Pengenalan


Personaliti berasal dari perataan Latin,`persona’ yang bermaksud topeng yang digunakan oleh penggiat seni semasa sesi pementasan. Asal usul perkataan ini lahir daripada pelakon-pelakon Yunani purba yang memakai topeng-topeng menutup dan menyorokkan identiti mereka agar pelakon tersebut dapat mewakili watak yang perlu dilakonkan. Secara ringkas personaliti boleh diertikan sebagai sifat-sifat dan ciri-ciri yang ditunjukkan oleh seseorang yang menggambarkan diri dan identiti masing-masing.Eyseck (1977), berpendapat personaliti merupakan satu organisasi watak, perangai, intelek, dan bentuk badan yang akan menentukan penyesuaiannya yang unik terhadap persekitaran. Roger (1951) pula berpendapat personaliti merupakan sifat-sifat yang dimiliki oleh seseorang individu, seperti cara berfikir, dan beremosi yang membolehkan dirinya berbeza dengan orang lain. Menurut ahli psikologi, Hollander (1978), personaliti adalah jumlah keseluruhan ciri individu yang membuatkan individu itu unik. Ini menunjukkan setiap individu ada keunikan tersendiri yang mempamerkan identiti mereka.

Definisi dan Pelbagai Pendekatan Personaliti dan Sukan

Dengan memahami sikap serta perlakuan pelajar, adalah lebih memudahkan proses pembelajaran serta peningkatan prestasi pelajar tersebut.Allport (196I),menyatakan bahawa konsep personaliti sebagai organisasi dinamik sistem psiko-fizikal setiap individu yang menentukan tingkah laku dan pemikiran. Sementara definisi oleh Pervin (1996), adalah; “Personality is the complex organization of cognition, affects, and behaviors that gives direction and pattern (coherence) to the person’s life. Like the body, personality consists of both structures and processes and reflects both nature (genes) and nurture (experience). In addition, personality includes the effects of the past, including memories of the past, as well as constructions of the present and future”.

Seterusnya menurut Menninger (1930) menyatakan personaliti ialah apa-apa yang sebenarnya yang menghuraikan tentang seseorang. Definisi ini mengandaikan tentang keadaan biologi dan fisiologi seseorang dan ia juga dianggap sebagai terlalu ringkas .satu definisi yang boleh dikatakan lebih menyeluruh telah diberikan oleh Waren & Carmichael (1930). Menurut mereka personaliti ialah organisasi dinamik dalam diri individu yang terdiri daripada sistem psikologikal dan fizikal yang menentukan penyesuaian kepada persekitarannya.

Selain daripada definisi yang telah diberikan di atas, terdapat beberapa definisi lain tentang personaliti. Misalnya Allport (1937), telah mengumpulkan lebih kurang lima puluh definisi yang boleh dikatakan di sini ialah definisi yang berlainan ini menggambarkan beberapa perkara. Pertama ialah kaedah yang digunakan oleh ahli psikologi berlainan antara satu sama lain dalam mengkaji personaliti. Kedua,setiapsatu definisi tersebut tidak boleh dikatakan salah atau betul.

Kajian tentang personaliti boleh merangkumi aspek biokimia dan fisiologi yang mempengaruhi tingkah laku. Beberapa definisi personaliti meliputisemua proses dalaman bagi seseorang kepada tingkah laku yang boleh diperhatikan dalam konteks hubungan antara individu. Setiap definisi tersebut merujuk kepada jenis tingkah laku yang berlainan dan penggunaan kaedah penyelidikan yang berlainan. Definisi tersebut mungkin menghuraikan tentang apa-apa yang berlaku dalam diri individu atau bagaimana individu berinteraksi sesama mereka.

Setelah meninjau beberapa definisi tentang personaliti, Allport (1961) telah membahagikan personaliti kepada tiga bahagian: kesan, luaran, struktur dalaman dan pandangan positif. Pendekatan kesan luaran dalam definisi personaliti sama maksudnya dengan topeng, ia merujuk kepada ciri-ciri tertentu yang ada pada seseorang sebagaimana ia diamati atau dilihat oleh orang lain, iaitu seseorang kepada orang lain. Pendekatan struktur dalaman pula tidak melihat personaliti sebagai topeng semata-mata tetapi merangkumi struktur psikologi atau psiko-fizikal..Pendekatan ini melihat personaliti sebagai sistem, trait atau ciri pendekatan ini dikritik kerana ciri dalaman tidak boleh diperhatikan dan oleh sebab itu tidak boleh dikaji secara saintifik.

Pendekatan ketiga, iaitu pandangan positif merujuk kepada operasi sebenar seperti skor yang diperoleh dalam ujian personaliti. Personaliti sebagai satu konstrak dan sistem yang kompleks. Setiap satu komponen personaliti dianalisis daripada pemerhatian tentang tingkah laku dan setiap satu daripadanya merupakan satu konstruk.

