Menurut Auxter, Pyfer dan Huettig (1998), aktiviti jasmani yang bersesuaian dengan keupayaan pelajar berkeperluan khas boleh membantu golongan ini mengurangkan kelemahan dan masalah fizikal yang dihadapi oleh mereka. Kebiasaannya, kanak-kanak berkeperluan mempunyai masalah fizikal iaitu pertumbuhan otot, deria yang tidak sempurna, kognitif yang agak lemah dan pergaulan sosial yang agak terbatas. Oleh sebab itu, aspek-aspek dalam Pendidikan Jasmani telah diserapkan dan wujudlah mata pelajaran Pendidikan Jasmani Suaian khusus bagi golongan ini.
   
Namun demikian, murid yang terdiri daripada golongan ini memerlukan pendekatan berbeza mengikut kemampuan mereka dan aktiviti yang disediakan juga perlulah bersesuaian dengan tahap kebolehan mereka. Aktiviti Pendidikan Jasmani Suaian adalah melibatkan kanak-kanak berkeperluan khas, maka aktiviti fizikalnya juga diubah mengikut kesesuaian keperluan mereka. Guru-guru Pendidikan Jasmani untuk murid Pendidikan Khas perlu merangsang sistem paqncaindera murid supaya mereka memaksimumkan penggunaan pancaindera seterusnya merangsang mereka melakukan aktiviti fizikal.
   
Murid-murid berkeperluan khas akan melakukan aktiviti fizikal dalam keadaan yang menyeronokkan iaitu tanpa tekanan dan paksaan. Mereka perlu diajar secara berperingkat-peringkat. Antara lain Pendidikan Jasmani Suaian dilaksanakan untuk murid-murid kurang upaya di sekolah ialah:

  • merangsang penggunaan sistem pancaindera murid-murid kurang  upaya.
  • melatih murid-murid kurang upaya menggunakan anggota badan dalam melakukan aktiviti fizikal dengan betul.
  • membantu murid-murid dalam perkembangan kemahiran motor halus dan motor kasar.
  • mengajar murid-murid kurang upaya untuk memanfaatkan fizikal   mereka dalam melakukan aktiviti seharian sama ada di rumah atau di sekolah dengan cara yang betul.
  • memberi pendedahan kepada mereka tentang permainan tradisional, permainan, sukan dan rekreasi serta membawa mereka mengalaminya sendiri.
  • membantu mereka melakukan aktiviti fizikal dengan cara yang selamat tanpa terdedah kepada kecederaan.
  • dapat mengesan bakat yang ada dalam diri agar guru mampu memberi latihan yang bersesuaian dan bertanding ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
  • menghilangkan rasa tertekan, rendah diri serta kesedihan yang dialami oleh mereka.
  • meningkatkan aspek kehidupan ke tahap yang lebih tinggi agar mereka dapat menguruskan diri mereka dengan baik.
  • mempertingkatkan tahap perkembangan diri yang lebih baik ke arah kedewasaan yang mantap.
  • sebagai medium atau ruang untuk murid-murid kurang upaya meluahkan atau mengekspresikan emosi dengan betul.
  • meningkatkan tahap keyakinan diri dan perasaan harga diri serta menimbulkan imej diri yang positif.
  • merangsang minda murid-murid kurang upaya menjadi kreatif (perkembangan kognitif)

Post a Comment