Perkembangan psikologi kanak-kanak melalui sukan

Pengenalan

Sukan dapat memperkembangkan psikologi kanak-kanak. Kanak-kanak mempunyai emosi yang kurang stabil dan sentiasa menunjukkan situasi yang dialami oleh mereka seperti, marah, suka, merajuk dan sebagainya. Bagi setiap perkara yang berlaku, kanak-kanak mempunyai sebab yang tersendiri untuk menerima atau menarik diri dalam sukan yang diceburinya. Sehubungan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting untuk memastikan kanak-kanak mendapat hak mereka yang sepatutnya dalam bersukan.

Penglibatan Dan Penarikan Diri Kanak-Kanak Dalam Sukan

Kini, ramai kanak-kanak telah melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Kejohanan di peringkat sekolah semakin berkembang.  Dengan adanya program satu murid satu sukan (1murid 1sukan), maka ramai kanak-kanak telah menyertai aktiviti sukan. Walaupun begitu, semakin ramai jugalah yang tercicir atau menarik diri dari aktiviti tersebut. Berikut adalah enam sebab penyertaan kanak-kanak dalam sukan.

(a)     Mencari keseronokan

Kanak-kanak akan berasa seronok sekiranya mereka dapat melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan permainan. Hal ini terjadi kerana aktiviti tersebut tidak mementingkan keputusan sama ada kalah ataupun menang. Sekiranya ada keputusan kalah ataupun menang, perkara ini akan menyebabkan mereka hilang keseronokan yang hendak dicapai kerana terdapat unsur persaingan dalam mencari keseronokkan. tersebut.

(b)    Belajar serta meningkatkan kemahiran diri

Semasa kanak-kanak bermain, mereka akan belajar beberapa perkara yang dapat meningkatkan kemahiran diri. Dengan adanya permainan dan sukan, ia dapat memberikan mereka ruang untuk belajar sesuatu kemahiran yang diminati. Kemampuan melakukan kemahiran ini akan meningkatkan lagi keyakinan diri serta membentuk peribadi kanak-kanak tersebut. Ruang untuk meningkatkan lagi kemahiran akan sentiasa terbuka jika mereka mendapat galakan yang sewajarnya dari orang dewasa yang memahami kehendak mereka.

(c)      Bersama rakan dan menjalin persahabatan dengan rakan yang baru

Corak sosialisasi yang berkesan adalah dengan bermain. Kanak-kanak belajar tentang persekitaran, bergaul dan berinteraksi dengan orang lain dengan bermain. Penglibatan mereka dalam sukan pun kerana ingin bersama dengan rakan-rakan dan bukannya untuk memenuhi kehendak orang dewasa. Oleh itu aktiviti sukan berpasukan menjadi tumpuan utama kanak-kanak ini kerana bukan sahaja mereka dapat bersama dengan rakan-rakan malahan dapat menjalinkan hubungan rakan baru.

(d)    Kegembiraan

Kanak-kanak akan gembira bermain dengan rakan-rakan mereka. Tekanan akademik serta perubahan dari segi kehidupan masa kini yang dihadapi oleh kanak-kanak telah menarik keceriaan dan kegembiraan dari wajah mereka.


(e)    Mencapai kejayaan

Takrifan kejayaan bagi kanak-kanak bukanlah kemenangan semata-mata, tetapi sesuatu yang lebih dari itu. Kemampuan belajar serta melakukan sesuatu kemahiran dengan baik juga dianggap sebagai kejayaan dan ini secara langsung akan meningkatkan lagi keinginan mereka untuk terus bergiat dalam aktiviti tersebut.

(f)        Bersenam dan meningkatkan kecergasan fizikal

Mesej gaya hidup sihat yang diutarakan kepada golongan dewasa sudah dapat diterima serta difahami oleh kanak-kanak. Dalam konteks ini kecergasan fizikal diperlukan bagi membolehkan mereka melakukan aktiviti yang aktif dan lasak bersama rakan-rakan yang lain. Ini kerana rakan-rakan merupakan agen sosialisasi kanak-kanak yang utama.
          
Faktor utama mempengaruhi penglibatan kanak-kanak di dalam bidang sukan adalah disebabkan keseronokan (main bersama rakan-rakan). Selain daripada itu ada juga kanak-kanak yang inginkan perhatian khususnya guru. Daya tarikan terhadap perkembangan semasa seperti Piala Dunia, Sukan Olimpik mempengaruhi penglibatan kanak-kanak dalam sukan. Adakalanya persaingan  dalam kalangan kanak-kanak untuk mengatasi antara satu sama lain juga mempengaruhi minat kanak-kanak. Contoh sukan yang diminati: Bola sepak (lelaki), Badminton/larian (perempuan).

