1.1      Pendahuluan

… it is difficult to see how teaching can be improved or how curriculum proposals can be evaluated without   self-monitoring on the part of teachers. A research   tradition which is accessible to teachers and which feeds teaching must be created if education is to be significantly improved. (Stenhouse 1975:165)

Kajian tindakan melibatkan pengumpulan dan penterjemahan data untuk memudahkan pemahaman seseorang tentang sesuatu fenomena atau permasalahan di tempat kerja. Perkara utama dalam prinsip pelaksanaan kajian tindakan ialah matlamat untuk memperbaiki amalan seseorang atau mengatasi masalah yang dihadapi dengan membuat  tindakan  terhadap  penemuan  yang  didapati  tentang  sesuatu  amalan  itu. Kajian tindakan dalam pendidikan menjadi satu perkembangan penting yang memberi alternatif penyelidikan  kepada pendidik.

Pengamalan 'research thinking and orientation’ dan ‘research-based decision-making' dalam tugas harian dalam kalangan guru merupakan satu daripada pendekatan terbaik untuk meningkatkan mutu kecemerlangan pendidikan, terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran. Kajian tindakan merupakan wadah yang sangat berkesan dalam membantu guru-guru memahami dan menganalisis masalah dan seterusnya menjalankan kajian bagi mendapatkan jawapan untuk  mengatasi  masalah tersebut. Kajian tindakan membantu guru-guru untuk bertindak secara sistematik berdasarkan tatacara yang digariskan untuk menjalankan kajian.

1.2      Definisi Kajian Tindakan

Kajian tindakan adalah satu kajian yang berbentuk inkuiri refleksi kendiri yang dilakukan oleh peserta iaitu pengamal pendidikan, guru atau pendidik sebagai penyelidik  dalam situasi sosial itu sendiri. Sebagai penyelidik, mereka melaksanakan tindakan praktik (intervensi)  bertujuan  untuk  membaiki  atau  meningkatkan  kualiti  amalan  masing- masing, di samping meningkatkan kefahaman mereka tentang amalan itu serta situasi di mana amalan itu dilakukan. Ia melibatkan proses membuat refleksi, merancang, melaksanakan dan memerhati.

Terdapat pelbagai definisi kajian tindakan yang telah dikemukakan oleh pakar-pakar kajian tindakan. Antaranya adalah seperti berikut:

i.         Kemmis & McTaggart (1988)

Kajian  tindakan merupakan satu bentuk inkuiri refleksi kendiri yang  dilakukan secara kolektif, dilakukan oleh peserta yang  berada dalam sesuatu situasi sosial bertujuan meningkatkan kerasionalan dan keadilan amalan-amalan kemasyarakatan dan pendidikan mereka sendiri, di samping meningkatkan kefahaman mereka tentang amalan-amalan itu serta situasi di mana amalan itu dilakukan

ii.        Ebbut (1985)

Kajian tindakan merupakan suatu pengkajian yang  sistematik oleh sekumpulan pengamal  terhadap  usaha-usaha  untuk  mengubah  dan  memperbaiki amalan pendidikan melalui tindakan praktis mereka sendiri serta refleksi terhadap kesan atau akibat tindakan tersebut.

iii.       McNiff (1988)
Kajian tindakan adalah satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan dengan menggalakkan guru-guru menjadi lebih  sedar  tentang  amalan mereka sendiri,  menjadi kritis terhadap amalan- amalan tersebut dan bersedia untuk mengubahnya. Ia melibatkan guru dalam inkuiri yang dijalankan oleh mereka serta melibatkan guru-guru lain secara bersama.

iv.       Somekh (1989)

Kajian  tindakan  ialah  satu  kajian  terhadap  situasi  sosial  yang    melibatkan peserta dalam situasi   sosial itu sendiri sebagai penyelidik dengan niat untuk memperbaiki kualiti amalan masing-masing.

v.        Cochran-Smith dan Lytle (1990)

Kajian tindakan merupakan kajian bilik darjah yang dilakukan oleh guru-guru bagi membolehkan mereka meneroka isu-isu yang mereka sukai. Ia juga menyediakan satu kaedah yang formal bagi menjadikan pengetahuan guru sebagai sebahagian daripada sumber maklumat dalam pengajaran serta mendekatkan guru dalam struktur kuasa dalam pendidikan.

vi.       Kember dan Gow (1992),

Kajian tindakan melibatkan pengamal (guru) untuk mencuba membaiki pengajaran mereka melalui kitaran yang melibatkan proses perancangan, pelaksanaan, pemerhatian dan refleksi.

