PENGENALAN

Tugasan kerja kursus ini merupakan tugasan individu bagi Budaya dan Pembelajaran (EDU3106), yang berkaitan dengan perbincangan hujah-hujah mengenai isu dan cabaran pendidikan yang bakal dihadapi dalam tempoh sedekad akan datang iaitu dengan mengambil kira kepelbagaian sosiobudaya dalam konteks bilik darjah di Malaysia. Selain itu, di dalam tugasan individu ini juga terkandung penulisan refleksi mengenai saranan tentang budaya sesebuah sekolah yang menepati konteks kepelbagaian sosiobudaya di Malaysia yang harus dibaiki kelemahannya serta membuat penambahbaikan berdasarkan isu dan cabaran yang bakal dihadapi.

Jadi, dalam konteks pendidikan, kepelbagaian sosiobudaya bukan sahaja dilihat dari ras, etnik dan adat budaya mereka sahaja. Malahan ia juga merangkumi skop yang lebih luas iaitu mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam dan lain-lain kebolehan dan kebiasaan yang diperolehi oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Malah, kepelbagaian sosiobudaya sukar untuk dinafikan dalam sebuah negara seperti Malaysia yang lahir dari kelompok masyarakat yang berbilang etnik iaitu Melayu, Cina dan India yang menjadi majoriti terbesar serta kaum peribumi Sabah dan Sarawak serta orang asli dan kaum-kaum lain yang menjadi kaum minoriti. Maka, secara tidak langsung setiap etnik mempunyai sosiobudaya berbeza yang diwarisi dari nenek moyang yang terdahulu.

Menurut Kamus Dewan edisi keempat pula menyatakan budaya dapat ditakrifkan sebagai tamadun atau peradaban. Ia juga bermaksud kemajuan fikiran atau akal budi iaitu cara berfikir dan berkelakuan. Kepelbagaian sosiobudaya dalam sistem masyarakat majmuk ini sudah tentu akan memberi kesan secara langsung kepada perkembangan sistem pendidikan secara umumnya dan kepada suasana ketika mengendalikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah khasnya. Oleh yang demikian, gabungan yang mantap antara guru, murid dan sekolahlah yang memainkan peranan penting untuk menjayakan sistem pendidikan di Malaysia ini.

ISU DAN CABARAN PENDIDIKAN YANG BAKAL DIHADAPI

“DALAM TEMPOH SEDEKAD AKAN DATANG DENGAN MENGAMBIL KIRA KEPELBAGAIAN SOSIOBUDAYA DALAM KONTEKS BILIK DARJAH DI MALAYSIA”
Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan kaya dengan kepelbagaian budaya serta amalan masing-masing mengikut kaum, sudah tentu kepelbagaian sosiobudaya dalam sistem masyarakat majmuk ini akan memberi salah satu kesan secara langsung kepada perkembangan sistem pendidikan secara umumnya iaitu terutamanya dalam konteks bilik darjah yang melibatkan suasana ketika mengendalikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran khasnya.

Justeru, kepelbagaian sosiobudaya dalam konteks bilik darjah inilah yang akan memberi impak tersendiri terhadap penimbulan isu dan cabaran yang bakal dan perlu dihadapi oleh saya sendiri dalam tempoh sedekad akan datang. Jadi, sudah tentu kepelbagaian sosiobudaya ini turut dirasai di peringkat pengurusan bilik darjah meliputi implikasi terhadap guru, murid, sekolah dan kurikulum tersirat. Kegagalan guru, murid serta sekolah dalam menghadapi kepelbagaian sosialbudaya inilah yang akan menyebabkan sistem pendidikan menjadi tidak seimbang dan iklim pembelajaran yang berkesan kepada semua murid daripada pelbagai kaum dan latar belakang juga tidak dapat diwujudkan.