Kanak-kanak melibatkan diri dengan aktiviti sukan kerana pelbagai sebab serta untuk memenuhi pelbagai keperluan. Bagaimanapun, penglibatan mereka dalam aktiviti sukan tidak kekal lama kerana motif mereka berubah. Inilah di antara punca yang menyebabkan keciciran dalam sukan. Kadar keciciran kanak-kanak dalam aktiviti sukan di Amerika Syarikat di antara umur 10-17 tahun telah meningkat sebanyak 80% (Roberts, 1993). Ini kerana kehendak mereka yang sentiasa berubah-ubah itu tidak dapat dipenuhi. Berdasarkan kajian, terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan keciciran dalam aktiviti sukan iaitu perbandingan komparatif, persepsi tentang kekurangan kemampuan dan tahap intrinsik yang rendah serta stres pertandingan (Anshel, 1997).

(a)    Perbandingan komparatif bermaksud membandingkan diri dari segi    kemampuan motor dengan orang lain dan ini sering dilakukan oleh kanak-kanak pada peringkat usia 7-12 tahun. Oleh kerana kekurangan pengalaman serta kurangnya penglibatan dalam aktiviti sukan pada usia yang muda, kanak-kanak ini terpaksa menggunakan perbandingan komparatif sebagai kayu ukur status kemahiran motor meraka. Sebagai perbandingan jika kemahiran yang ingin dilakukan boleh dilakukan oleh ramai kanak-kanak yang lain, maka tahap kemahiran motor individu tersebut bolehlah dianggap sebagai sama dengan orang lain. Bagaimanapun jika kemahiran yang ingin dilakukan hanya boleh dilakukan oleh beberapa orang kanak-kanak yang lain, maka tahap kemahiran motor individu ini boleh dianggap tinggi (Shaharudin Abd. Aziz, 2009).

Perbandingan boleh dilakukan dengan pelbagai cara, oleh sesiapapun dan dalam pelbagai situasi. Dalam konteks sukan yang biasanya dimainkan dalam keadaan terbuka, maklumbalas dari penonton, jurulatih ibu bapa serta rakan-rakan sepasukan menjadi kayu pengukur perbandingan kanak-kanak terbabit. Maklum balas yang diberikan sama ada secara verbal atau bukan lisan memberikan kesan yang positif dan juga negatif  kepada kanak-kanak tersebut. Input yang diberikan secara lisan seperti kata-kata semangat dan pujian merupakan rangsangan positif, manakala ejekan, celaan serta komen-komen yang pedas merupakan rangsangan yang negative. Begitu juga maklum balas lisan dan bukan lisan boleh menghasilkan kesan yang sama kepada kanak-kanak tersebut. Kesan sebenar mesej lisan dan bukan lisan ini dapat dilihat apabila kanak-kanak tersebut mentafsirkan apa yang dilihat dan yang didengarinya. Kesan inilah yang akan menyebabkan mereka ingin meneruskan penglibatan atau menarik diri dari sukan. (Shaharudin Abd. Aziz, 2009).

(b)    Persepsi tentang kekurangan kemampuan diri juga merupakan salah satu sebab kanak-kanak menarik diri dari aktiviti sukan. Ini adalah kerana mereka mengatributkan kegagalan kepada kekurangan dari segi kemampuan diri mereka. Justeru itu, apalah gunanya meneruskan penglibatan dalam aktiviti tersebut jika mereka sudah tahu (persepsi diri) bahawa mereka tidak mempunyai kemampuan untuk berjaya dalam aktiviti tersebut.

(c)    Faktor-faktor penarikan diri kanak-kanak dalam sukan adalah dipengaruhi    oleh kekalahan dan kekecewaan. Adakalanya seseorang kanak-kanak yang kurang kemahiran juga tidak diterima bermain dalam pasukan, ini juga menyebabkan kanak-kanak menarik diri dalam sukan. Dalam sesuatu permainan keseronokan adalah faktor penting membuatkan terus bermain namun ada juga permainan di mana aktivitinya amat membosankan dan seterusnya tidak menyeronokan.

Tekanan daripada guru mahupun jurulatih terhadap kanak-kanak selalunya memberi kesan jangka pendek dan jangka panjang. Mungkin pelajar tidak minat terhadap terhadap guru atau jurulatih garang dan tidak prihatin. Sekiranya berlaku tidak berlaku perubahan dalam kepimpinan guru mahupun jurulatih besar kemungkinan mematikan terus minat kanak-kanak dan seterusnya kanak-kanak menarik dalam sukan. Di samping sebab-sebab di atas faktor kesihatan tidak dapat dinafikan sebagai penyumbang besar mengapa kanak-kanak menarik diri dalam sukan.