Mengukur Personaliti

Apabila sesuatu kajian dilakukan dengan tepat dan berkesan serta menggunakan soal selidik atau inventori yang sesuai ia memberikan banyak maklumat yang berguna tentang kesan serta peranan personaliti dalam sukan dan aktiviti kecergasan yang lain. Menurut Smith (1989), menyatakan inventori-inventori personaliti dianggap sebagai “Ujian Objektif” kerana ia mempunyai dua ciri berikut:
  • Inventori personaliti yang dibentuk dan hasil-hasil skor adalah  berdasarkan ciri-ciri individu yang memberi gerak balas.
  • Ia menggunakan rangsangan yang jelas dalam bentuk soalan “YA” atau  “TIDAK” tentang tret-tret peribadi dan tingkah laku subjek.
Bagaimanapun, kebanyakkan dari soal selidik serta inventori yang digunakan untuk mengukur dan menilai personaliti dalam bidang psikologi sukan ini diambil terus dari soal selidik personaliti dari bidang psikologi tulen (Weinberg & Gould, 1999). Justeru, mereka yang menggunakan soal selidik seperti ini diminta agar berhati-hati dalam membuat kesimpulan tentang peranan personaliti dalam sukan.

Kajian Personaliti Di Dalam Sukan dan Senaman

Menurut Ismail dan Young (1973), individu yang mengikuti program kecergasan menunjukkan peningkatan dari segi kecergasan diri dan kesihatan psikologi khususnya dari segi keyakinan diri, lokus kawalan serta daya imaginasi. McDonald dan Hodgdon(1991), menjelaskan bahawa kebanyakkan kajian antara senaman dan perubahan personaliti membuktikan wujudnya perkaitan tersebut terutamanya dalam kepuasan kendiri, kecerdasan dan keyakinan diri. Aspek kendiri juga dapat ditingkatkan melalui senaman fizikal. Fox (1997) berpendapat senaman juga dikaitkan dengan peningkatan konsep kendiri, penghargaan kendiri dan kemampuan diri. Peningkatan ini boleh berlaku kerana perubahan fizikal yang dilalui oleh individu yang melibatkan diri dengan program senaman seperti perubahan saiz otot serta bentuk tubuh badan turut menjadi penyumbang kepada pembentukan imej kendiri yang positif.

Dalam kehidupan seharian, kita tidak dapat menolak hakikat bahawa kita terlalu sukar untuk merealisasikan diri kita untuk menjadi manusia serba sempurna. Kita hanya boleh membentuk diri kita sebagai insan yang berfungsi sepenuhnya. Ini tidak bermakna kita tidak mengalami cacat cela kerana manusia itu dibekalkan naluri dan sifat leka dan lalai (Sidik Baba, 1992) dalam Kamal Abd Manaf (1996). Dengan ini, kajian terhadap personaliti introvert dan ekstrovert mempengaruhi pelajar dalam akademik akan diutarakan berdasarkan kepada beberapa persoalan yang akan ditimbulkan dalam persoalan kajian. Umumnya, personaliti merupakan aspek yang penting bagi melambangkan dalaman seseorang individu.

Personaliti ini merujuk kepada segala keperibadian yang ada pada diri seseorang yang mana untuk mengetahui personaliti, kita perlu menyuluh kepada diri individu itu sendiri. Hal ini kerana, personaliti yang ada pada manusia adalah baik, positif dan konstruktif iaitu lebih cenderung kepada penyempurnaan kendiri yang dianggap sebagai motif utama bagi semua individu.

Memastikan aspek personaliti ini, boleh kita anggap bahawa individu akan mengawal diri sendiri jika disediakan suasana yang sesuai. Manusia akan memperkembangkan potensi yang maksimum secara mudah dan akan tersisih daripada perasaan bimbang dan dapat menyesuaikan diri sejajar dengan tuntutan masyarakat. Menurut Chiam (1992), pelajar-pelajar akan mengalami kekecewaan disebabkan tidak mendapat galakan dan rangsangan yang mencabar dalam bilik darjah khususnya daripada aspek komunikasi kerana adanya sekatan daripada guru atau sifat autokratik guru. Perkara ini amat berkait rapat dengan personaliti seseorang pelajar itu. Keadaan ini menimbulkan perasaan bosan yang turut menjurus kepada personaliti introvert di kalangan pelajar.

