Pada masa kini, dunia pendidikan sering menjadi isu penting tidak kira sama ada dari segi pendidiknya, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan, ganjaran dan kenaikan pangkat ataupun isu-isu semasa yang sering membabitkan diri pendidik tersebut. Oleh itu, profesion perguruan sering dianggap oleh masyarakat bahawa bidang ini bukanlah satu tugas yang sukar dan rumit kerana kebanyakan mereka menganggap kerjaya guru hanya duduk di dalam kelas dan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada muridnya sahaja.

Selain itu, terdapat juga orang yang berpendapat bahawa guru hanya perlu membuat kerja-kerja perkeranian seperti menaip dan mengisi boring yang berkaitan dengan murid. Justerunya, masyarakat kini sememangnya tidak begitu memahami secara mendalam terhadap profesion keguruan dan tanggungjawab yang dipikul oleh para guru.

Namun begitu, di negara kita masih terdapat persoalan-persoalan mengenai tekanan kerja di kalangan guru sering dibincangkan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa. Ini adalah kerana profesion sebagai seorang guru merupakan salah satu profesion yang sungguh mencabar. Tanggungjawab yang menyatakan bahawa guru umpama ‘lilin yang membakar diri’ bukan sahaja di dalam masyarakat kita tetapi di negara-negara lain juga memandangkan tugas seseorang guru begitu banyak dan tanggungjawabnya adalah amat berat terutamanya terdapat banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh seseorang guru dalam era globalisasi ini. Di negara kita,  antara cabaran yang dihadapi oleh warga pendidik adalah cabaran Wawasan 2020 untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berdaya saing.

Dengan itu, tanggungjawab dan tugas guru yang begitu mencabar telah  memberikan tekanan stres secara tidak langsung dan menyebabkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Tidak dapat dinafikan bahawa pada masa kini terdapat kes-kes yang berkaitan dengan guru sering berlaku dan dilaporkan melalui media massa. Kebanyakan Kes yang berkaitan dengan guru adalah amat serius sehingga terdapat segelintir kes telah menyebabkan kecederaan dan kematian. 

Dalam kes ‘ Bisikan Misteri Arah Guru Amuk’ yang berlaku di SK Sabur, Kota Kinabalu adalah amat serius kerana guru tersebut telah mengamuk sehingga menggunakan pedang samurai dan menyebabkan seramai 14 orang guru termasuk dua orang guru wanita terpaksa menyembunyikan diri dalam hutan paya bakau. Walaupun tiada sebarang kemalangan yang tidak diingini berlaku, akan tetapi tingkah laku guru tersebut yang kurang waras telah mengancam keselamatan rakan sejawat yang lain. Ini mungkin akan membawa sebarang kecederaan ke atas guru-guru yang tinggal bersamanya. Sumber berkata bahawa suspek tersebut mendakwa terdapat suara perempuan yang sering mengganggunya sejak beberapa minggu lalu dan menyebabkan dia tidak dapat bertahan sehingga mengamuk. 

Melalui pandangan masyarakat setempat yang bertahyul mungkin berpendapat bahawa guru tersebut memang diganggu oleh makhluk halus. Walaubagaimanapun, pandangan yang lebih saintifik mengenai kes ini berlaku mungkin disebabkan tekanan emosi yang telah dipendamkan dalam guru tersebut yang agak lama sehingga dia tidak dapat berfikir dengan waras dan mendakwa dirinya dapat mendengar bisikan misteri yang mengganggu ketenteramannya. Akibatnya, tekanan emosi yang serius ini telah menyebabkan guru berkenaan berfikiran tidak mempunyai kesedaran diri dan melakukan perbuatan yang tidak terkawal yang boleh mengancam keselamatan orang lain.

Dengan itu, kes yang telah berlaku ini telah membuktikan bahawa pada zaman kini, para guru sentiasa menghadapi cabaran yang lebih ketara dengan tuntutan daripada ibu bapa, masyarakat, pihak pengurusan sekolah dan kementerian demi meningkatkan lagi kualiti pendidikan. Selain itu, pelbagai reformasi dalam bidang pendidikan dan masalah-masalah seperti masalah murid dan bebanan kerja pasti akan menyebabkan tekanan stres di kalangan guru.

