Kriteria Pemilihan Aktiviti Pendidikan Jasmani Suaian


Infrastruktur dan Tenaga Pengajar

1.1 Infrastruktur

Menurut  Kamus Dewan Edisi Ketiga (2003), infrastruktur ialah struktur asas       sesuatu sistem atau kemudahan serta perkhidmatan asas. Manakala, Associated General of America(ACGA) pada tahun 1982 mengklafikasikan infrastruktur sebagai suatu bentuk sistem kemudahan awam yang menyediakan pembinaan perkhidmatan keperluan asas yang penting untuk manusia memeruskan hidup.   Maka, dalam penyampaian ilmu dan perlaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani suaian, infrastruktur memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan setiap aktiviti yang dirancang dapat berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang dikehendaki.

Terdapat pelbagai jenis aktiviti fizikal yang terkandung dalam kurikulum pendidikan    jasmani suaian. Setiap aktiviti memerlukan infrastruktur yang bersesuaian agar aktiviti boleh dilakukan dengan keadaan baik yang paling maksimum. Terdapat aktiviti yang memerlukan murid-murid melakukannya di padang, gelanggang, kolam renang, tasik, gimnasium, bilik aerobik, kelas dan sebagainya. Kesemua tempat yang dinyatakan itu merupakan infrastruktur yang perlu disediakan dan diwujudkan dalam penyampaian aktiviti pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani suaian.

Aktiviti-aktiviti yang dirancang mungkin melibatkan kemahiran dan juga permainan. Antara kategori kemahiran dan permainan dalam aktiviti fizikal untuk pendidikan jasmani suaian ialah :-

Permainan padang dan trek – larian, lontaran, lompatan
Permainan melibatkan bola – bola keranjang, bola tampar, hoki, bola sepak, bola jaring dan lain-lain.
Gimnastik – memusing, gulingan, melompat, memanjat, bergayut
Permainan menguji kekuatan – menolak, menarik, keseimbangan, rintangan
Permainan melibatkan kerjasama – aktiviti yang melibatkan perlakuan secara beramai-ramai atau berkumpulan
Permainan orientasi dan persepsi ruang – aktiviti yang berkaitan dengan arah (dalam, luar, belakang, depan, kanan, kiri) dan aktiviti yang menggunakan ruang sebagai medium untuk mekakukan aktiviti fizikal
Permainan melibatkan imaginasi – pembinaan blok, penyusunan objek pelbagai bentuk dan saiz
Akuatik – kemahiran-kemahiran dalam renang
Pergerakan asas – menggunakan skaf, riben, belon, gelung, tali, cermin dan lain-lain.

1.2 Tenaga Pengajar

Tenaga pengajar merupakan orang atau individu yang bertanggungjawab dalam menyampaikan ilmu dan maklumat apa yang ingin diajar kepada murid-murid kurang upaya bagi subjek pendidikan jasmani suaian. Dalam erti kata lain, tenaga pengajar pendidikan jasmani suaian ialah guru yang berperanan untuk membimbing murid-murid tersebut dalam melakukan aktiviti yang telah dirancang dan cuba mencapai objektif yang telah ditetapkan dan cuba membantu mereka melakukan aktiviti fizikal pada tahap yang paling maksimum. Tenaga pengajar merupakan tunjang kepada kejayaan pencapaian seseorang murid itu kerana mereka memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan murid-murid dapat melakukan setiap aktiviti dengan baik.

Menurut Carlise dan Philip (1984), guru pendidikan jasmani suaian perlu mempamerkan tingkah laku yang baik dan mempunyai kemahiran yang sangat baik untuk menjadi seorang tenaga pengajar yang efektif. Setiap perlakuan guru akan mempengaruhi tingkah laku murid yang diajar. Perlakuan tersebut boleh dilihat dan dinilai secara lisan dan bukan lisan. Murid akan melihat setiap perlakuan guru dan cuba memberi respon berdasarkan apa yang dilihat oleh mereka.

