KECEDERAAN TISU LEMBUT

Tisu lembut dalam badan merangkumi kulit, salur darah, saraf otot, tendon, ligament, kelenjar dan lapisan yang melindungi organ-organ dalam tubuh. Kekejangan otot adalah kesakitan yang dialami pada otot-otot besar. Keadaan ini disebabkan mekanisma penguncupan otot agonis-antigonis yang tidak seiring dan berlaku dalam jangka masa yang lama. Faktor utama yang menyebabkan kekejangan otot dehidrasi, kelesuan kronik dan hentakan atau pukulan keatas otot-otot. Kekejangan otot boleh diatasi secara melakukan regangan statik. Sekiranya kesakitan masih berterusan, hentikan regangan dan tamatkan perlakuan aktiviti kerana otot tersebut boleh mengalami kecederaan lain akibat komplikasi.

KETEGANGAN OTOT

Ketegangan otot berlaku apabila fiber-fiber otot mengalami kecederaan. Ketegangan otot adalah hasil mekanisme badan melindungi otot-otot tersebut daripada kecederaan yang lebih kronik. Otot hamstring ialah otot yang kerap mengalami kekejangan. Ketegangan biasanya melibatkan koyakan pada fiber otot. Ketegangan otot yang ringan mengakibatkan kesakitan yang amat sangat jika terus bergerak aktif. Ketegangan yang lebih serius boleh mengakibatkan pendarahan dalam sehingga kita langsung tidak dapat menggerakkan bahagian anggota yang mengalami ketegangan tersebut.

SENGAL OTOT

Sengal otot ialah fenomena biasa yang dialami jika kita melakukan aktiviti fizikal berintensiti tinggi ketika tahap kecergasan masih rendah. Kencederungan mengalami sengal otot berkadar terus dengan faktor umur. Menifestasi sengal otot ialah kesakitan yang keterlaluan, diikuti dengan kelesuan. Keadaan ini boleh dialami sejurus melakukan aktiviti fizikal. Rasa salit ini boleh tertangguh sehingga selepas 12 jam melakukan aktiviti fizikal. Sengal otot berlaku disebabkan koyakan kecil pada fiber otot, dan sebagai sampingan akibat kekurangan bekalan oksigen ke otot semasa beraktiviti. Kecederaan ini dapat dielakkan dengan melakukan aktiviti pada intensiti yang bersesuaian dengan tahap kecergasan individu.

LUKA

Boleh melibatkan kecederaan di peringkat luar kulit dan dalam (dihiris atau dipotong oleh tulang yang patah) kulit. Jenis-jenis luka terdiri daripada abrasi (cakaran pada permukaan kulit) potongan (terkena objek tajam) dan tebukan ( ditebuk oleh objek yang tajam seperti paku) luka tebukan adalah dalam dan boleh mengakibatkan kerosakan salur darah yang serius. Pemerhatian kepada langkah-langkah keselamatan semasa beraktiviti adalah cara terbaik untuk memelihara diri daripada mengalami luka.

LEBAM AKIBAT KONTUSI

Kontusi merujuk kepada hentakan terus objek ke atas permukaan luar atau tisu anggota. Sekiranya hentakan kuat, kapilari darah boleh pecah dan darah terkumpul ditempat hentakan itu. Warna biru gelap akan terbentuk di kawasan kulit sebagai tanda pendarahan dalam yang berlaku. Sekiranya tempat yang sama menerima hentakan berulang kali, menandakan kalsium akan terbentuk di kawasan tersebut. Struktur anggota yang terlibat kelak menemui kesukaran untuk bergerak. Kaedah pencegahan kontusi yang berkesan ialah secara melindungi bahagian-bahagian berisiko tinggi dengan penggunaan pad seperti di siku dan lutut.

KECEDERAAN TISU KERAS

Tisu keras melibatkan semua tulang dan sendi badan. Fraktur tulang biasanya disebabkan oleh stress yang tinggi dialami tulang tersebut. Tulang panjang, seperti humerus dan femur boleh mengambil masa lebih kurang 6 minggu untuk sembuh daripada fraktur. Sementara rulang-tulang kecil memerlukan tempoh untuk 3-4 minggu untuk sembuh. Kaedah simen adalah teknik rawatan yang biasa untuk mengelakkan mobiliti pada tulang yang mengalami fraktur. Sebaik berakhir rawatan simen atau plaster, bahagian tulang yang telah sembuh perlu diaplikasikan latihan beban isometrik bagi tujuan rehabilitasi.

DISLOKASI

Dislokasi berlaku apabila hujung tulang yang membentuk sendi tercabut atau terkeluar daripada tempat lekatannya. Tisu-tisu lembut seperti otot, ligament, tendon dan salur darah akan mengalami kecederaan apabila dislokasi berlaku. Kecederaan ini sering berlaku di bahagian sendi bahu. Rehat aktif digalakkan bagi atlet yang mengalami kecederaan ini. Tahap kecergasan yang tinggi serta penguasaan teknik kemahiran yang mantap adalah kaedah pencegahan dislokasi yang paling berkesan.

lifeinthefastlane.com

KECEDERAAN KEPALA

Konkusi berlaku apabila atlet mengalami hentakan di bahagian kepala. Kecederaan ini menyebabkan trauma otak dan koma bagi kes-kes yang kronik. Konkusi biasanya berlaku dalam sukan kontak seperti ragbi, bola sepak, tinju dan sukan-sukan tempur. Atlet yang mengalami konkusi biasanya mempamer simtom loya dan hilang imbangan seketika. Dalam keadaan tertentu, amnesia (hilang ingatan) boleh berlaku untuk tempoh yang singkat. Selain pengsan, tanda-tanda fizikal konkusi biasanya tidak jelas kelihatan dan mangsa mesti dirujuk kepada pakar perubatan dengan kadar segera. Atlet yang mengalami konkusi mesti direhatkan untuk satu tempoh spesifik yang ditetapkan atas nasihat pakar perubatan. Konkusi turut di kelaskan sebagai kemalangan. Oleh itu, perhatian maksimum terhadap langkah-langkah keselamatan semasa bersukan adalah langkah pencegahan yang paling berkesan.

Post a Comment