Stres merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental dan kerap menyerang masyarakat pada hari ini. Dr. Hans Selye, pengasas kepada teori stress atau tekanan perasaan telah mendefinisikannya sebagai suatu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya.

Menurut Mohd Salleh (1994), stres adalah reaksi fizikal dan mental emosi seseorang akibat sesuatu situasi yang menyebabkan seseorang itu tidak mendapat keselesaan hidup. Di negara kita, fenomena stres di kalangan guru sering diperbincangkan dan dijadikan bahan kajian.  Ini adalah bidang pendidikan pada hari ini semakin mendesak para guru untuk bekerja keras dengan lebih masa demi mencapai permintaan tinggi pendidikan tersebut. Di samping itu, usaha peningkatan dan pelaksanaan tersebut telah menyebabkan guru-guru semakin tertekan dengan bebanan kerjaya pendidikan ini.

Mengikut Kyriacou (2000), stres guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan kemurungan akibat daripada tugas sebagai seorang guru. Sementara itu, menurut Sapora Sipon (2007), stres terhadap guru memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan murung, mengalami tekanan jiwa, kekecewaan dan kebimbangan. Maka, stres merupakan tindak balas fizikal yang biasa terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan berlaku.

Oleh itu, guru yang gagal mengawal diri akibat stres akan memberi kesan kepada perhubungan guru dengan murid dan juga mutu  pengajaran dan pembelajaran. Isu sebegini seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan yang akan membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa negara kita ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan mutu pendidikan.

Isu beban tugas guru ini memang sukar difahami masyarakat umum melainkan ada dalam kalangan keluarga atau rakan mereka terbabit dalam kerjaya itu. Tidak seperti kebanyakan kerjaya lain, tugas guru tidak terikat kepada waktu persekolahan. Selain terpaksa membawa kerja balik ke rumah, guru kadang kala terpaksa membuat kerja yang tidak ada kaitan dengan tugas mengajar seperti menghadiri mesyuarat sekolah, mengikuti program peringkat daerah atau peringkat negeri atau wakil pengetua atau guru besar. Di samping itu, mereka juga terpaksa melakukan penyeliaan dan bimbingan aktiviti kokurikulum seperti persatuan, sukan dan badan beruniform. Ini tidak termasuk mengiringi pelajar menyertai program di luar sekolah yang mungkin mengambil masa beberapa jam mahupun beberapa hari.

Sememangnya peranan guru di sekolah adalah banyak dan tugas guru bukan sahaja mengajar dan menyampai ilmu pengetahuan kepada muridnya di dalam kelas tetapi dia juga diharapkan dapat melaksanakan tugas-tugas yang lain. Antaranya adalah sebagai pengurus bilik darjah, mengawal disiplin murid, perancang program-program, agen perubahan, penyelidikan, fasilitator, penilai dan banyak lagi.  Apabila sesi persekolahan menuju ke penghujungnya pada setiap tahun, guru sekolah perlu mendapat semakin banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Sementara tugas-tugas tersebut semakin bertambah, tugas seperti pemeriksaan tugasan, ujian dan peperiksaan juga akan dihadapi oleh guru selain melaksanakan tugas rutin iaitu mengajar. Dengan pertambahan tugas, guru akan berasa beban dan seterusnya akan mengalami tekanan emosi yang serius.

Semua ini dilakukan tanpa kemudahan bayaran lebih masa, tuntutan perbatuan yang dicatu mahupun lebihan masa yang digunakan untuk tugas rasmi diganti sebagai cuti rehat pada keesokan harinya. Namun, bagi kebanyakan guru, beban itu tidak pernah dipertikaikan kerana menyedari mereka sudah memilih kerjaya yang tanggungjawabnya menjangkaui waktu kerja. Walaupun begitu, penyelesaian yang wajar  harus dicari bagi meringankan beban ini kerana jika stres atau tekanan berpanjangan di dalam hidup seseorang guru dan tidak bijak untuk menguruskannya, ia akan menyebabkan penyakit-penyakit tertentu yang akan menjejaskan kesihatan dan kecergasan guru itu sendiri, selanjutnya memberi kesan negatif kepada murid.