Menurut Suomi, J., Collier, D., & Brown, L. (2003), seorang guru pendidikan jasmani ialah seorang yang berperanan sangat penting dalam mempengaruhi kehidupan sosial muridnya melalui pengajaran dan pembelajaran dalam kelas pendidikan jasmani. Seorang tenaga pengajar yang baik turut memiliki tingkah laku yang baik. Antara tingkah laku atau ciri-ciri seorang tenaga pengajar pendidikan jasmani suaian yang baik ialah :

Ciri-ciri
Penerangan
Mempunyai suara yang jelas
Guru harus mempelbagaikan ton, kekuatan dan nada suara agar murid-murid tidak mudah teralih perhatian.Guru boleh bercakap perlahan dan kemudiannya kuat untuk menarik minat murid mendengar isi pengajaran dan arahan yang diberi
Mempunyai eye contact
Lirikan mata memainkan peranan dengan cara guru boleh melihat murid secara menatap dari mata ke mata, bercakap tanpa melihat, bercakap dengan melihat ke atas dan ke bawah atau mempelbagaikan aksi mata dengan mengecilkan atau membesarkan mata ketika bercakap
Menggunakan bahasa badan (body language)
Seorang guru pendidikan jasmani suaian banyak melakukan demonstrasi dan melibatkan pergerakan badan. Selain itu, guru juga boleh mempelbagaikan aksi pergerakan tubuh badan ketika melakukan penerangan agar setiap isi pengajaran tidak disampaikan secara membosankan
Menunjukkan mimik muka yang bersesuaian
Guru perlu menunjukkan mimik muka yang menyeronokkan agar murid-murid turut berasa seronok untuk mempelajari isi pengajaran dan melakukan aktiviti fizikal yang dirancang. Murid-murid akan melakukan aktiviti bersungguh-sungguh dengan tunjuk ajar yang diberi oleh guru
Memberi maklum balas atau respon
Seorang guru PJ suaian haruslah peka terhadap muridnya. Guru haruslah memberi respon dan maklum balas terhadap setiap usaha yang dilakukan mereka agar keyakinan diri mereka dapat ditingkatkan. Maklum balas terbahagi kepada 2 iaitu :
a)    Diskriptif (general)
Contoh : Bagus!, Kamu boleh buat!, Sikit saja lagi!.
b)    Presriktif (spesifik)
Contoh : Ikut lajak!, Pindahkan berat badan!, Pusing ke arah kanan!, Guna kekura kaki untuk menendang!
Memberi galakan dan motivasi
Guru harus bijak dalam menambat hati murid agar mereka berasa diri mereka dihargai. Guru perlu memberi galakan yang positif agar agar murid-murid yang lemah tidak berasa rendah diri dan murid-murid yang mahir berasa usaha mereka diberi perhatian dan penghargaan. Contoh: Jangan mengaku kalah!, Usaha lagi!, Kamu pasti boleh lakukannya! Bagus! Baik! Kamu ada peningkatan!
Penyabar
Guru PJ suaian harus mempunyai kesabaran yang tinggi kerana murid-murid kurang upaya mempunyai pelbagai jenis kerenah yang di luar dugaan. Setiap kerenah haruslah ditangani dengan bijak dan cuba sedaya upaya untuk menarik minat mereka melakukan aktiviti.
Guru juga perlu bersabar dalam memberi penerangan kepada murid bagi setiap permainan dan aktiviti yang dilakukan dengan mengulang setiap peraturan berulang kali setiap hari agar mereka lebih memahami dan mengingati setiap peraturan yang dinyatakan.
Peka
Guru PJ suaian juga harus peka terhadap masalah yang dihadapi oleh murid supaya guru sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan. Mereka yang bekeperluan khas ini mempunyai pelbagai jenis masalah maka guru perlu mengambil tahu setiap kecacatan dan kekurangan mereka. Contoh : guru harus memerhatikan murid yang mempunyai masalah sawan semasa melakukan aktiviti.
Guru juga perlu peka terhadap kelebihan atau kekurangan kemahiran motor murid serta prestasi murid agar setiap kekurangan dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.
Kreatif
Guru PJ suaian perlu bersikap kreatif dengan mempelbagaikan jenis permainan agar murid tidak berasa bosan. Walaupun kemahiran yang diajar adalah sama, tetapi guru boleh melakukannya dengan memberi murid merasai dan melakukan kemahiran dalam bentuk permainan yang berlainan.
Guru juga boleh mempelbagaikan jenis peralatan atau mengubah suai peralatan mengikut kesesuaian masalah yang dihadapi oleh murid (tetapi aspek keselamatan harus diutamakan). Contoh 1: Guru ingin mengajar kemahiran membaling. Guru boleh mempelbagaikan jenis objek iaitu menggunakan belon, bola kecil, bola besar, bola bewarna-warni (pelbagai jenis warna), bola ringan dan sebagainya. Contoh 2: Guru boleh mengubah suai kayu atau bet sofbol dengan menggantikannya dengan gulungan surat khabar lama, dahan pokok, bet kecil dan lain-lain.
Guru juga perlu bijak dalam mengubah peraturan agar murid-murid tidak berasa tertekan untuk terus mencapai tahap yang tinggi. Guru boleh mengubah peraturan mengikut kebolehan murid
Guru juga boleh mempelbagaikan gaya pengajaran agar murid-murid sentiasa berasa seronok dan tertarik untuk mempelajari setiap kemahiran yang diajar dengan lebih mendalam
Membuat rekod / penilaian
Guru PJ suaian perlu membuat pemerhatian terhadap perkembangan murid-murid agar setiap peningkatan dan perkembanagn murid dapat dilihat dan dianalisis dari semasa ke semasa. Murid yang lemah perlu dibantu dan murid yang bagus perlulah diberikan penambahan kepada kemahiran.