Oleh yang demikian, mengikut norma, golongan pendidik iaitu guru merupakan agen terpenting yang mampu membina serta membentuk kefahaman dan penghayatan dalam diri sendiri, bangsa dan agama. Guru bertanggungjawab dalam memberikan pendedahan awal kepada pelajar untuk belajar memahami budaya sendiri dan orang lain. Jadi salah satu cabaran mengenai tanggungjawab inilah yang harus dipikul dan dilaksanakan dengan amanah oleh seorang guru terutamanya saya sendiri bagi melahirkan modal insan yang bertamadun, tahu menghargai dan menghormati budaya orang lain dan secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada proses mencapai perpaduan.

Sesungguhnya cabaran yang lain ialah dari segi kerenah murid yang datang dari pelbagai budaya dan memastikan gaya pengajaran yang disampaikan sesuai dengan gaya pembelajaran murid. Guru yang memahami pembelajaran dan perbezaan budaya akan berusaha bersungguh-sungguh dalam menangani cabaran yang wujud dalam bilik darjah. Perlakuan mereka perlu dibentuk melalui pendidikan dan asuhan yang terbaik dengan memahami latar belakang identiti diri mereka tidak kira dari segi budaya, etnik, usia, jantina, sosio ekonomi, gaya pembelajaran dan sebagainya.

Seterusnya, di dalam ruang lingkup bilik darjah juga, sudah tentu saya juga perlu membuat sedikit analisis mengenai latar belakang murid-murid sebelum merancang sesi pengajaran kerana Malaysia menggunakan kurikulum yang sama bagi semua pelajar. Sebagai seorang guru, perkara ini perlu diketahui kerana setiap pelajar mempunyai budaya, latar belakang keluarga dan tahap sosio ekonomi yang berbeza-beza.

Jadi, jangkaan haruslah bersuaian dengan kelas sosial tanpa sebarang unsur ‘bias’ atau pelabelan murid. Malah sudah tentu dalam tempoh sedekad akan datang perkara ini turut akan menjadi isu kerana kemungkinan besar taraf sosio ekonomilah yang menjadi jurang sistem pendidikan dan sudah tentu perkara ini menjadi cabaran besar kepada saya sebagai guru kelak dalam menyampaikan kurikulum ini kepada anak didik saya.


Selain itu, semua guru yang mengajar di dalam kelas haruslah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan bersikap professional. Guru tidak harus membezakan bangsa murid serta tidak mengelompok murid mengikut kaum mereka sahaja. Jadi bagi menangani isu yang mungkin timbul ini, sudah tentu saya sebagai guru akan cuba mengelompokkan murid dari kaum dan jantina berlainan ditempatkan dalam satu kumpulan yang sama supaya peluang untuk berinteraksi terbuka luas. Jadi, sebagai guru juga sudah tentu persepsi buruk terhadap sekelompok pelajar yang berlainan jantina juga haruslah dikikis. Contohnya, berkaitan tentang persepsi pelajar lelaki malas dan nakal.

Guru juga digalakkan untuk mengajar tanpa membezakan kelas sosial murid. Sesungguhnya murid hendaklah dilayan sama rata tanpa mengira sama ada mereka dari kelas atasan atau bawahan dan hendaklah tidak pilih kasih. Jika tidak ia akan menimbulkan isu yang kurang menyenangkan. Hukuman juga pada masa akan datang mungkin tidak dapat dilaksanakan kerana kemungkinan besar guru sendiri yang akan dipersalahkan. Jadi cabaran yang perlu saya hadapi ialah dari segi tanggungjawab dalam membentuk komuniti pembelajaran yang mesra murid berasaskan latar belakang mereka dan berusaha menangani masalah-masalah yang timbul.

 Manakala, isu lain yang harus ditangani pula ialah dari segi kebijaksanaan dalam mengendalikan murid dimana akan wujud pergaulan bebas, tidak berkelompok, berinteraksi tanpa sekatan budaya dan masyarakat. Jadi sebagi guru, saya juga perlu menghormati dan bersikap adil kepada semua murid. Namun begitu, langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan untuk menyekat aktiviti-aktiviti yang tidak diingini seperti pergaduhan antara kaum, pembentukan kumpulan berdasarkan etnik dan meniupkan api perkauman dikalangan murid.

