Pendidikan Jasmani mampu menjadi medium atau alat untuk masyarakat kurang upaya untuk memperkembangkan aspek fizikal, mental dan sosial mereka. Seperti yang kita sedia maklum, golongan masyarakat kurang upaya adalah agak lemah dalam ketiga-tiga aspek ini. Kekurangan daripada aspek fizikal akibat kecacatan dan kelemahan yang dipunyai oleh mereka dan ditambahkan pula persepsi negatif masyarakat terhadap golongan ini menyebabkan tahap keyakinan diri mereka agak rendah dan membataskan pergaulan sosial mereka. Oleh sebab itu, Pendidikan Jasmani mampu melatih mereka meningkatkan tahap keyakinan diri.
Melalui Pendidikan Jasmani, mereka boleh melakukan aktiviti fizikal yang mempunyai bentuk yang hampir sama dengan aktiviti untuk individu yang normal kerana mereka juga seharusnya diberi peluang yang sama dengan rakan sebaya yang lain. Tetapi mereka memerlukan kemudahan dan penyediaan aktiviti yang bersesuaian. Setiap aktiviti yang dirancang boleh diubah suai agar bersesuaian dengan mereka. Aspek-aspek lain yang boleh diambil kira ialah pemilihan tempat untuk melakukan aktiviti, tempoh masa, kadar latihan dan sebagainya.
Selain itu, Pendidikan Jasmani juga dapat membantu memperkembangkan aspek fizikal masyarakat kurang upaya melalui aktiviti senaman, latihan fizikal dan kemahiran yang bersesuaian. Ini seterusnya membolehkan mereka mampu melakukan aktiviti-aktiviti dalam menghadapi kehidupan seharian. Dengan kemampuan yang diperolehi ini dapat meningkatkan lagi tahap keyakinan diri mereka supaya dilihat sebagai individu yang normal dan diterima dalam masyarakat.
Penguasaan kemahiran yang diperolehi ini juga dapat memberi pendedahan kepada mereka untuk berkomunikasi dan bersosial bersama-sama rakan sebaya serta masyarakat sekitar. Di samping itu juga, dengan kemahiran tahap tinggi yang dikuasai dapat memberi peluang kepada mereka untuk mengasah bakat atau kemahiran bertanding ke peringkat yang lebih tinggi seperti sukan paralimpik iaitu sukan untuk golongan Orang Kurang Upaya.
Post a Comment