Kesimpulannya,    berdasarkan  pelbagai  definisi  tersebut  dapat  dirumuskan  bahawa kajian tindakan merupakan satu kaedah   untuk guru mereflek masalah yang mereka hadapi, memungut dan menganalisis data dan melaksanakan perubahan terhadap amalan   mereka   berdasarkan   dapatan-dapatan   yang   diperolehi.   Kajian   tindakan menjurus kepada matlamat menjalankan penyelidikan tindakan, iaitu atas keinginan dan kecenderungan  guru  untuk  membaiki  kualiti  amalan  atau  pengajaran  pembelajaran serta   situasi kerja.     Sehubungan dengan itu, guru dapat mengatasi masalah yang dihadapinya dalam konteks amalan mereka sendiri.

1.3      Tujuan Kajian Tindakan

Kajian tindakan bertujuan untuk memperbaiki amalan pengajaran, memperbaiki atau meningkatkan kefahaman terhadap amalan pengajaran, dan memperbaiki situasi di mana pengajaran dijalankan.

Semua guru adalah penyelidik kerana sesiapa sahaja yang terlibat dalam pengajaran secara  langsung  sebenarnya  terlibat  dalam  proses  penyelidikan  tindakan  melalui semua fasa iaitu merancang, melaksana, memerhati dan mereflek. Kepentingan guru melaksanakan   penyelidikan   ke   atas   pengajaran   dan   pembelajaran   juga   telah ditegaskan oleh Stenhouse (1984:69) iaitu:

...Guru yang baik tidak perlu disuruh membuat sesuatu. Mereka tidak bergantung kepada penyelidik-penyelidik, Jemaah Nazir, pihak yang membuat inovasi atau penyelia. Guru yang baik adalah sentiasa rela menerima nasihat, bimbingan dan bantuan. Pendidik-pendidik luar bilik darjah boleh memberi khidmat nasihat tetapi hanya guru sahaja yang akhirnya diamanahkan untuk mengajar dengan baik. Oleh yang demikian, guru sepatutnya menganggap strategi-strategi dan teknik-teknik pengajaran sebagai percubaan dan eksperimen supaya mereka dapat mengkritik kemahiran-kemahiran mereka bagi  mencapai  peningkatan  kemahiran  profesionalisme.  Perbuatan sedemikian membawa maksud bahawa guru patut melibatkankan diri dengan penyelidikan bilik darjah.

Budaya penyelidikan amat perlu diterap dan diberi penekanan dalam kalangan guru di sekolah.  Ia  amat  bertepatan  dengan  tugas  guru  sebagai  pendidik  yang  sekali gus berperanan sebagai agen perubahaan. Sehubungan dengan itu, setiap permasalahan, kekangan atau kerumitan yang berlaku pada peringkat sekolah sewajarnya dapat diselesaikan secara  bijaksana oleh warga pendidik di sekolah.

1.4      Ciri-ciri  Kajian Tindakan

Ciri penting kajian tindakan ialah:

i.     dilakukan  oleh  guru  atau  pendidik  dalam  konteks  tugas  seharian  atau  dalam konteks mata pelajaran dan kelas yang  mereka ajar;
ii.    dilakukan   secara   berkumpulan   dan   secara   kolaboratif   dengan   membentuk kumpulan-kumpulan guru yang  bersifat kritis kendiri (self-critical) dan berkomitmen untuk  meningkatkan kefahaman praktis mereka; menggunakan tindakan praktis bagi menyelesaikan masalah dan mengembangkan pengetahuan secara serentak.
iii.   pengkaji terlibat secara langsung dalam usaha memperbaiki amalan pendidikan dan menambahkan kefahaman terhadap amalan tersebut;
iv.   banyak menggunakan aktiviti atau kaedah refleksi kendiri;
v.    dilakukan secara sistematik dan ‘rigorous’; dan
vi.   dilakukan  secara  berterusan,  berkembang  mengikut  kitar  refleksi  kendiri  iaitu tinjauan, perancangan, pelaksanaan dan renungan atau refleksi.

1.5      Model Kajian Tindakan

Terdapat pelbagai model kajian tindakan yang telah dibangunkan oleh para penyelidik antaranya ialah Model Kajian Tindakan yang dibangunkan oleh Kemmis & McTaggart (1988). Model tersebut menyarankan empat langkah kajian tindakan berdasarkan gelungan (cycle) seperti berikut:

i.          Mereflek (Reflect);
ii.         Merancang (Plan);
iii.        Bertindak (Action); dan iv.        Memerhati (Observe).

Langkah-langkah tersebut boleh dirumuskan seperti yang ditunjukkan pada Rajah 1.