Seorang guru pendidikan jasmani suaian yang bagus dan efektif mempunyai 3 kebolehan iaitu pengetahuan, kelakuan dan persembahan kemahiran. Berikut ialah langkah-langkah dan peringkat pengajaran bagi seorang tenaga pengajar atau guru pendidikan jasmani suaian:

2. Perkembangan Murid

Perkembangan murid ialah perkara terpenting dalam memastikan pemilihan aktiviti pengajaran dan pembelajaran sesuatu kemahiran atau permainan. Tujuan utama seorang guru merancang aktiviti adalah untuk memastikan murid berusaha untuk menggunakan anggota badannya secara maksimum agar otot-otot dapat dikembangkan dan diaktifkan secara betul.

Maka, setiap aktiviti yang dipilih akan melihat perkembangan murid daripada aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosialnya. Semua aspek yang dinyatakan perlu   diambil kira agar aktiviti yang bersesuaian  boleh dirancang untuk  mereka. Tidak semua murid mempunyai tahap perkembangan yang sama dan seimbang. Tambahan pula, kekurangan dan kecacatan mereka berlainan antara satu sama lain. Guru perlu meneliti setiap murid dan mengambil tahu setiap perkembangan murid-murid berdasarkan semua aspek yang dinyatakan. Tetapi, sebagai guru pendidikan jasmani, guru perlu tahu fokus utama aktiviti fizikal dilakukan adalah untuk memperkembangkan aspek fizikal mereka semaksimumnya. Tetapi dalam masa yang sama, aspek-aspek lain tidak dilupakan.

Semua aspek yang dinyatakan perlu wujud agar murid kurang upaya juga dapat menjadi insan yang harmonis dan seimbang selaras dengan matlamat dan falsafah yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

2.1 Jasmani
Memandangkan murid-murid keperluan khas mempunyai pelbagai kekurangan dan masalah, guru perlu mengubah rancangan pengajaran bagi aktiviti fizikal kepada yang lebih mudah. Guru juga perlu sentiasa memerhatikan murid-murid ketika mereka melakukan aktiviti. Guru perlu memastikan murid-murid melibatkan diri, bekerjasama antara rakan sebaya dan mewujudkan suasana yang positif. Bagi memastikan kemahiran dan perkembangan fizikal mereka dapat ditingkatkan, guru-guru boleh :


