanan sesebuah kurikulum. Penilaian  adalah berdasarkan kepada data kuantitatif dan penghuraian kualitatif. Ia boleh dijalankan sebelum, semasa, atau selepas satu sesi pengajaran guru. Penilaian ini boleh dijalankan  berdasarkan satu pembelajaran spesifik atau kepada keseluruhan kurikulum. Menurut Nana Sudjana (1989) pula penilaian ialah suatu tindakan atau kegiatan untuk melihat sejauh mana tujuan instruksional dapat dicapai atau dikuasai dalam bentuk hasil-hasil pelajar melalui pengalaman.

Jenis Ujian

Terdapat dua jenis ujian yang akan dibincangkan dalam topik ini iaitu: 
  •  Ujian Rujukan Kriteria (URK) dan 
  •  Ujian Rujukan Norma (URN)

Ujian Rujukan Kriteria

Ujian jenis ini akan digunakan apabila guru ingin menilai  tahap prestasi kemajuan pelajarnya. Keputusan yang diperoleh daripada ujian ini tidak akan dibandingkan dengan prestasi kemajuan pelajar lain. Penilaian jenis ini selalunya digunakan bagi menilai tahap kecergasan berkaitan kesihatan. Dalam bidang pendidikan, ujian ini melibatkan pengukuran terhadap seseorang pelajar yang diasaskan daripada jangkaan prestasi yang ada kepada pelajar yang dinilai. 

Contoh 1:  Bagi memastikan seseorang pelajar itu berjaya dalam ujian larian 2.4 km, pelajar perlu memenuhi syarat yang ditetapkan seperti tamat dalam lingkungan 13:00 minit misalnya. Manakala bagi ujian bertulis Pendidikan Jasmani, pelajar sekurang-kurang dapat menjawab dengan betul sekurang- kurangnya 80 peratus daripada soalan ujian. 

Contoh  2:  Bagi menilai keupayaan pelajar dalam kemahiran bola sepak, pelajar  boleh  menjawab  sekurang-kurangnya lima  soalan  dengan  betul  dalam  ujian  pengetahuan.   Ujian berasaskan kriteria ini juga ada tahap batasannya di mana apabila tahap lulus atau gagal yang digunakan tidak berupaya menilai sejauh mana baiknya kemahiran ataupun seburuk mana pencapaian kemahiran seseorang pelajar itu.

Ujian Rujukan  Norma

Ujian ini digunakan apabila guru ingin mentafsir  kemajuan prestasi dalam satu- satu ujian dan ia berupaya membandingkan keputusan dalam kalangan pelajar terhadap satu kelas ataupun kumpulan. Perbandingan ini dilakukan berdasarkan norma yang berupaya membandingkan keputusan antara satu sama lain. Kaedah ini sering digunakan oleh guru untuk menentukan gred yang diperoleh oleh pelajar dalam satu-satu ujian. Norma dalam Pendidikan Jasmani sering dikaitkan dalam pengukuran berat, tinggi, umur dan aras gred.  Miller (2006), menyatakan guru yang ingin menggunakan ujian jenis ini perlu mengambil kira beberapa faktor seperti berikut:

  • Saiz sampel yang digunakan untuk menentukan sesuatu norma itu perlu mencakupi jumlah yang besar. 
  • Populasi yang digunakan untuk membentuk norma; sebagai contohnya jika ujian kemahiran sukan bola sepak memiliki norma untuk satu tahap darjah, maka ujian ini hanya boleh digunakan untuk tahap darjah yang sama sahaja. 
  • Norma rujukan yang dihasilkan perlulah sentiasa dikemas kini.
Perbandingan Jenis Ujian

Kedua-dua jenis ujian ini sama penting. Sekiranya seorang guru ingin membuat perbandingan pencapaian pelajar-pelajarnya, ujian rujukan norma adalah lebih sesuai.  Sebaliknya  bagi  guru  yang  menekankan  pada  tahap penguasaan  kemahiran setiap murid tanpa masa yang diambil, ujian rujukan kriteria sesuai digunakan. Jadual 1.1 menunjukkan perbandingan antara ujian rujukan norma dengan ujian rujukan kriteria.



Ujian Rujukan Norma
Ujian Rujukan Kriteria
Penggunaan
Membandingkan pencapaian  dan keupayaan individu
Membandingkan pencapaian dengan kriteria yang telah ditetapkan
Kayu pengukuran
Berdasarkan perbezaan pencapaian individu
Berdasarkan pencapaian dengan kriteria yang telah ditetapkan
Disiplin
Mempunyai disiplin mata pelajaran yang luas.
Tertumpu kepada tugasan pembelajaran yang terhad.

Pelan
Ujian Jadual penentuan yang umum digunakan
Kriteria terperinci ditentukan
Item Ujian
Soalan disusun pada peringkat kesukaran yang berbeza.

