Pengenalan

Kecederaan oral ( mulut ) dan maksilofasial merujuk kepada kecederaan di kawasan mulut, muka dan rahang. Ini meliputi kecederaan di mana-mana kawasan bertulang atau struktur daging ( isi muka ). Bibir, pipi, lidah atau hidung berkemungkinan terkoyak atau tercalar. Tulang muka, lelangit, soket mata dan rahang bawah berkemungkinan patah, retak atau beralih. Kecederaan yang parah pada kawasan mulut dan maksilofasial boleh menyebabkan masalah untuk bernafas, bercakap dan makan. Kecederaan-kecederaan ini boleh berlaku disebabkan gangguan yang boleh berpunca dari daya fizikal, gangguan objek luaran/asing atau akibat kelecuran. Kecederaan akibat kemalangan jalan raya merupakan penyumbang utama kepada kecederaan ini ( 79.6 % )1. Peringkat umur 20-29 tahun merupakan kumpulan paling banyak terlibat ( 34.5% ) dan lelaki merupakan golongan majoriti terbabit ( nisbah 6:1 berbanding wanita )1. Penunggang motosikal merupakan kumpulan terbesar terlibat dalam kemalangan jalan raya ( 57.95% ), diikuti dengan pemandu kereta ( 8.70% ), penumpang kereta ( 7.36% ), penunggang basikal ( 2.04% ) dan pejalan kaki ( 1.72% )1. Tulang mandibel ( rahang bawah ) merupakan tulang yang paling kerap mengalami fraktur (patah) ( 51.2% )1

Punca
  • Terdapat banyak faktor penyebab yang mengakibatkan kecederaan mulut dan maksilofasial. Ini termasuklah kemalangan jalan raya ( 79.6% ), perlakuan ganas ( 7.62% ), jatuh ( 6.50% ), kecederaan di tempat kerja ( 2.15% ) dan kecederaan semasa bersukan ( 0.97% )1.
Gejala / Tanda Meliputi :-
  • Sakit pada bahagian rahang
  • Luka pada tisu lembut samada pada kulit atau pun di dalam mulut
  • Bengkak
  • Pendarahan
  • Kedudukan tulang yang beralih
  • Pergerakan tulang yang tidak normal
  • Kesukaran untuk mengunyah / makan
  • Rasa sakit apabila disentuh / ditekan
  • Kepatahan gigi atau kesakitan gigi
  • Kehilangan deria rasa pada kawasan yang cedera
  • Bukaan mulut menjadi semakin sempit/kecil
  • Kecederaan mata termasuklah pergerakan mata yang terhad dan gangguan penglihatan
  • Kesukaran bernafas
Komplikasi
Terdapat beberapa komplikasi yang mungkin terjadi sekiranya kecederaan tidak dirawat:-
  • risiko kepada laluan pernafasan
  • pendarahan
  • jangkitan
  • kecacatan bentuk muka
  • hilang upaya menggigit, mengunyah atau menelan dengan baik
  • masalah berkaitan dengan sendi rahang
  • gangguan deria rasa yang kekal pada kawasan yang cedera
  • gangguan fungsi mata yang kekal
Rawatan
  • Kaedah rawatan bergantung kepada jenis dan tahap kecederaan. Sesetengah rawatan memerlukan pembedahan di mana pesakit perlu dimasukkan ke wad.
Luka tisu lembut:-
  • Luka perlu dibersihkan untuk mengelakkan jangkitan. Luka yang besar memerlukan jahitan. Antibiotik dan ubat penahan sakit akan diberikan untuk membantu proses penyembuhan.
Dislokasi rahang (rahang teralih) :-
  • Dislokasi rahang boleh dirawat dengan mengembalikan semula ke kedudukan asal. Sejurus selepas itu, pesakit dinasihatkan tidak membuka mulut dengan luas kerana kemungkinan berlaku semula peralihan kedudukan rahang/terkehel
Kepatahan tulang rahang dan muka:-
  • Keretakan atau kepatahan yang minor boleh disembuhkan dengan menghadkan pergerakan untuk satu tempoh masa
  • Kepatahan yang lebih serius memerlukan rawatan yang lebih rumit. Tulang perlu melalui pembedahan dan disambung menggunakan pin-pin logam dan wayar. Penjajaran adalah penting untuk memastikan yang pertemuan tulang adalah betul. Jika tulang tidak ditemukan dengan betul, corak gigitan berubah dan ini boleh menyebabkan gangguan kepada proses pengunyahan makanan dan juga mendatangkan masalah pada sendi rahang.
  • Kepatahan tulang soket mata memerlukan pembedahan sekiranya kepatahan menyebabkan gangguan pada fungsi bebola mata.
Kecederaan gigi:-
  • Satu penilaian teliti perlu dilakukan untuk memastikan perancangan rawatan yang betul dan pencegahan jangkitan. Gigi yang terkeluar dari soket boleh di’tanam semula’ sekiranya gigi terbabit ditangani dengan betul dan diimplan / ditanam semula ke dalam soket gigi dalam tempoh satu jam. Gigi terbabit harus dipegang pada bahagian kepala gigi dan bukan bahagian akarnya dan disimpan di dalam bekas berisi susu, salina normal atau cecair kanta sesentuh. Tempat terbaik untuk menyimpan sementara gigi terbabit adalah di dalam mulut.
  • Gigi yang patah mungkin boleh diselamatkan dengan kaedah penampalan gigi atau rawatan akar tetapi gigi yang mengalami kecederaan yang teruk mungkin memerlukan cabutan.
Kelecuran:-
  • Untuk kelecuran yang sedikit, letakkan bahagian yang terkena panas pada air paip yang mengalir atau tuam pada kawasan terbabit dengan tuala sejuk.
  • Untuk kelecuran yang serius, pesakit perlu dibawa ke hospital untuk rawatan.
Pencegahan
  • Dengan meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap keselamatan di jalan raya dan kecederaan mulut dan maksilofasial khususnya.
  • Dengan menguatkuasakan penggunaan tali pinggang keledar, beg udara, kerusi keselamatan kanak-kanak dan topi keledar untuk menunggang motosikal atau basikal
  • Dengan mempraktikkan penggunaan penyengkang mulut / mouthguard, pelindung muka dan cermin mata keselamatan.
Rehabilitasi
  • Pembedahan semula parut boleh dilakukan untuk memperbaiki parut
  • Pemulihan gigi boleh dilakukan untuk menggantikan gigi yang rosak atau telah dicabut
  • Kecacatan muka akibat kecederaan boleh dilakukan melalui kaedah pembedahan
  • Pemulihan secara fisioterapi boleh dilakukan untuk meningkatkan keupayaan bukaan mulut.
Organisasi:
  • Malaysian Association of Oral and Maxillofacial Surgeon.
  • Malaysian Dental Council.
  • Malaysian Dental Association.

Diambil dari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia


Post a Comment