Antara penyakit-penyakit yang berpunca akibat mengalami tekanan stres adalah sakit jantung, stroke, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Merujuk kepada isu guru tersebut telah mengalami kesukaran tidur sehingga dia mengamuk. Kesukaran tidur atau dikenali sebagai ‘insomnia’ adalah salah satu penyakit yang berpunca daripada tekanan stres.

Selain itu, terdapat juga banyak faktor yang menyebabkan kes sebegini berlaku. Antaranya adalah persekitaran kerja yang tidak kondusif. Suasana kerja adalah amat penting bagi seseorang guru kerana ruang kerja yang sempit dan sesetengah kelas yang terlalu panas dan tidak selesa boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada guru berbanding dengan individu lain yang bekerja di tempat yang berhawa dingin. Tambahan pula, kemudahan-kemudahan sekolah yang tidak mencukupi untuk keperluan diri dan pelajarnya terutamanya sekolah-sekolah di kawasan pedalaman akan menyebabkan guru tersebut semakin stres.

  Selain itu,  kelakuan dan perangai murid dalam kelas yang sentiasa menjadi cabaran kepada seseorang guru juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan guru mengalami tekanan emosi. Murid sentiasa melakukan pelbagai aksi untuk menarik perhatian guru tentunya akan menimbulkan masalah serta memberikan kesan kepada emosi guru dan lama-kelamaan ia akan menjadikan guru berasa stres.

Punca-punca peribadi juga merupakan antara faktor guru mengalami tekanan emosi. Keadaan kesihatan guru terjejas ataupun berlakunya kemalangan dan kematian dalam kalangan ahli keluarga akan menyebabkan guru tersebut mengalami tekanan emosi yang seirus. Selain itu, hubungan dengan ahli keluarga atau rakan sekerja adalah amat penting bagi seseorang guru kerana ia merupakan satu sokongan kepada guru tersebut. Jika berlakunya perselisihan faham akibat masalah komunikasi yang tidak berkesan maka ini boleh menyebabkan stres terhadap guru tersebut.

Pada zaman kini, taraf hidup yang semakin tinggi telah menjadi keperluan yang biasa bagi semua orang. Oleh itu, perbelanjaan kehidupan seharian amatlah memerlukan wang yang secukupnya. Kita sering diberitahu bahawa gaji guru adalah rendah berbanding dengan profesion yang lain. Dengan itu, masalah kewangan telah membataskan aktiviti riadah dan taraf hidup seseorang guru. Ini telah menyebabkan dia sukar untuk menikmati dan memberikan taraf hidup yang baik kepada diri dan keluarga mereka. Maka, masalah kewangan ini akan menyebabkan guru mengalami tekanan stres.

Berdasarkan faktor-faktor yang telah dibincangkan, banyak usaha dan rancangan untuk mencari penyelesaian yang sesuai hendaklah dijalankan agar mengatasi masalah beban guru sekolah agar isu ini tidak akan berterusan dan menjadi semakin serius. Jika tidak, ia akan membawa kesan yang buruk sehingga guru tidak suka akan kerja mereka dan secara tidak langsung ia mampu membawa kesan buruk yang akan menjejaskan imej keguruan. Maka, pihak yang berkenaan haruslah bekerjasama dan mengambil berat terhadap isu-isu guru mengalami tekanan emosi akibat bebanan kerja.

Dengan itu, pelbagai cadangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak untuk menangani masalah beban tugas guru. Salah satunya adalah Kesatuan Perkhidmatan Pengurusan Perguruan Kebangsaan (KPKK) telah memohon supaya skop kerja guru dapat dispesifikan dan kebajikan guru dapat diutamakan. Selain itu, kemudahan asas sekolah perlu lengkap dan program pemprosesan data dapat diringkaskan serta penambahbaikan semua sistem ICT agar urusan data guru atau pelajar dapat dilaksanakan secara berpusat. Bukan sahaja begitu, pihak KPKK juga mencadangkan agar mewujudkan jawatan pembantu murid untuk membantu urusan kerja-kerja perkeranian dan mengasingkan guru akademik dan guru sukan agar guru dapat lebih fokus pada tugas yang telah ditetapkan untuk setiap individu dalam organisasi itu. 

  Sebenarnya, pihak kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap isu beban guru dan berusaha mencari penyelesaian yang sesuai untuk menangani masalah tersebut. Timbalan Perdana Menteri , Tan Sri Muhyiddin Yassin juga merupakan Menteri Pelajaran telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru sekolah di seluruh negara dan diharapkan untuk mencari penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan bebanan guru.

