Pendidikan Jasmani untuk semua
Pendidikan Jasmani merupakan satu mata pelajaran yang penting dalam kurikulum pendidikan formal sistem pendidikan di Malaysia. Walaupun mata pelajaran ini tidak ditaksirkan dalam bentuk peperiksaan tetapi ia ternyata relevan dan bersesuaian dengan mata pelajaran yang digubal oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Ini kerana mata pelajaran ini merupakan satu-satunya bidang pendidikan yang menekankan aspek fizikal yang tidak disentuh oleh mana-mana mata pelajaran lain dalam hal berkaitan dengan empat aspek terpenting dalam pendidikan iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek. Tambahan lagi, selain daripada merupakan bidang ilmu itu sendiri, ia juga menyumbang kepada kecergasan semasa seseorang murid dan mampu menerapkan amalan bersenam bukan sekadar untuk kesihatan di luar waktu sekolah malah untuk sepanjang hayat setiap individu.
Pendidikan Jasmani dilaksanakan tidak mengira usia, jantina, bangsa mahupun agama kerana setiap individu mempunyai jasadnya yang tersendiri. Oleh itu, setiap individu perlu sedar akan kepentingan penjagaan diri daripada segi mental. Emosi, jasmani, sosial dan rohani. Kesemua aspek tersebut dirangkumkan dalam pengajaran Pendidikan Jasmani. Walaupun konsep utamanya adalah jasmani, ianya tidak mengabaikan aspek-aspek lain. Sewaktu kita mempelajari atau mengembangkan kemahiran psikomotor, ia turut merangsang minda dan kognitif dengan membuatkan kita memikirkan banyak perkara, menganalisis setiap perlakuan dan pergerakan serta mengenalpasti kebaikan yang diperolehi daripada aktiviti fizikal.
Selain itu, melalui Pendidikan Jasmani juga dapat memupuk pergaulan yang sihat antara individu dengan masyarakat sekeliling melalui aktiviti fizikal yang dilakukan secara bersama di samping dapat berkongsi pengalaman dan keseronokan. Secara tidak langsung, ia dapat meningkat tahap pergaulan sosial dengan masyarakat sekeliling. Pendidikan Jasmani juga tidak mengabaikan aspek rohani dengan penerapan pelbagai nilai murini dalam setiap aktiviti fizikal yang dilakukan. Nilai murini seperti menghargai tubuh badan dapat diterapkan dalam diri individu.
Pendidikan Jasmani merupakan pendidikan yang berkonsepkan sepanjang hayat. Malaysia, sebuah negara yang ingin membina dan melahirkan individu yang sihat dan cerdas. Maka pendidikan Jasmani adalah salah satu alat yang menjadi tonggak untuk mencapai sasaran itu. Sekiranya semua rakyat sihat, penyakit dapat dikurangkan dan produktiviti dapat dipertingkatkan. Seterusnya secara tidak langsung ia akan dapat membantu kepada perkembangan dan kemajuan negara.
Post a Comment