Malah, sebagai guru juga saya tidak harus menyentuh atau mempertikaikan kepercayaan yang diamalkan oleh murid-murid kerana isu ini sangat sensetif. Setiap kepercayaan dan nilai harus diterima seadanya. Isu-isu sensitif dan berkaitan agama murid yang berlainan kaum tidak harus dipertikaikan. Jadi yang menjadi cabaran kepada saya pada masa akan datang sudah tentulah perlu mencari jalan dan merancang aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan semua kepercayaan, nilai dan agama yang dianuti murid.

Selain itu, isu aspek bahasa juga harus diberi pertimbangan yang sewajarnya. Sebagai contoh, murid yang terdiri daripada pelbagai kaum pastilah berlakunya dialek bahasa yang sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pembelajaran di dalam bilik darjah. Jurang yang berlaku akibat daripada penggunaan bahasa dialek ini haruslah dielakkan. Penggunaan bahasa yang standard akan memberi peluang yang sama rata kepada murid untuk mengambil bahagian dalam aktiviti pembelajaran di dalam bilik darjah.

Di samping itu, mencatatkan kemajuan dan kelemahan yang terdapat dalam sesuatu aktiviti pengajaran juga adalah salah satu cabaran yang dapat mengubahsuai pengajaran mengikut kesesuaian dengan pelajar supaya pengajaran dan pembelajaran berikutnya dapat dilaksanakan secara lebih sempurna dan mempunyai penambahbaikan. Jadi saya dapati, guru yang berwibawa sentiasa memikir kaedah bagi mencapai pengurusan yang cemerlang. Antara perkara yang menjadi fokus ialah mengetahui dan memahami bidang kerjayanya, menghayati hasil kerja atau objektif kerja untuk jangka pendek dan jangka panjang.
Demi memastikan objektif tercapai, perancangan yang rapi meletakkan keutamaan terhadap tugasan. Ini bermaksud, keutamaan diberi kepada keupayaan, kemahiran melaksanakan tugas, kemahiran berfikir, kemahiran berinteraksi dan berkomunikasi. Jadi sebagai seorang guru kemahiran mengurus dan mentadbir haruslah dikuasai. Kemahiran mengaplikasi peralatan yang terkini seperti kemahiran ICT serta kecekapan menjalankan tugasan yang diamanahkan disamping memiliki wawasan yang jelas.

Selain itu, kepelbagaian sosiobudaya ini turut memberi kesan terhadap murid. Murid-murid mempunyai pendirian tersendiri hasil daripada pengaruh budaya, agama dan persekitaran. Oleh itu, isu yang mungkin timbul ialah dari segi kewujudan murid pelbagai kaum dan sosiobudaya di dalam kelas menjadikan mereka prejudis terhadap murid yang berbeza daripada gaya hidup mereka. Maka, sebagai seorang guru sudah tentu ianya memberikan cabaran dari segi pengurusan murid. Jadi murid perlu dibersihkan minda dan fahaman mereka terhadap rakan-rakan mereka yang berlainan agama, budaya dan jantina agar tidak ada jurang antara mereka bagi memudahkan proses pembelajaran.

Penggunaan bahasa standard juga perlu diamalkan oleh murid ketika di dalam kelas ataupun ketika berada di kawasan sekolah. Penggunaan bahasa ibunda ataupun dialek di dalam kelas seharusnya di kawal bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar. Jika tidak isu yang akan timbul ialah dari segi penggunaan laras bahasa yang tidak betul dan bercampur aduk dalam kalangan murid. Jadi penggunaan laras yang betul perlu ditekankan dalam kalangan murid bagi mengelakkan pergaduhan dan salah faham antara satu sama lain. Perbendaharan kata yang tepat dan betul turut membantu murid mencapai kematangan sosial.