Selain itu, tokoh akademik termasuklah bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Rahman Arshad telah meminta mengkaji mewujudkan jawatan pembantu guru bagi membantu guru di setiap kelas bagi melakukan tugas pentadbiran dan perkeranian. Dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mencari penyelesaian dengan melatih dan menghantar pembantu pentadbir di sekolah bertujuan untuk mengurangkan beban kerja guru. Tugas-tugas seperti tugas perkeranian dan menguruskan pusat sumber serta bilik-bilik khas sekolah oleh pembantu pentadbir sememangnya dapat mengurangkan masalah beban kerja guru. Dengan ini, guru juga dapat lebih fokus kepada tugasnya untuk merancang pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan.

Bukan sahaja begitu, pihak kerajaan juga telah berusaha menaik taraf infrastruktur dan kemudahan sekolah terutamanya di kawasan pedalaman agar menyediakan suasana persekitaran kerja yang kondusif bagi guru. Dengan usaha sebegini, maka stres di kalangan guru dapat dikurangkan.

Bagi seseorang guru yang mengalami tekanan emosi akibat bebanan kerja, beliau seharusnya dapat memiliki penampilan yang baik dari segi mental dan dapat menghadapi sebarang cabaran atau halangan dengan pemikiran yang jelas dan baik. Ini adalah kerana guru bukan sahaja memerlukan penampilan yang baik dari segi fizikal, malah beliau juga perlu sentiasa berfikiran waras dan dapat menangani tekanan emosinya dengan berkesan. Oleh itu, guru seharusnya meningkatkan dan menguasai kemahiran menyelesaikan masalah yang dapat membantu seseorang guru menangani masalah tekanan emosi yang dihadapinya secara rasional,  seterusnya merancang cara penyelesaian secara sistematik.

Selain itu, sebagai seorang guru, beliau juga seharusnya dapat menguasai kemahiran pengurusan masa. Pada masa kini, kebanyakan guru yang bekerja menghabiskan masa ke atas tugasan yang kurang penting telah mengabaikan tanggungjawab yang lain sehingga mereka berasa tugas mereka tidak dapat diselesaikan. Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi guru mengalami masalah tekanan emosi akibat beban kerja. Oleh itu, kemahiran pengurusan masa dapat membantu seseorang guru menumpukan kepada kerja-kerja yang penting dahulu dan melakukannya dengan lebih bijak. Contohnya, seseorang guru perlu merancang jadual bekerja dan meluangkan masa lapang individu yang secukupnya untuk kegunaan diri.

            Seseorang guru yang mengalami tekanan emosi akibat beban kerja boleh mempelajari kemahiran relaksasi yang dapat membantu meredakan reaksi fizikal terhadap tekanan. Sebagai contoh, guru boleh boleh menjalankan relaksasi seperti aktiviti yoga yang mengutamakan cara menarik dan menghembus nafas dengan perlahan-lahan yang boleh menangani stres.

Bukan sahaja begitu, seseorang guru patut mengekalkan cara hidup yang sihat dan seimbang dengan bersenam, makan makanan yang sihat, mempunyai tidur yang cukup dan tidak meminum air beralkohol kerana badan yang sihat dapat meningkatkan prestasi kerja. Untuk memperolehi cara hidup yang seimbang, seseorang guru perlu meluangkan masa dengan melakukan hobi atau aktiviti rekreasi. Dengan membuat demikian, mereka dapat mengalih fikiran mereka terhadap kerisauan dan kebimbangan mengenai tugas serta mendapat persepsi yang baru untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.

Jika seseorang guru itu mempunyai cara berkomunikasi yang baik dan berkesan, maka mereka dapat mencari jalan untuk meluahkan buah fikiran dan emosinya. Di samping itu, ia juga dapat memahami reaksi yang diberi. Maka, dengan cara ini dapatlah seseorang guru itu mengendalikan masalah dan tekanan emosi dengan lebih berkesan. Oleh itu, sebagai seorang guru, beliau perlu menjalin hubungan yang baik dengan rakan sejawatnya agar dapat berkongsi masalah yang dihadapi. Merujuk kepada kes guru tersebut, guru berkenaan sepatutnya menjelaskan dan membincangkan masalah bisikan misteri yang telah dihadapi olehnya kepada rakan sejawat yang lain agar dapat sokongan yang baik untuk mencari cara penyelesaian yang lebih berkesan.