Chiam (1992) juga menjelaskan lagi bahawa perhatian yang kurang dan tidak sempurna terhadap perkembangan pelajar ini akan memberi kesan negatif kepada konsep kendiri dan mereka terus terperangkap dalam kumpulan yang kurang baik sifatnya. Sementara itu, Khadijah M.Shahid (1992), menjalankan kajian ke atas beberapa personaliti pelajar mendapati bahawa mereka berasa bosan dan kecewa dengan suasana di sekolah kerana kebanyakan guru yang mengajar menggunakan kaedah tradisional, kurang memahami kehendak dan citarasa mereka yang mana lebih kepada komunikasi sehala iaitu tidak di antara pelajar dengan guru.

Sehubungan itu, personaliti terutama watak, perangai, tingkah laku dan cara gaya pembelajaran mereka perlu difahami oleh guru bagi merancang strategi pengajaran yang sesuai. Pelbagai aspek psikologi pelajar hendaklah diberi keutamaan dalam menyusun strategi pengajaran. Oleh yang demikian, tentunya kajian mengenai personaliti di kalangan pelajar pintar cerdas ini harus dilaksanakan bagi membantu guru memahami aspek personaliti pelajar tersebut, dan seterusnya mampu merancang strategi pengajaran yang sesuai dan berkesan.

Meskipun begitu terdapat kajian menunjukkan dapatan yang berbeza antara dapatan luar negara berbanding dalam negara. Sebagai contoh, kajian oleh Noran Fauziah (1988) menunjukkan perbezaan yang jelas di mana guru pelatih perempuan lebih ekstrovert berbanding dengan pelatih lelaki yang mana perkara ini sangat berkait rapat dengan tahap personaliti seseorang itu. Manakala hasil kajian Abd. Rahim (1991) terhadap murid-murid di sekolah rendah, mendapati tiada perbezaan yang besar antara pelajar lelaki dan perempuan dari aspek personaliti ekstrovert-introvert dalam pengaruhnya terhadap pencapaian akademik pelajar.

Hubungan Personaliti Dengan Tingkah Laku Dalam Sukan dan  Senaman Strategi Kognitif dan Kejayaan Atlet Dalam Sukan

Hasil dapatan kajian didapati terdapat perbezaan personaliti antara atlet dan bukan atlet. Atlet didapati lebih berkemampuan untuk berdikari, mempunyai obejktif tertentu dan ekstrovert yang menonjolkan ciri-ciri seperti ’rileks’, suka bercampur, aktif dan ligat, cepat bertindak balas, dan mempunyai ciri-ciri  kepimpinan. Individu yang bukan atlet pula sering menunjukkan ciri-ciri personaliti introvert seperti pasif, pemalu, sensitif, cermat, tingkah laku terkawal dan kurang bersedia untuk menanggung risiko. Beberapa aspek membezakan personaliti seorang atlet dan bukan atlet adalah:

Tubuh Fizikal

Seseorang atlet yang menjalani aktiviti fizikal sudah tentu mempunyai bentuk badan yang lebih menarik dan membantu mereka untuk lebihyakin, berani, aktif dan ligat serta cepat bertindak balas. Bagi individu yang bukan atlet pula kebiasaannya merupakan seorang yang lebih  tenang, bertingkah laku terkawal, cermat dan mementingkan kekemasan dan kebersihan tetapi mudah bimbang dan kurang  berkeyakinan dalam membuat sebarang keputusan.

Sosial

Seseorang atlet kebiasaannya mempunyai pergaulan yang lebih luas dan pengalaman menyertai pertandingan menyebabkan merkea gemar menerima cabaran dan mudah menyesuaikan diri walau di mana jua mereka berada. Seseorang yang bukan atlet kebiasaannya lebih pendiam, suka menyendiri, dan lebih gemar persekitaran yang tenteram.

Mental / Kognitif

Kajian terkini membuktikan wujudnya sedikit perkaitan antara senaman dan kecerdasan (Chodzko-Zajko & Moore,1994: Etnier, Salazar, Lensers, Petruzzello, Han & Nowell,1997). Mereka mendapati senaman yang berterusan dalam jangka masa panjang berkait rapat dengan peningkatan prestasi kognitif. Atlet mempunyai pemikiran yang cerdas, luas, kreatif, inovatif dan berfikiran positif apabila berhadapan dengan masalah. Naluri untuk menang dalam segala apa yang diceburi menyebabkan atlet berusaha untuk menghadapi segala masalah yang datang. Individu yang bukan atlet pula sering bertingkah laku terkawal dan sentiasa berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu dengan tenang dan penuh kesabaran tetapi mereka kurang berani untuk menerima cabaran.

Kesimpulan       

Hakikatnya personaliti merupakan sifat yang dimiliki oleh seseorang individu itu adalah sesuatu yang unik, di mana melibatkan tingkah laku dan cara pemikirannya. Lantas ia akan menjadikan seseorang individu itu ada keunikan tersendiri yang menonjolkan indentiti mereka.

Post a Comment