Murid perlu mengambil peluang daripada kepelbagaian sosio budaya di dalam kelas untuk berinteraksi antara kaum dan jantina berlainan. Corak pemikiran antara lelaki dan perempuan adalah berbeza dan interaksi yang sihat seperti belajar secara berkumpulan dapat memberi gambaran kepada murid tentang sesuatu perkara dengan lebih jelas. Dalam masa yang sama, batas pergaulan antara jantina perlu diberikan penekanan agar tidak bertentangan dengan tuntutan agama dan hal ini akan menjadi isu dan cabaran jika ianya tidak dikawal sejak kawal lagi, tambahan pula murid-murid dalam tempoh sedekad ini adalah generasi yang penuh dengan cabaran kehidupan. Banyak perkara yang akan menjadi impak secara langsung terhadap pelajar terutamanya dalam kemelut sosial ini.

Selain itu, agama dan kepercayaan merupakan sesuatu isu yang amat sensitif. Oleh hal demikian, agama dan kepercayaan murid tidak harus dipertikaikan. Proses sosiolisasi antara kaum tanpa mengira anutan agama hendaklah dikembangkan supaya proses pembentukan kendiri murid dapat dilaksanakan. Jadi kelas yang mempunyai pelbagai kaum dan sosiobudaya memerlukan sikap percaya antara satu sama lain. Untuk itu, cabarab yang dihadapi ialah dari segi perlunya aktiviti yang di rangka berupaya untuk menanam semangat saling mempercayai dalam jiwa murid. Semangat kepercayaan yang tinggi akan meruntuhkan tembok perkauman dan secara tidak langsung perpaduan antara kaum akan terjalin.

Kepelbagaian sosio budaya di dalam kelas turut merangsang kewujudan masalah disiplin. Rakan sebaya amat mudah mempengaruhi tingkah laku seseorang. Sebagai contoh, seorang murid yang baik akan terpengaruh dengan tingkah laku sahabatnya yang bermasalah apabila sering berinteraksi dan bergaul. Jadi isu ini perlulah ditangani dan sudah tentu  memberi cabaran kepada saya untuk terus peka terhadap perubahan murid agar tingkah laku yang tidak dingini dapat di bendung dan murid bermasalah dapat di kawal dan di ubah sikapnya.

Isu seterusanya ialah berkaiatan dengan sekolah. Sistem pendidikan negara mempunyai pelbagai jenis pilihan sekolah yang boleh diikuti oleh murid. Kepelbagaian sosiobudaya telah mewujudkan sekolah yang terdiri daripada pelbagai bangsa seperti sekolah kebangsaan untuk semua kaum, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Oleh itu, cabaran bagi sekolah ialah perlunya aktiviti-aktiviti di sekolah dirancang dengan teliti bagi mengatasi kepelbagaian sosiobudaya ini.

Sekolah merupakan ruang untuk guru menerapkan kepercayaan dan nilai dalam masyarakat. Kemungkinan besar dalam tempoh sedekad ini, perkara ini akan diserahkan seratus peratus kepada pihak sekolah kerana ibu bapa tiada masa lagi untuk anak-anak kerana urusan kerja yang banyak. Oleh itu, isu-isu yang timbul ini sudah tentu perlu diterapkan dengan nilai-nilai yang baik tanpa mengira latar sosiobudaya mereka. Murid juga harus sentiasa diingatkan agar sentiasa mengikut aktiviti yang dianjurkan oleh sekolah. Selain daripada meningkatkan pengetahuan murid, hubungan di antara setiap murid dapat dijalinkan melalui aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah.

Elemen isu yang seterusnya ialah berkaitan kurikulum yang merujuk kepada perancangan bertulis yang sistematik merangkumi objektif, kandungan, strategi penyampaian dan penilaian untuk dilaksanakan. Kurikulum tersirat pula merujuk kepada norma, nilai dan kepercayaan yang disebarkan melalui pendidikan formal dan interaksi di sekolah. Kurikulum tersirat memberi penekanan kepada persekitaran yang wujud di kalangan warga sekolah. Budaya akademik di sekolah boleh dikatakan sebagai kurikulum tersirat. Kurikulum tersirat juga boleh dilaksanakan melalui aktiviti ko-kurikulum seperti aktiviti berpersatuan, kegiatan panitia dan sebagainya.