  • Mengubah suai permainan kepada aras yang lebih rendah tetapi masih boleh memberi cabaran kepada seisi kelas. Contoh: gunakan belon sewaktu melakukan aktiviti menggelecek atau menendang kepada murid yang mempunyai masalah lembam atau masa tindak balas yang sangat lemah.
  • Mengubah suai peraturan tetapi masih mengekalkan konsep aktiviti yang sama. Contoh: ubahkan posisi biasa dalam permainan bola tampar seperti memberi arahan kepada murid untuk duduk ketika bermain maka semua murid boleh terlibat
  • Memberi kesenangan dan memudahkan murid-murid yang tidak mampu melakukan pergerakan yang banyak dengan mengecilkan saiz kawasan bermain dan juga mengecilkan saiz kumpulan yang terlibat.
  • Sekiranya murid mengalami kecacatan atau masalah pada bahagian kaki, pastikan dia menggunakan lebih lengan dan tangannya. Contoh : benarkan murid tersebut melakuakan ‘tendangan ke dalam’ bagi futsal dengan menggunakan tangan.
  • Tentukan posisi murid mengikut kebolehan mereka. Contoh: murid yang bergantung pada kerusi roda bertindak sebagai pitcher dalam sofbal, penjaga gol bagi bola sepak dan foul shooter dalam bola keranjang.


Kesemua perkara di atas merupakan sebahagian daripada aktiviti yang boleh meransang perkembangan fizikal murid-murid. Pendidikan jasmani suaian bertindak sebgai medium untuk mereka memaksimumkan penggunaan anggota fizikal mereka dan menggunakannya dengan cara yang betul.

2.3 Emosi
Guru perlu memainkan peranan dalam membina perkembangan emosi yang selamat bagi murid-murid. Pembinaan natural-gender murid-murid perlu dibina daripada aspek :-

2.4 Keyakinan diri
Aktiviti yang dirancang mengikut kesesuaian tahap murid yang terlibat. Secara tidak langsung, aktiviti-aktiviti tersebut mampu membina keyakinan diri murid-murid untuk bertindak seperti individu yang normal. Mereka juga boleh melakukan aktiviti-aktiviti fizikal seperti berenang, bermain bola sepak, bermain bola tampar, berkayak dan sebagainya tetapi mengikut cara yang sewajarnya.

Murid-murid juga dapat mengasah potensi dan kebolehan yang terdapat dalam diri mereka dan disalurkan dengan cara yang betul. Mereka juga dapat melaksanakan aktiviti atau rutin harian mereka dengan menggunakan segala kekurangan mereka sebagai suatu kelebihan. Contohnya : murid yang kudung mampu menggunakan kaki untuk menulis

2.5 Motivasi
Apabila mereka sudah mempunyai tahap keyakinan yang baik, mereka juga sudah mampu memotivasikan diri sendiri. Mereka akan melakukan setiap perkara dengan besungguh-sungguh. Bukan setakat memotivasikan diri sendiri, malah mereka boleh juga memotivasikan rakan-rakan yang lain.

2.6 Daya usaha
Sekiranya mereka sudah boleh memotivasikan diri sendiri, mereka pasti akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu perkara atau kemahiran yang diajar kepada mereka. Mereka akan berlatih untuk memahirkan diri dan memantapkan kemahiran yang dipelajari agar mereka dapat menggunakan segala kemahiran tersebut dengan cara yang betul

2.7 Rohani
Setiap apa yang diajar kepada mereka, perlu diselit unsur-unsur atau nilai-nilai murni agar segala perkara positif dapat diterapkan ke dalam diri mereka. Guru boleh menerapkan nilai kesyukuran kepada mereka walaupun mereka dilahirkan dan ditakdirkan untuk mempunyai kecacatan dan kekurangan, mereka harus bersyukur kerana masih mampu hidup dna menjalani kehidupan seharian dengan baik.  Mereka juga perlu diterapkan dengan nilai menghargai, menghormati, membantu orang lain dan lain-lain.

