1.0     PENGENALAN

Pencapaian dan prestasi sama ada bagi atlet sendiri ataupun kepada pasukannya amat bergantung kepada persediaan diri dan mentaliti atlet. Justeru itu, kebimbangan dan prestasi dalam sukan merupakan antara topik yang diminati di kalangan ahli sukan sejak beberapa tahun dahulu (Duda, 1998). Menurut Weinberg dan Gould (1999), tahap kebimbangan yang serius akan menyebabkan  kemerosotan pencapaian daan prestasi. Kebimbangan sentiasa menyelubungi diri atlet sebelum, semasa dan selepas sesuatu pertandingan (Mohd Sofian Omar Fauzee, 2003). Kenyataan ini disokong oleh Klaffs dan Arnheim (1981), yang menyatakan bahawa sesuatu pertandingan sememangnya akan menyebabkan gangguan emosi; atlet merasa tertekan dan bimbang sebelum pertandingan, seterusnya menghalang pencapaian dan menjatuhkan prestasi atlet.

    Menurut Wann (1997) pula, kebimbangan ialah sesuatu yang negatif dan boleh mempengaruhi pencapaian atlit dalam sukan. Ia merujuk kepada tafsiran kognitif yang dibuat oleh individu terhadap apa yang terdapat di persekitarannya. Jika tafsiran tesebut menjurus kepada sesuatu yang mendatangkan kesan negatif, maka ia menghasilkan kebimbangan. Kebimbangan adalah keadaan emosi negatif ditandai dengan kegugupan, kecemasan dan ketakutan dan berkaitan dengan pengaktifan atau kebangkitan tubuh badan. (Weinberg dan Gould, 2007).

Kebimbangan merupakan satu keadaan negatif yang dialami oleh manusia dan merupakan gabungan antara perasaan takut, seram, gentar, runsing, cemas, bimbang, risau, gelisah, khuatir dan pelbagai emosi lain (Mohd. Sofian Omar Fauzee, 2002). Perasaan ini akan terus berlaku bila seseorang itu merasa khuatir akan kebolehan dan kepakarannya. Seseorang jurulatih tidak kira di peringkat mana sekalipun harus mengetahui dan mengambil berat tentang faktor psikologi atlet mereka. Biasanya atlet tidak hanya dilengkapi dengan persediaan fizikal tetapi harus juga seimbang dengan persediaan mental.


2.0     JENIS-JENIS KEBIMBANGAN

Levitt ( 1980) telah mengkategorikan kebimbangan kepada dua iaitu kebimbangan seketika ( state anxiety ) dan kebimbangan tret ( trait anxiety ).

    Kebimbangan seketika merujuk kepada tahap kebimbangan semasa yang terhasil dari persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitarannya pada masa itu. Bagi atlet atau ahli sukan yang mempunyai darah gemuruh, sekiranya atlet atau ahli sukan mentafsir bahawa tekanan yang wujud dipersekitarannya cukup memberikan tekanan, maka atlet tersebut akan bertindak meningkatkan lagi tahap kebimbangan serta kebangkitan fisiologinya. Kebimbangan atlet tersebut dimanifestasikan oleh rasa tertekan, takut, peningkatan kadar nadi serta tangan atau badan menggeletar. Akibat daripada itu, atlet akan menjadi semakin tertekan dan takut yang menyebabkan aksinya tidak menentu.

    Kebimbangan tret merujuk kepada ciri-ciri personaliti individu dimana individu yang memiliki ciri-ciri ini sering mentafsir situasi di persekitaran mereka sebagai menekan atau menggugat diri. Ini akan menyebabkan peningkatan tahap kebimbangan individu tersebut. Sebagai contoh seseorang yang secara semulajadinya mempunyai darah gemuruh mempunyai ciri-ciri mudah tertekan serta mempunyai tahap kebimbangan yang tinggi. Justeru itu, segala tindak balas atau respon yang diambil terhadap situasi di persekitaran akan meningkatkan lagi kadar kebimbangan kerana tindakan mereka ini telah dipengaruhi oleh kebimbangan berdasarkan situasi.

    Selain daripada kebimbangan seketika dan kebimbangan tret, terdapat dua jenis kebimbangan lain iaitu kebimbangan kognitif seketika dan kebimbangan somatik seketika.