Kurikulum tersirat merangkumi nilai-nilai yang dibentuk oleh warga sekolah sendiri seperti amalan, prosedur, peraturan, pertalian dan struktur di sekolah. Ianya dijalankan secara tidak langsung seperti murid mempelajari tingkah laku baik guru, guru mempamerkan akhlak budi pekerti, hubungan rapo di antara warga sekolah dan sebagainya. Nilai, norma, peraturan, daya intelek dan apa juga yang dibawa di dalam persekitaran sekolah akan memberi kesan secara tidak langsung tetapi amat bermakna terhadap amalan hidup murid.Namun demikian, sesetengah kurikulum tersirat kadang-kadang mempunyai konotasi negatif kerana nilai-nilai yang disebarkan mungkin menjurus kepada hal-hal seperti menyokong perbezaan kelas di mana murid dibahagikan kelas mengikut tahap kepandaian, kaum dan jantina dan ini akan menjurus kepada pengagihan modal pendidikan secara tidak sekata. Dalam hal ini, guru perlu memainkan peranan dan memberikan perhatian kepada kurikulum tersirat sewajarnya supaya bersifat positif ke arah membina keadilan sosial berlandaskan kepada kepelbagaian sosio-budaya masyarakat setempat.

Kesimpulannya, segala perkembangan dunia aspek ekonomi, sosial, politik dan teknologi seharusnya menjadi indikator asas kepada sistem pendidikan dan persekolahan untuk memenuhi keperluan tenaga manusia yang berteraskan keilmuan yang berkualiti, asas nilai dan moral yang berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan, semangat patiotis dan memelihara perpaduan rakyat sebagai bangsa Malaysia, dan manusia yang bertaraf dunia. Para pendidik adalah wahana yang boleh menentukan corak manusia yang mampu menghadapi alaf baru, abad ke-21. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan kaya dengan kepelbagaian budaya serta amalan masing-masing mengikut kaum, sudah tentu kepelbagaian sosiobudaya dalam sistem masyarakat majmuk ini akan memberi salah satu kesan secara langsung kepada perkembangan sistem pendidikan secara umumnya.


REFLEKSI

“SARANAN TENTANG BUDAYA SESEBUAH SEKOLAH YANG MENEPATI KONTEKS KEPELBAGAIAN SOSIOBUDAYA DI MALAYSIA”
Sepanjang  menjalankan  Kerja  Kursus  bagi Budaya dan Pembelajaran ini, syukur Alhamdulillah banyak input-input dan perkara baru yang saya perolehi. Secara tidak langsung, tugasan ini juga banyak membantu saya untuk memahami dengan lebih mendalam lagi tentang subjek ini. Dalam pada itu, tugasan ini juga turut banyak memberikan impak yang besar bagi saya untuk memahami dengan lebih lanjut lagi berkenaan dengan tajuk yang berfokus kepada  isu dan cabaran pendidikan yang bakal dihadapi kelak dalam tempoh sedekad akan datang yang melibatkan kepelbagaian sosiobudaya dalam konteks bilik darjah di Malaysia.

Malah, sudah tentu isu dan cabaran ini jelas menunjukkan bahawa gurulah merupakan agen utama yang bertanggungjawab dalam memberikan pendedahan awal kepada pelajar untuk belajar memahami budaya sendiri dan orang lain. Jadi inilah salah satu cabaran yang harus dipikul dan dilaksanakan dengan amanah oleh seorang guru terutamanya saya sendiri bagi melahirkan modal insan yang bertamadun, tahu menghargai dan menghormati budaya orang lain dan secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada proses mencapai perpaduan.

Berdasarkan keseluruhan tugasan individu ini, saya berpendapat bahawa segala isu dalam bilik darjah mengenai pendidikan dari segi kepelbagaian sosiobudaya ini dapat diatasi dan ditangani melalui budaya yang diterapkan di sesebuah sekolah itu sendiri. Salah satu cara untuk menangani isu ini ialah dari segi budaya sekolah dalam sistem penyampaian pendidikan itu sendiri. Jadi dalam hal ini gurulah yang harus berusaha  memberikan pendidikan yang seimbang kepada semua murid dari pelbagai kaum dan latar belakang. Pengetahuan ini akan menghakis isu sikap prejudis dalam menangani kepelbagaian sosiobudaya murid, khususnya ketika mengendalikan aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran. Dengan cara ini satu suasana pembelajaran yang interaktif akan terbentuk dan pembelajaran akan menjadi menyeronokkan.
   