2.8 Intelek
Selain daripada aspek fizikal atau jasmani, aspek kognitif turut dititik beratkan dalam perkembangan murid-murid ketika melakukan aktiviti dalam pendidikan jasmani suaian. Hal ini kerana sebelum melakukan apa-apa perkara, mereka akan menggunakan otak untuk berfikir seterusnya melakukan tindakan. Maka, penjanaan intelek dan minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas. Oleh sebab itu, murid melakukan aktiviti fizikal untuk mengoptimumkan kecergasan dan secara tidak langsung menjana minda yang cerdas. Murid-murid mampu berfikir secara kritis dan menjana kemahiran berfikir mereka. Secara tidak langsung, mereka juga mampu menganalisis setiap perkara yang diajar ketika aktiviti fizikal dilakukan. Contohnya: kenapa saya tidak dapat melakukan kemahiran memukul dalam hoki tepat mengenai sasaran? Murid akan menganalisis dan mengesan kelemahan sendiri.

2.9 Sosial
Menurut Block dan Conatser (1999), interaksi sosial antara murid agak mencabar kerana mereka kurang berkomunikasi dengan rakan sebaya. Guru perlu memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan pergaulan sosial mereka dapat ditingkatkan dengan melibatkan aktiviti secara berkumpulan agar mereka lebih bergaul dengan rakan-rakan sebaya. Mereka akan mengenali sifat tanggungjawab terhadap orang lain pada ketika ini. Mereka akan melakukan aktiviti secara berpasangan atau berkumpulan. Pada masa itu, kerjasama juga dapat dipupuk dalam diri mereka dan menghormati orang lain.

3. Peralatan dan Kemudahan

Setiap aktiviti fizikal yang dirancang pasti ada menggunakan peralatan dan kemudahan tertentu sebagai alatan yang membantu kepada pencapaian objektif pembelajaran. Peralatan memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan aktiviti fizikal setiap murid dapat dilakukan secara maksimum. Semua permainan mempunyai peralatannya yang tersendiri. Tetapi, oleh sebab murid-murid yang mempelajari pendidikan jasmani suaian ialah murid-murid kurang upaya, peralatannya juga ada yang telah diubah suai mengikut tahap kelemahan dan kekurangan individu.


Jenis kecacatan/kekurangan
Peralatan yang Digunakan
Buta
Bola yang mempunyai loceng
Buta
Velkro
Kecacatan fizikal (kaki)
Tiang gol pintu yang lebih luas
(penyerang)
Kecacatan fizikal (pakai kerusi roda)
Tiang gol yang lebih rendah
(penjaga gol)
Autisme
Bola yang bewarna – warni (menarik perhatian)
Pekak
Semua peralatan(tetapi diselitkan dengan isyarat tangan dan mimik muka)

Jadual : Jenis Kecacatan dan Peralatan yang Sesuai Digunakan Mengikut Kecacatan

Peraturan / Isyarat
Sempadan / Kawasan Padang
Tempoh / Masa
Tindakan
Demonstrasi
Kurangkan jarak
Pelbagaikan kelajuan
Ubah suai corak pergerakan lokomotor
Menerangkan peraturan berulang kali
Gunakan sempadan dan tanda yang mudah dilihat
Perlahankan perjalanan aktiviti
Ubah suai cara memegang bola/kayu/ apa-apa sahaja
Tidak mementingkan tempoh masa
Gunakan tanda yang bentuknya mudah dilihat dan dikenal pasti
Panjangkan masa (ikut kesesuaian)
Mengurangkan perlakuan dan tindakan
Menggunakan bib atau riben (warna mengikut pembahagian kumpulan)
Sesuaikan diri dengan kawasan bermain
Pendekkan masa
(ikut kesesuaian)
Menggunakan bahagian-bahagian anggota badan yang berlainan
Murid yang sangat kurang upaya berada berhampiran guru
 Kecilkan saiz kawasan
Sediakan waktu rehat secara berkala
Mempelbagaikan kemahiran untuk semua anggota badan

Jadual : Peraturan, Kawasan, Masa dan Tindakan untuk Aktiviti


Bola Keranjang
·         Gunakan pelbagai jenis bola (saiz, berat, tekstur, warna)
Benarkan menggelecek menggunakan kedua-dua tangan
·         Abaikan arahan 3 saat
·         Gunakan tiang gol yang rendah dan gol yang besar
·         Perlahankan kelajuan permainan
·         Jika murid menggunakan kerusi roda, benarkan dia memegang bola atau meletakkan bola di peha ketika dia hendak memusingkan kerusi
·         Gunakan bola yang bergetar dan letakkan radio di bawah gol untuk murid yang cacat penglihatan