Rajah 1: Gelung Kajian Tindakan (Kemmis & McTaggart, 1988) Rajah 1 menunjukkan kajian tindakan dijalankan berpandukan proses berikut:

i.          guru   menjalankan   refleksi   ke   atas   satu-satu   isu   pengajaran   dan pembelajaran yang hendak ditangani;

ii.         guru   menyediakan   satu   rancangan   yang   sesuai   untuk   mengatasi masalah yang dihadapinya; dan

iii.        guru  melaksanakan  rancangan  yang  dihasilkan  dan  dalam  proses pelaksanaannya guru memerhati kemajuan tindakan yang dijalankan itu.

Refleksi dilakukan bertujuan seperti berikut:

i.          memahami kewujudan sesuatu masalah/kesukaran;
ii.         memahami mengapa masalah tersebut wujud;
iii.        memahami bentuk  masalah yang timbul;
iv.        mengetahui tahap keseriusan masalah yang  membelengu pengajaran dan pembelajaran tersebut; dan
v.         memahami pelaku yang  terlibat secara langsung atau tidak  langsung dalam permasalahan itu.

Keseluruhan  pelaksanaan  kajian  tindakan  tersebut   disifatkan  sebagai  Gelungan Pertama (Cycle 1) dan jika masalah tidak dapat ditangani, maka guru bolehlah memulakan proses semula ke Gelungan Kedua (Cycle 2) sehinggalah masalah dapat diselesaikan.   Satu kritikan terhadap model ini ialah ia sentiasa berlanjutan dan tiada finality dalam sesuatu proses yang hendak dilaksanakan.

1.6     Perkembangan Kajian Tindakan

PERKEMBANGAN KAJIAN TINDAKAN

DIPERKENALKAN OLEH KURT LEWIN (1946) (Ahli Psikologi Sosial)
Dua Idea Utama Konsep Penyelidikan Tindakan
Keputusan Bersama
Komitmen Untuk Penambahbaikan

Idea Lewin digunakan oleh Stephen Corey
di Teachers’ College Columbia University, New York (1953)
sebagai pendekatan penyelidikan di sekolah

Tahun 1970-an Penyelidikan mendapat perhatian antarabangsa
Lawrence Stenhouse memperkenalkan Konsep Guru Sebagai Penyelidik
1975-Humanities Curriculum Project (HCP)
1978-Research as a basic for teaching (di UEA, Norwich, England)

Tahun 1976 John Elliot dan Rakan-rakan memperkenalkan Ford Teaching Project di CARE, UEA, Norwich Classroom Action Research Network (CARN) Projek PALM (1988-1990)

Penyelidikan Tindakan berkembang di Eropah, Australia dan USA

Di Malaysia, KT  berkembang 1990-an
Konsep KT  diperkenalkan kepada 41 orang pensyarah institut/maktab perguruan dan pegawai BPG dari 11 hingga 20 Disember 1988 oleh Prof. Stephen Kemmis dari School of Education,
Deakin University, Australia.

Tahun 1990-an Idea “guru sebagai penyelidik”
menjadi sebahagian kandungan kursus program pra-perkhidmatan dan dalam perkhidmatan di institut/maktab perguruan.

“ Programme for Innovation, Excellence and Research” (PIER) BPPDP 1993-1996

KT sebagai mata pelajaran dalam komponen kursus DPM
di Institut/Maktab Perguruan bagiKursus Diploma Pendidikan dan Ijazah

Rajah 1.2 :  Perkembangan Kajian Tindakan Di Malaysia

1.7      Kajian Tindakan di Malaysia

Kajian tindakan di Malaysia mula diperkenalkan secara formal kepada 41 orang pensyarah maktab perguruan serta pegawai dari Bahagian Pendidikan Guru (BPG) pada Disember 1988 melalui satu kursus jangka pendek (BPPDP, 2005). Kursus ini dikendalikan oleh Prof. Stephen Kemmis dari School of Education, Deakin University, Australia pada 11 hingga 20 Disember 1988. Dalam tahun 1990an, idea “guru sebagai penyelidik” telah menjadi sebahagian daripada kandungan kursus program pra- perkhidmatan dan dalam perkhidmatan di Institut Pengajian Guru Malaysia (IPGM) sehingga kini.