Semua soalan mempunyai peringkat yang sama.
Pencapaian
Diukur dari segi kedudukan dalam kumpulan
Jadual yang telah terbina digunakan untuk merujuk taraf pencapaian pelajar

Jadual : Perbandingan antara Ujian Rujukan Norma dengan Ujian Rujukan Kriteria

Jenis Penilaian

Penilaian dalam Pendidikan Jasmani yang biasa digunakan di peringkat sekolah boleh dibahagikan kepada  DUA bentuk iaitu Penilaian Formatif dan  Penilaian Sumatif

Penilaian Formatif

Bentuk penilaian ini digunakan bagi mengenal pasti perkembangan  pembelajaran  yang  telah  dilalui  oleh murid semasa mereka mengikuti sebarang kelas pelajaran. Ia juga dapat membantu guru membimbing pelajar yang agak ketinggalan supaya dapat dipertingkatkan kemajuannya secara tersusun. Melalui penilaian jenis ini, guru akan dapat mengetahui keputusan yang berupaya menjelaskan sama ada objektif sesuatu pembelajaran itu telah tercapai atau sebaliknya. Melalui maklumat yang diperoleh, guru berupaya  mempengaruhi corak pengajaran dan pembelajaran seterusnya. Rujukan berasaskan kriteria sering digunakan dalam penilaian jenis ini. 

Contoh 1: Ketika  guru  sudah  mengajar  kemahiran  sukan  seperti  tendangan asas dalam permainan bola sepak. Sebelum guru beralih kepada kemahiran asas seterusnya, guru akan bertindak menguji semula latihan asas yang telah diberikan. Jika  guru  telah  berpuas hati  bahawa  kemahiran  tersebut  telah dikuasai oleh pelajar maka guru boleh beralih kepada kemahiran selanjutnya berdasarkan maklumat ujian yang telah dilaksanakan oleh  guru itu sebelumnya. Jika keputusan yang diterima sebaliknya, guru boleh mengulang kaji dan menambah latih tubi kemahiran itu ataupun bertindak mengubah suai cara latihan yang sedang diamalkan. 

Contoh 2: Jika guru telah mengajar sesuatu topik yang berkaitan seperti keselamatan ketika  beraktiviti  dan  guru  telah  memperjelaskan  semua  isi  kandungan pelajaran, guru boleh bertindak menguji secara lisan bagi melihat maklum balas  akan  aras kefahaman  pelajar.  Bila  guru  telah  berpuas hati  dengan aras kefahaman pelajar, guru boleh melangkah ke topik pengajaran yang  seterusnya. 

Penilaian fomatif ini boleh diringkaskan seperti berikut :
  • Penilaian dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
  • Maklumat yang diperoleh daripada penilaian formatif dapat memberi maklum balas tentang sejauh mana sesuatu hasil pembelajaran telah dikuasai
  • Maka guru dapat mengetahui tentang kelemahan dan kekuatan serta potensi seseorang pelajar dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya
  • Guru juga boleh menilai kemajuan pelajar dalam pelbagai aspek termasuk aspek-aspek yang tidak dapat dinilai secara berpusat

Penilaian Sumatif

Penilaian jenis ini sering digunakan pada peringkat akhir sesuatu topik pengajaran. Dalam sistem persekolahan di negara ini ia diamalkan apabila   sesuatu topik itu telah dilaksanakan dengan jayanya dan sering dilaksanakan apabila sudah tiba akhir penggal persekolahan atau sudah berada pada  peringkat akhir  persekolahan. Tujuan  utama  penilaian  ini dilaksanakan adalah bagi mengetahui tahap penguasaan dan pencapaian murid bagi satu kelas atau kumpulan. Penilaian yang digunakan juga adalah berbentuk permarkahan yang mengutamakan aras gred atau diberikan pangkat  kepada pencapaian yang dikuasai oleh pelajar. Ujian rujukan  kriteria dan rujukan norma sering digunakan dalam ujian jenis ini. 

Contoh 1: Di akhir sesuatu pengajaran seperti kemahiran hoki, setelah murid telah diajar semua kemahiran berkaitan,  guru boleh melaksanakan penilaian menerusi satu permainan hoki. Dengan cara itu guru dapat menilai akan kemampuan penguasaan kemahiran oleh pelajar tersebut. Guru bertindak memantau semua pengajaran yang telah disampaikan kepada pelajar dan memastikan sama ada ia dikuasai dengan baik oleh pelajar atau sebaliknya. Guru boleh menilai pelajar berasakan gred seperti   yang boleh  digunakan ”Cemerlang”,  ”Baik”,  ”Sederhana”, ”Lemah” dan ”Sangat Lemah”.

Contoh 2 : Guru boleh menggunakan penilaian berbentuk bertulis bagi menguji kefahaman  pelajar pada  akhir  semester. Pelbagai soalan  berbentuk objektif boleh digunakan dan ia perlu meliputi semua topik pengajaran. Setelah pelajar menduduki ujian ini guru boleh memeriksa jawapan murid dan seterusnya menetapkan kemahiran  pelajar  berasaskan  markah  yang berjaya diperoleh
   
Penilaian sumatif  boleh diringkaskan seperti berikut:
  • Penilaian sumatif dikaitkan dengan penilaian pada akhir tahun atau pada akhir semester
  • Penilaian ini memberikan nilai yang membezakan pencapaian seorang pelajar dengan pelajar lain dan seringkali digunakan untuk membuat pemilihan.
  • Penilaian secara berpusat iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM biasanya dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia
  • Keputusan penilaian secara berpusat dapat memberi maklumat tentang pencapaian pelajar di seluruh negara


Post a Comment