Golf
·         Gunakan club dengan kepala besar
·         Gunakan club yang pendek / ringan
·         Gunakan bola bewarna-warni dan besar
·         Praktis tanpa bola
·         Gunakan tee untuk setiap pukulan
·         Pendekkan jarak pukulan/ sasaran
Bola Sepak
·         Berjalan sebagai pengganti berlari
·         Wujudkan sempadan atau tanda yang mudah dilihat
·         Kurangkan keluasan kawasan bermain
·         Permainan 6 sebelah
Jika murid menggunakan kerusi roda, benarkan dia memegang bola atau meletakkan bola di peha ketika dia hendak memusingkan kerusi
·         Sasaran yang disediakan mesti berbunyi bising sebagai tanda atau menyenangkan murid yang cacat penglihatan
Sofbol
·         Gunakan bola dan sarung tangan valkro
Gunakan bet yang besar / kecil
·         Gunakan batting tee
·         Kurangkan jarak base
·         Pendekkan jarak untuk pitching
Shorten the pitching distance
·         Jika murid menggunakan kerusi roda, benarkan dia memukul bola off ramp, off lap, or from tee
Sediakan rakan untuk membantu
·         Murid yang benar-benar kurang upaya bermain posisi biasa.

Bola Tampar
·         Gunakan bola yang besar, ringan, lembut dan berwarna cerah
·         Benarkan murid menangkap bola pengganti menyangga atas
·         Benarkan murid melambung dan
Tenis
·         Gunakan bola yang besar dan ringan
·         Gunakan raket yang pendek dan ringan
·         Gunakan raket yang kepalanya luas
·         Bola dipukul perlahan

·         mengumpan sendiri bola
·         Rendahkan jaring
·         Kurangkan saiz dan keluasan gelanggang
·         Berdiri dekat dengan net ketika servis
·         Biarkan bola melantun dahulu
·         Rendahkan jaring atau tidak menggunakan jaring
·         Benarkan servis pendek
·         Berdiri berhampiran net ketika servis
·         Tidak perlu berada di petak servis untuk melakukan servis
·         Meminta bantuan rakan untuk memberi arahan.


4.  Persekitaran Budaya dan Tempat

4.1 Persekitaran Budaya

Persekitaran budaya merujuk kepada suasana sesuatu gaya hidup, adat dan tamadun sesebuah kawasan. Budaya juga sering dikaitkan dengan corak atau rutin kehidupan seharian, adat resam sesuatu agama dan bangsa. Setiap budaya diamalkan berbeza mengikut agama masing-masing. Memandangkan Malaysia terdiri daripada pelbagai jenis bangsa dan kaum, maka pelbagai budaya wujud di negara kita. Jadi, dalam sesebuah kelas kanak-kanak keperluan khas yang mempelajari pendidikan jasmani suaian terdiri daripada pelbagai kaum termasuklah Melayu, Cina, India, orang Asli, Kadazan, Iban dan lain-lain.

Guru atau tenaga pengajar perlu mengambil berat aspek ini sebelum memilih sebarang aktiviti. Guru perlu memastikan aktiviti yang dipih tidak akan menyentuh sensitiviti mana-mana kaum bagi mengelakkan berlakunya sebarang pertelingkahan dan pergaduhan.

Guru perlu sentiasa memerhatikan pergaulan dan tingkah laku murid supaya tidak berlakunya sebarang pergaduhan atau tindakan untuk mencederakan. Sekiranya berlaku pergaduhan. kemungkinan besar mereka akan berperang mulut atau berlawan kata-kata. Tanpa sedar, mereka akan bercakap perkara-perkara yang melibatkan budaya dan sensitiviti perkauman yang boleh menyebabkan berlakunya pelbagai implikasi negatif.