Jadi cara yang pertama sekali guru seharusnya meransang intuisi murid melalui set induksi. Ini bererti  meransang sifat ingin tahu murid dalam langkah set induksi pada setiap permulaan pengajaran dan pembelajaran. Antaranya, memulakan pelajaran dengan sesuatu yang luar biasa atau dengan rentak dan irama. Memulakan pelajaran dengan satu set arahan atau melalui satu pengumuman, memberikan soalan mencabar, menggunakan kiasan, atau aliran mengejutkan. Apabila murid sudah bersedia dan mendapat gambaran tentang p&p yang bakal dijalankan, maka guru mampu mendapatkan kerjasama yang baik daripada semua murid untuk melakukan aktiviti seterusnya dalam proses p&p.

Selain itu, dalam penyampaian isi pelajaran, nilai-nilai murni hendaklah diserapkan secara tidak langsung. Ini boleh dilakukan di mana-mana bahagian dalam proses pengajaran. Guru perlu menanamkan asas sosialisasi yang positif agar wujudnya semangat setiakawan, penerimaan, menghormati orang lain, mematuhi arahan dan peraturan, serta menggunakan bahasa yang baik dalam pertuturan mereka. Menerusi penerapan nilai dalam pengajaran afektif, usaha untuk membentuk perubahan sikap, watak, perilaku, adab sopan dan akhlak dalam kalangan murid yang tidak digubal dalam kurikulum nyata dapat dijayakan secara berkesan oleh seseorang guru. Hal ini sudah pasti dapat menggalakkan interaksi sosial sekali gus menyatupadukan semua murid yang terdiri daripada berbilang kaum.

Pengukuhan menurut Kamaruddin Haji Hussin dan Siti Hajar Abd Aziz di dalam buku Pedagogi Untuk Asas Pendidikan, ialah suatu kemahiran yang digunakan oleh guru bagi mengubah tingkah laku murid dengan sempurna. Murid yang dapat menunjukkan kebolehan dan pencapaian seperti yang dijangkakan perlu diberi pujian atau bentuk-bentuk penghargaan lain. Ini dapat mendorong mereka untuk terus belajar dan menyukai pelajaran tersebut. Tujuannya ialah untuk menarik dan mengekalkan perhatian murid dalam satu-satu masa pengajaran. Guru hendaklah sentiasa mengukuhkan tindak balas positif yang ditunjukkan murid agar perbuatan itu akan terlazim dan menjadi satu kebiasaan. Peneguhan yang dilakukan hendaklah sama rata antara murid terutama jika murid terdiri daripada berbilang kaum.

Terdapat empat bentuk peneguhan yang boleh dibuat iaitu dengan galakan secara lisan, galakan secara gerak-geri dan gerak isyarat, galakan dengan cara menggunakan jawapan murid, dan galakan dengan cara ganjaran. Guru bertanggungjawab menyekat aktiviti-aktiviti yang tidak diingini seperti pergaduhan antara kaum atau pembentukan kumpulan berdasarkan etnik semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Penghapusan perilaku negatif seperti ini  perlu dilakukan agar tindakan murid ini tidak sampai sehingga meniupkan api perkauman mereka. Oleh itu, kemahiran pengukuhan, penghapusan, dan pelaziman dalam p&p sangat penting untuk memupuk perpaduan kaum dalam kalangan murid sekolah rendah.