Kegiatan kajian tindakan terus mendapat perhatian daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dari tahun 1993 hingga 1996 apabila Projek PIER (Programme for Innovation, Excellence and Research) dilaksanakan dengan peruntukan Pinjaman Bank Dunia Sektor Pendidikan Rendah dan Menengah Ketiga.  Program ini diurus setiakan oleh Unit Penyelidikan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP). Dalam program PIER, empat sub-program telah diwujudkan, iaitu Sub- Program 1: Inovasi dalam Sains dan Matematik; Sub-Program 2: Sekolah Kecil dan Terpencil; Sub-Program 3: Pendidikan Jarak Jauh; dan Sub-Program 4: Penyelidikan Pendidikan.   Tiap-tiap program ini diurus oleh seorang Pengurus Program yang merancang, menyelaras, dan memantau perjalanan program.   Di samping itu, empat orang Pakar Perunding dari universiti di Australia dan lima orang Pakar Perunding dari universiti tempatan juga dilantik untuk memberi khidmat perundingan dari semasa ke semasa.

Program kajian tindakan diberi penekanan di bawah Sub-Program Penyelidikan Pendidikan, kerana KPM berpandangan bahawa guru perlu didedahkan dengan ilmu penyelidikan bagi mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kolaborasi  antara Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan BPPDP telah membolehkan satu   kumpulan   guru   dan   pegawai   dihantar   ke   United   Kingdom   untuk   belajar perkaedahan kajian tindakan dengan lebih lanjut lagi untuk membolehkan mereka menjadi fasilitator kursus kajian tindakan. Kursus yang diikuti oleh empat orang pensyarah IPGM, lima orang guru dan seorang pegawai BPPDP, Kementerian Pendidikan  Malaysia  (KPM)  itu  adalah  Classroom  Action  Research  di  School  of Education  and  Applied  Research  in  Education  (CARE),  University  of  East  Anglia, Norwich, England pada tahun 1994. Satu lagi   kursus yang dihadiri oleh 11 orang peserta yang  terdiri daripada pegawai KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan guru sekolah ialah di Australia pada tahun 1995. Kumpulan ini telah menghasilkan satu Modul Kajian Tindakan pada tahun 1995 untuk digunakan oleh para guru di bawah projek kajian tindakan (BPPDP, 1995).

Bagi menambahkan keberkesanan projek penyelidikan pendidikan ini seorang pakar runding dari The International Development Program of Australian Universities and Colleges (IDP) telah dilantik melalui perjanjian kerjasama antara Kerajaan Malaysia dengan IDP pada 21 Januari 1995. Professor Nerida Ellerton dilantik sebagai pakar runding luar negeri manakala Dr. Kim Paik Lah dari Universiti Sains Malaysia sebagai pakar runding dalam negeri. Melalui khidmat pakar runding ini, beberapa siri kursus dan bengkel telah di adakan di seluruh negara yang melibatkan peserta kursus yang terdiri daripada para guru, pensyarah maktab perguruan serta pegawai-pegawai pendidikan dari Bahagian-bahagian di KPM, JPN, dan PPD.

Pengetahuan  dan  maklumat  yang  diperoleh  oleh  peserta-peserta  kursus  Kajian Tindakan di  luar negara  telah disebar luas kepada guru-guru di sekolah melalui modul serta kursus dan bengkel untuk mendapat kesan berganda (multiplier effect) bagi membudayakan penyelidikan di sekolah.   Peserta-peserta kursus terdiri daripada pegawai-pegawai pendidikan dan guru-guru sementara fasilitator terdiri daripada pakar runding tempatan, pegawai-pegawai BPPDP, kakitangan sumber yang  telah dilatih di bawah PIER dan pegawai-pegawai JPN.

Di samping menghadiri kursus kajian tindakan, peserta kursus juga telah menjalankan projek-projek Kajian Tindakan dengan mendapat peruntukan daripada peruntukan PIER di bawah Sub-Program IV (Penyelidikan Pendidikan) yang disalurkan melalui BPPDP. Bagi menyebarluaskan dapatan-dapatan kajian tindakan, seminar-seminar penyelidikan tindakan  telah  diadakan setiap tahun sejak  tahun  1994  hingga  kini.    Bahan-bahan sokongan seperti Modul Kajian Tindakan juga dihasilkan bagi membantu pelaksanaan kajian tindakan.

Usaha untuk mempergiatkan aktiviti kajian tindakan setelah tamatnya program PIER diteruskan dengan pengagihan peruntukan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar pada tahun 1998 dan 2000. Dengan peruntukan ini, beberapa kursus yang melibatkan guru sains dan matematik telah dapat dijalankan.