 Seseorang guru yang mempunyai tujuan hidup biasanya dapat mengendali tekanan dan stres dengan baik. Oleh itu, penglibatan diri dalam hal-hal keagamaan juga merupakan salah satu cara bagi seseorang guru untuk menangani masalah tekanan stres kerana agama dapat memberi sumber harapan atau menjadi pegangan kepada seseorang apabila diperlukan. Golongan yang bekerja termasuk guru adalah digalakkan untuk melibatkan diri dalam hal-hal kerohanian kerana ia dapat memberi mereka perspektif yang betul tentang kehidupan dan pekerjaan. Dengan ini, penampilan guru dari segi sifat rohaniah dan kejiwaan dapat dipertingkatkan. Guru tersebut juga akan lebih bersifat tenang dan mempunyai emosi yang mantap serta optimistik dalam kehidupan.

Selain itu, seseorang guru perlu berfikiran realistik terhadap pekerjaannya dan memupuk sikap suka dan minat terhadap kerjayanya dengan menambah ilmu pengetahuan mengenai bidang atau profesion yang diceburinya demi memartabatkan lagi profesion keguruan. Beliau juga seharusnya dapat memahami kekuatan dan kelemahan dirinya. Sementara itu, fikiran yang positif patut disemai dalam kalangan guru agar mereka dapat bersiap sedia menghadapi sebarang masalah dan bersikap terbuka untuk menghadapi sebarang perubahan terutamanya dalam bidang pendidikan.

Bukan sahaja begitu, seseorang guru perlulah sentiasa bertanggungjawab dan memahami akauntabilitinya terhadap murid, ibu bapa, masyarakat dan negara serta rakan sejawat dan profesion keguruan agar dapat menunjukan prestasi yang terbaik ketika bekerja terutamanya menjalankan peranannya untuk menyampai ilmu pengetahuan dan merancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan agar murid-murid dapat mencapai objektif yang optimum.

Pihak pengurusan sekolah pula harus berperanan untuk membantu guru dalam menghadapi sebarang tekanan, konflik dan isu. Pihak berkenaan perlu sedar akan kepentingan pemantauan ke atas tahap stres guru dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengurangkan masalah tersebut. Contohnya, pihak pengurusan di sekolah perlulah mengenal pasti guru-guru yang mempunyai potensi mengalami tahap stres yang tinggi. Seterusnya, pihak sekolah boleh bekerjasama dengan kaunselor pentadbir yang berada di Pejabat Pelajaran Daerah dan di Jabatan Pelajaran Negeri agar mengadakan sesi pertemuan untuk membantu guru yang berkenaan untuk memahami dirinya dan orang lain, seterusnya mendapatkan alternatif terbaik yang boleh dilakukan dalam menangani sebarang isu khususnya yang berkaitan dengan tekanan.

Kesimpulannya, tekanan emosi guru semakin ketara di sekolah akibat beban kerja kerana globalisasi dan modenisasi dalam bidang pendidikan. Dengan tanggungjawab guru semakin mencabar dan peranan guru juga berubah. Hal ini telah menyebabkan para guru menghadapi tekanan emosi dan terdapat segelintir guru tidak dapat tekanan kerja dengan sebaik mungkin sehingga menjejaskan kesihatannya. Oleh itu, pengurusan tekanan emosi memerlukan kemahiran yang mesti dipelajari oleh semua anggota di dalam organisasi pendidikan terutamanya dalam kalangan guru kerana kegagalan mengawal tekanan boleh membawa kesan yang buruk bukan sahaja kepada individu tetapi juga imej organisasi.

Selain itu, pihak berkenaan juga harus memberi sokongan dan membantu mengurangkan beban stres yang dihadapi oleh guru dengan mengkaji semula skop kerja guru. Para guru perlu sentiasa bersikap positif dalam menghadapi cabaran-cabaran dalam dunia pendidikan hari ini bagi mengelakan diri terus berada dalam keadaan stres dan menjejaskan karier diri sebagai seorang guru.

Post a Comment