    Kebimbangan kognitif seketika merupakan kompenan mental kebimbangan seketika yang merujuk kepada proses mental yang bersifat kognitif yang berlaku akibat dari tafsiran terhadap situasi semasa. Sebagai contoh seorang pemain badminton yang sedang bersiap untuk memulakan perlawanan. Kebimbangan pemain tersebut akan timbul berasaskan situasi yang berpunca daripada penonton yang ramai ketika pemain hendak beraksi dalam perlawanan badminton Kebimbangan ini diperkuatkan lagi oleh kebimbangan kognitif pemain badminton yang menilai situasi tersebut.. Pemain badminton tersebut membayangkan bahawa penonton akan mengejek sekiranya beliau melakukan kesilapan atau terjatuh semasa dalam perlawanan. Pihak media pula akan menyiarkan kegagalannya serta perkara negatif yang berlaku sepanjang perlawanan. Kesan kebimbangan seketika pemain badminton tersebut akan meningkat akibat sumbangan kognitif yang negatif. Akibatnya prestasi pemain badminton akan merosot dengan mendadak.

    Kebimbangan somatik seketika pula merujuk kepada aspek fisiologi dan afektif individu yang terbabit kesan dari kebimbangan kognitif yang wujud dalam diri atlet. Selepas tafsiran kognitif, kesan kebimbangan somatik akan timbul seperti peningkatan kadar degupan jantung, berpeluh, perut terasa memulas, otot menjadi keras dan kaku serta tekak terasa kering akan berlaku. Situasi ini akan membuatkan atlet kurang selesa yang akan memberikan kesan afektifnya. Akibatnya atlet mood atlet akan hilang, rasa marah, takut serta perasaan kurang yakin akan menular. Ini akan memberikan kesan buruk kepada atlet yang akan mempengaruhi prestasi atlet, yakni akan menurun.

3.0     PUNCA-PUNCA KEBIMBANGAN

Menurut Endler (1978), kebimbangan seketika terhasil dari gabungan lima faktor.

    Tekanan terhadap ego,Tekanan berlaku khususnya apabila seseorang atlet tewas sesuatu perlawanan khususnya kepada lawan yang lebih rendah rankingnya. Ego atlet ini akan tercabar serta tertekan. Beliau juga akan merasa kurang yakin untuk menghadapi perlawanan seterusnya. Keadaan ini menyumbang kepada peningkatan tahap kebimbangan seketika atlet ini.

    Tekanan terhadap fizikal individu, Seseorang atlet akan berasa bimbang sekiranya beliau tahu bahawa ada usaha yang dilakukan oleh pihak lawan untuk menewaskan beliau secara fizikal. Contohnya, seorang atlet acara sukan tempur (silat, tae kwan do, tinju) lazimnya mempunyai tahap kebimbangan seketika yang tinggi khususnya apabila menentang lawan yang lebih handal. Ini adalah kerana wujud tekanan terhadap fizikal secara langsung yang sedang dihadapi di gelanggang.

    Punca Ketidaktentuan merujuk kepada keputusan yang tidak pasti, perlawanan yang berlarutan kepada sudden death serta saat-saat mencemaskan yang menentukan menang-kalah sesebuah pasukan mempunyai elemen ketidak tentuan ini. Seseorang tidak akan berasa bimbang sekiranya tahu dia akan menang atau tidak mempunyai harapan untuk menang. Sesuatu yang sudah pasti tidak akan membuat seseorang tertanya-tanya. Sebaliknya ketidaktentuan akan menyebabkan seseorang rasa tertekan serta akan meningkatkan tahap kebimbangan seketika.

    Kebimbangan berpunca Perubahan merupakan sebarang bentuk perubahan sebenarnya akan menyebabkan atlet menjadi kurang selesa dengan persekitaran kerana ia bukan dari rutin seharian. Contohnya, seorang pemain yang sudah biasa dengan kaedah latihan seorang jurulatih akan merasa tertekan dengan kehadiran seorang jurulatih baru yang membawa pendekatan serta corak latihan dan matlamat yang baru. Perubahan dan tekanan ini akan meningkatkan lagi tahap kebimbangan seketika pemain tersebut.

    Dalam Penilaian atau perbandingan sosial, atlet akan berasa tertekan sekiranya atlet tahu bahawa prestasinya akan dinilai atau dibandingkan dengan orang lain. Debaran akan dirasai sebelum masuk ke gelanggang merupakan ciri-ciri kebimbangan seketika yang terhasil menerusi penilaian. Maka dengan itu kemampuan mengubah tafsiran merupakan elemen yang sangat penting bagi mengatasi masalah penilaian atau perbandingan sosial.

 Download Contoh Tugasan PJM3172 SEM 7 2014


Post a Comment