Motivasi juga boleh dijalankan oleh pihak  sekolah atau guru itu sendiri bertujuan merangsangkan minat murid kearah bahan, isi pelajaran, dan pengajaran guru. Oleh yang demikian, guru perlu berusaha kuat untuk mempelbagaikan elemen-elemen motivasi. Bagi memastikan murid mengekalkan perhatian mereka sepanjang p&p, beberapa komponen penting motivasi yang perlu dititikberatkan iaitu daya penampilan guru, pergerakan guru dan intonasi suara, alihan arah deria serta melibatkan murid. Kesemua komponen ini perlu ada dalam diri guru kerana murid sentiasa memerhatikan tindakan semasa p&p. Komponen seperti alihan arah deria dan melibatkan murid juga perlu dikuasai guru agar murid tidak hilang fokus dan lebih aktif semasa p&p berlangsung sekali gus termotivasi. Jadi secara tidak langsung isu berkaitan penggunaan bahasa juga dapat diatasi disamping tingkahlaku murid-murid.

Pemilihan sumber seperti penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) juga berfungsi untuk menambahkan kelancaran perhubungan antara guru dengan murid, murid dengan guru, dan murid dengan murid. BBM mampu memudahkan murid membentuk konsep dengan betul dan menerima pejaran dengan cepat. Dalam konteks kesesuaiannya, seseorang guru perlu memastikan sesuatu BBM yang dipilih sesuai dengan tajuk serta sasaran murid yang bakal diajari. Bagi bilik darjah yang dihuni oleh berbilang kaum, seseorang guru perlu memastikan BBM yang digunakan sesuai untuk semua kaum dan budaya yakni tidak menimbulkan resis kepada mana-mana murid. Hal ini sangat penting agar murid tidak berasa ditindas.Hal demikian kerana mungkin dapat mendatangkan implikasi negatif kepada individu murid.

Begitu juga dengan penggunaan contoh-contoh untuk pemahaman murid. Guru digalakkan menggunakan contoh yang kokrit, praktis dan berkesan. Contoh-contoh yang boleh mendatangkan isu perkauman dalam sesebuah bilik darjah perlu dielakkan penggunaannya agar murid tidak mendapat tanggapan salah terhadap budaya lain. Manakala melalui penilaian, guru dapat menentukan sama ada berjaya atau tidak muridnya menyerap maklumat yang disampaiakan. Memandangkan pengajaran kurikulum tersirat tidak dapat dijui melalui ujian kertas dan pensil, maka pemerhatian dapat dianggap teknik yang bertepatan bagi mengukur keupayaan, kemahiran serta perubahan tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid.

Seseorang guru perlu mencatat kemajuan dan kelemahan setiap individu murid untuk membuat pengubahsuaian bagi p&p seterusnya. Sekiranya seseorang guru mendapati p&p yang dijalankan tidak mencapai objektif yang sepatutunya, pentaksiran perlu dilakukan serta tindakan susulan perlu diambil. Penerapan nilai-nilai murni dalam diri setiap murid perlu dinilai dan direkodkan agar guru dapat melihat perkembangan afektif muridnya dan boleh melakukan sesuatu untuk menggalakkan perubahan ke arah kebaikkan sekali gus dapat membentuk kendiri murid yang positif.

Pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan dalam membina perhubungan tersebut selain daripada sekolah. Program Intergrasi Untuk Perpaduan (RIMUP) adalah salah satu aktiviti yang diusahakan oleh Kementerian Pelajaran bagi memastikan perpaduan dipupuk di kalangan murid tanpa mengira latar belakang, agama, kaum, jantina dan sebagainya. Pihak-pihak berwajib boleh menyumbangkan sokongan samada dalam bentuk moral ataupun material bagi mengembangkan lagi pengetahuan dan perpaduan di kalangan murid.
Sekolah Wawasan ditubuhkan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid di sekolah. Sekolah ini adalah antara sekolah yang dahulunya terasing antara satu sama lain, kini disatukan dalam satu sistem pendidikan yang seragam. Apabila murid-murid yang berlainan latar belakang dapat berinteraksi sejak peringkat awal persekolahan, sudah tentu masa depan akan lahir satu generasi yang hormat dan bertoleransi di antara satu sama lain. Oleh itu, penekanan semangat perpaduan dan integrasi antara kaum perlu dipupuk sejak kecil iaitu dibangku sekolah rendah kerana ia akan lebih memudahkan mereka untuk menghadapi masyarakat di masa akan datang.