1.8      Budaya Penyelidikan Dalam Kalangan Guru

Sejak tahun 2001 hingga sekarang, BPPDP telah mendapat peruntukan khas di bawah Anggaran Belanja Mengurus bagi program membudayakan penyelidikan melalui kajian tindakan dalam kalangan guru.  Di samping BPPDP sebagai penggerak utama projek pemupukan budaya penyelidikan di kalangan guru, JPN dan PPD di semua negeri adalah bertanggung jawab dalam merealisasikan matlamat memupuk budaya penyelidikan di kalangan guru sekolah. Seorang Pegawai Penyelaras Kajian Tindakan telah dilantik bagi setiap negeri. Pegawai Penyelaras Kajian Tindakan bersama pegawai di PPD  bertanggungjawab merancang dan melaksanakan projek pemupukan budaya penyelidikan serta menyelaras dan memantau pelaksanaannya di sekolah-sekolah di setiap negeri.   Di samping itu, lima orang Jurulatih Utama Kajian Tindakan (JU) bagi setiap negeri juga telah dilantik.

Seminar Penyelidikan Kebangsaan yang diadakan setiap tahun mulai 1993 merupakan saluran khas bagi penyebaran hasil kajian tindakan. Para guru diberi peluang untuk membentangkan laporan kajian tindakan dan berkongsi pendapat dengan guru-guru lain yang terlibat dalam rangkaian kajian tindakan yang telah ditubuhkan di setiap Jabatan Pelajaran Negeri.

Tujuan memupuk budaya penyelidikan dalam kalangan guru ialah untuk:

i.    membantu  guru  dalam  menghadapi  cabaran  dan  masalah  berhubung  dengan amalan pengajaran dan pembelajaran serta dapat memperkembangkan kemahiran profesional guru khususnya dalam mengenal pasti teknik atau kaedah pengajaran pembelajaran yang  berkesan;

ii.   memberi peluang kepada guru membuat sumbangan penting untuk mengukuhkan asas pengetahuan profesional di samping membolehkan guru menyelesaikan masalah professional tanpa merujuk kepada arahan luar;

iii.  mengeluarkan guru daripada kongkongan amalan rutin dan meningkatkan amalan- amalan  profesional  khususnya  dalam  menguji  sendiri  dan  memperkembangkan idea-idea baru tentang  amalan  mereka.  Dengan itu,  guru  mempunyai hak  milik dalam memperkenalkan amalan-amalan yang  efektif;

iv.  menggalakkan  guru  menyelesaikan  masalah  yang  wujud  dalam  amalan  harian dengan membuat refleksi   bagi mendapatkan idea dan strategi baru ke arah pembaharuan;

v.   menggalakkan guru menyelidik amalan sendirian, membaiki tindakan dan menilai hasil atau keberkesanan tindakan tersebut. Melalui cara ini, guru mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dalam bilik darjahnya sendiri;

vi.  menggalakkan guru berkongsi pengalaman dan memberi publisiti tentang amalan- amalan profesional mereka. Hal ini dapat meningkatkan keyakinan diri guru sebagai kumpulan profesional dan dapat membaiki prestasi dan kepuasan kerja; dan

vii. mendorong guru secara individu atau bersama membuat refleksi ke atas amalan mereka, menganalisis peranan mereka dari segi kekuatan dan kelemahan, mengambil tindakan yang   wajar dan memantau kesannya. Ini memberi peluang guru menjadi agen perubahan.

1.9       Rumusan

Kajian tindakan dapat membantu meningkatkan tahap profesionalisme   guru kerana sebagai penyelidik ia dapat memberikan semangat dan minat baru untuk mengenal pasti kaedah pengajaran baru seperti yang dicadangkan dalam literatur. Kajian tindakan juga membantu guru meningkatkan kemahiran memerhati atau mencerap, dan memperbaiki komunikasi dengan pelajar. Kesannya, guru-guru akan dapat mempelbagaikan kaedah pengajaran berdasarkan penemuan daripada kajian tindakan.

Kajian    tindakan    membantu  meningkatkan  keserakanan,  ‘empowerment’ dan  ‘self- esteem’ dalam kalangan guru. Mereka menjadi lebih terbuka kepada perubahan, lebih reflektif, dan lebih bermaklumat. Mereka merasakan diri mereka sebagai pakar dalam bidang masing-masing, menjadi penyelesai masalah yang baik, menjadi lebih efektif, bersikap positif terhadap penyelidikan dan dapat melihat hubungan teori dan amalan dengan berkesan. Sehubungan dengan itu, penglibatan guru dalam kajian   tindakan akan   memberikan   impak   yang   positif   kepada   guru   sama   ada   dalam   aspek meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran atau meningkatkan diri guru sebagai seorang yang lebih  profesional.

Download Modul PJM3163 >>


Post a Comment