Bagi mengatasi penarikan kanak-kanak dalam sukan, maka kanak-kanak perlu didedahkan dan disedarkan tentang kepentingan menyertai sukan. Salah satu perkara yang boleh diterapkan dikalangan kanak-kanak ialah mementingkan kesungguhan dan bukannya kemenangan. Didapati bahawa sebilangan kecil kanak-kanak menarik diri akibat kekalahan dalam sesuatu pertandingan dan terusnya. Dalam menarik minat kanak-kanak guru atau jurulatih boleh mengarahkan murid yang mahir untuk membantu murid-murid yang kurang mahir. Selain daripada itu sesuatu permainan perlulah menyeronokkan, maka aktiviti dalam sesuatu permainan perlulah dipelbagaikan. Akhir sekali guru haruslah bersifat lembut tetapi tegas dan prihatin kepada murid dalam menarik minat mereka menyertai dan mengekalkan mereka terus bersukan.

Peranan Rakan Dalam Sukan Kanak-Kanak

Satu kajian yang dijalankan oleh Student Social Support Scale menyatakan, kanak-kanak merasakan rakan mereka adalah penting kepada mereka. (Malecki & Elliott, 1999).

Berikut adalah peranan rakan dalam sukan:
(a) Sebagai alat perbandingan dengan dirinya sendiri.
(b) Sebagai panduan apabila menilai diri (kemahiran, kebolehan dan lain-lain)
(c) Agen peneguhan seperti beri sokongan dan nasihat (Charlesworth & Hartup, 1967)
(d) Tempat meluahkan perasaan dan menyelesaikan masalah.

Kesan Tekanan dan Burnout  Dalam Sukan Kanak-Kanak

Tekanan

Tekanan adalah suatu keadaan yang dipengaruhi oleh gangguan mental dan emosi yang boleh mewujudkan keadaan tidak selesa atau tegang jika situasi tersebut  tidak mampu ditanggung oleh tubuh badan. (Morstt & Furst, 1979)
Terdapat beberapa sebab berlakunya tekanan. Sebahagian besar adalah disebabkan oleh masalah peribadi, rakan sebaya dan juga berpunca akibat sikap guru. Kesan yang dikenalpasti akibat tekanan adalah prestasi merosot, minat semakin kurang, penarikan diri dari sukan dan kurang motivasi dalam melakukan sesuatu perkara contohnya dalam bidang sukan. Cara mengatasi cuba bantu selesaikan masalah murid, sentiasa beri motivasi dan kata perangsang kepada murid dan cuba elak dari memberi tekanan yang melampau kepada murid.

Burnout

Kepenatan yang ekstrim kerana melakukan kerja yang terlalu banyak atau latihan berat yang terlalu kerap. Burn out dikaitkan juga dengan kurang rehat. Kesannya ialah menggangu kesihatan, risiko keselamatan, penarikan diri, minat kurang, prestasi merosot, motivasi menurun .

Maslach (1982) menyatakan burnout merupakan satu sindrom keletihan emosi, depersonalisasi dan pengurangan pencapaian peribadi. Burnout juga berlaku apabila pekerja mengalami tekanan dan tidak mampu lagi untuk berinteraksi dengan orang yang berhubung dengan mereka dan persekitarannya.

Cara mengatasi
Rancang sesi latihan dengan baik. (pelbagaikan jenis latihan)
Beri rehat yang cukup kepada murid.
Bawa murid melakukan aktiviti rekreasi dan kesenggangan.
Kuatkan mental murid.

Pendekatan Latihan Berkesan Ke Atas Atlet Kanak-Kanak
Berikut adalah pendekatan latihan yang dicadangkan ke atas atlet kanak-kanak:
(a) Latihan meningkatkan stamina
(b) Teknik permainan
(c) Undang-undang permainan
(d) Skil permainan
(e) Bengkel/motivasi sukan
(f) Latihan perlawanan persahabatan dengan sekolah luar.
(g) Menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh agensi luar.
(h) Rekreasi dan kesenggangan

Peranan Ibu Bapa Dalam Sukan Kanak-kanak

Berikut adalah peranan ibu bapa dalam sukan kanak-kanak:
(a) Beri sokongan
(b) Hadir ke temasya sukan sekolah dan bersorak untuk anak.
(c) Dorongan dan nasihat
(d) Beri motivasi jika kalah
(e) Bantuan kewangan dan alatan sukan
(f) Tidak terlalu mencampuri kehidupan bersukan anak.
(g) Beri kebebasan kepada anak untuk memilih sukan yang diminatinya.

 Kesimpulan

Seseorang kanak-kanak yang mempunyai perkembangan psikologi yang baik dapat melibatkan diri dalam sukan dan rakan-rakannya. Kanak-kanak juga perlu didedahkan tentang peranan mereka dalam membantu rakan-rakan yang lain. Di samping itu, kanak-kanak juga perlu diajar cara-cara untuk menangani stres supaya tidak berlanjutan. Malah ibu bapa juga disarankan untuk mengambil berat dan memberi galakan kepada anak-anak mereka semasa bersukan ataupun membuat latihan yang telah dirancang untuk mereka.

1 Comments

  1. sangat berguna info ini cikgu.. saya cuba terapkan dalam perkhidmatan saya Psikologi Sukan terhadap kanak di daerah tawau khususnya.

    ReplyDelete

Post a Comment