Tuntasnya, usaha berterusan yang dijalan oleh pihak sekolah di atas akan berjaya sekiranya semua pihak sama ada guru itu sendiri bekerjasama dalam menangani isu dan cabaran yang bakal dihadapi. Sejajar dengan matlamat Negara yang ingin tampil sebagai sebuah Negara maju menjelang 2020, maka perkembangan dan kemajuan sistem pendidikan hendaklah seimbang dan tidak ada seorang warga Negara pun yang tercicir atau ketinggalan terutama dalam arus pembangunan Negara. Ini adalah penting kerana setiap masyarakat merupakan golongan yang sangat bekerpentingan dalam kewujudan Negara Malaysia, maka keperluan dan kehendak mereka dalam pendidikan haruslah tidak boleh diabaikan atau di pandang ringan sahaja. Ini adalah menjadi satu tugas yang perlu digalas oleh warga pendidik dengan jayanya dalam memahami perbezaan corak budaya, etnik atau bangsa seseorang murid itu di dalam bilik darjah. Ini adalah penting dalam memastikan kesinambungan pengajaran yang berkesan dapat dikekalkan dengan baik dan saksama demi melahirkan seorang individu yang seimbang, selaras dengan matlamat dasar Pendidikan Kebangsaan.


RUMUSAN
Pengetahuan mengenai latar belakang pelajar serta budaya dan gaya pembelajaran banyak membantu guru dalam menyediakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kepada setiap pelajar dan sudah tentu menarik kesungguhan serta usaha untuk mencipta pengalaman-pengalaman pembelajaran yang pelbagai. Kepelbagaian pengajaran yang sesuai dengan tahap serta gaya pembelajaran pelajar mampu memberi pulangan yang cukup baik kepada semua pelajar tanpa mengira kepelbagaian yang wujud di dalam sesebuah bilik darjah. Dengan kata lain, ia dapat meningkatkan metodologi pengajaran dan amalan bagi pelajar-pelajar tertentu akan menghasilkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna dan bukan hanya berorientasikan kepada peperiksaan semata-mata. Jadi jelaslah bahawa dalam konteks pendidikan, kepelbagaian sosio budaya individu itu bukan sahaja dilihat dari ras, etnik dan adat budaya mereka sahaja. Malah ia juga merangkumi skop yang lebih besar. Menurut Papalia (2001) individu manusia itu berbeza dari segi jantina, saiz badan, kesihatan, tahap tenaga, personaliti dan emosi. Manakala Slavin (1997) pula mengaitkan perbezaan individu dengan konteks pengajaran dan pembelajaran. Beliau mengatakan kepelbagaian pelajar terdapat dalam tahap prestasi, kadar belajar, gaya kognitif, etnik, budaya, kelas sosial, bahasa, jantina , bakat dan minat. Kepelbagaian sosiobudaya di antara murid memberi implikasi secara langsung terhadap guru dan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan jelaslah bahawa dalam menguruskan sebuah kelas yang mempunyai pelbagai etnik murid adalah amat mencabar kewibawaan seorang guru.Tuntasnya, tanggungjawab seorang guru bukan sahaja mendidik dan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar tetapi turut mempunyai satu tugas yang besar dalam memahami dunia pendidikan yang sebenar terutama pengurusannya di dalam sesebuah bilik darjah. Hal ini kerana realitinya, kini pelajar yang wujud dalam sesebuah kelas adalah datang dari pelbagai latar belakang yang berbeza antaranya adalah usia, jantina, bangsa, agama, etnik, personaliti, bahasa, status ekonomi keluarga, kesihatan, lokasi tempat tinggal, emosi, fizikal, tingkah laku dan sosial. Kesemua aspek ini mempengaruhi penerimaan serta minat pelajar untuk terus belajar dan diaplikasikan dalam kehidupan sebenar.


Sumber :

Post a Comment