Menurut Bond dan Castagnera (2003), murid-murid kurang upaya ini perlu diterapkan perasaan tanggungjawab sebagai komuniti dalam sesebuah kelas dan integrasi antara rakan-rakan supaya mereka mempelajari menghargai kelebihan dan nilai persahabatan supaya mereka lebih menghormati antara satu sama lain. Murid perlu selesa dengan kehidupan seharian di sekolah kerana kadang kala rutin di sekolah memberi lebih kesan berbanding pengaruh kehidupan di rumah. Dengan itu, pendidikan yang sempurna mampu menentukan corak kehidupan mereka selepas alam persekolahan.

Murid kurang upaya lebih memerlukan perhatian dan pendidikan daripada tenaga pengajar agar mereka boleh menjalani kehidupan yang lebih baik sepanjang kehidupan mereka. Suasana bilik darjah, suasana pengajaran dan pendekatan yang digunakan guru ketika mengajar membantu dalam membina sahsiah yang baik murid.

Aktiviti fizikal mampu merapatkan hubungan murid-murid yang terdiri daripada pelbagai kaum ini. Mereka akan menghormati budaya masing-masing tetapi guru harus peka dan mengambil berat setiap perlakuan murid. Sebagai rasa bangga dengan kepelbagaian kaum di Malaysia, guru boleh mengajar murid permainan tradisional mengikut kaum di Malaysia. Contohnya, permainan konda- kondi yang dimainkan oleh masyarakat India. Guru boleh memberi penerangan tentang sejarah dan asal usul permainan tersebut dan menerangkan peraturannya kepada murid sebelum bermain. Galah panjang yang sering dimainkan oleh masyrakat Melayu juga boleh dimasukkan dalam aktiviti untuk pendidikan jasmani suaian. Seni Tari dan mempertahankan diri kaum Cina iaitu Tai Chi boleh dijadikan sebagai aktiviti memanaskan badan sebelum memulakan aktiviti fizikal.

4.2  Persekitaran Tempat

Persekitaran tempat merujuk kepada kawasan sekitar atau suasana sesuatu tempat. Tempat atau kawasan sesebuah sekolah didirikan ialah sama ada di kawasan bandar atau luar bandar. Mentaliti dan cara masyrakat bandar dan luar bandar adalah berbeza. Maka, seorang guru pendidikan jasmani suaian haruslah mengambil tahu terlebih dahulu cara masyarakat setempat sebelum memilih aktiviti.

Bagi masyarakat luar bandar, mereka mungkin mempunyai kekurangan daripada segi kemudahan dan infrasruktur. Contohnya, mereka tidak didedahkan dengan kebiasaan berenang di kolam renang. Bagi mereka, aktiviti renang dilakukan di sungai ataupun laut. Guru memainkan peranan untuk menerangkan kepada murid-murid ini tentang perbezaan ruang untuk melakukan aktiviti tersebut. Walau bagaimanapun kedua-duanya sangat mementingkan aspek keselamatan.

Masyarakat luar bandar juga mungkin tidak tahu bagaimana keadaan gelanggang tenis yang sebenar. Maka, guru perlu mengambil inisiatif dengan mewujudkan gelanggang tenis menggunakan segala kelengkapan dan kemudahan yang disediakan. Walaupun tidak sempurna, guru sekurang-kurangnya telah berusaha untuk memberi gambaran yang jelas kepada murid-murid sebelum mengajar mereka dengan lebih lanjut.

Lain pula halnya dengan masyarakat bandar, mereka mungkin kurang arif daripada segi permainan-permainan tradisonal. Contohnya permainan galah panjang. Masyarakat bandar tidak berapa dititikberatkan tentang nilai dan budaya kita. Maka, guru perlulah memberi penerangan yang jelas tentang permainan tersebut beserta peraturan dan undang-undang permainan.

Kesimpulannya, sama ada bandar atau luar bandar masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Maka, guru memainkan peranan yang sangat penting sebelum memilih aktiviti yang bersesuaian untuk dijadikan slot kepada pengajaran dan pembelajaran kepada murid-murid dan guru perlulah bersedia terlebih dahulu untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan wujud ketika mengajar.


Post a Comment