Disiplin Ilmu dalam Pendidikan Jasmani dan Sukan

1.0 Pengenalan

Tajuk ini menjelaskan kepada anda bahawa Pendidikan Jasmani dan sukan adalah satu bidang yang memerlukan pengetahuan dan aplikasi ilmu dalam melaksanakan aktiviti harian. Dengan pengetahuan dan pengaplikasiannya dalam perlakuan ia dapat meningkatkan prestasi seseorang individu dan juga dapat mengelakkannya daripada kecederaan.

1.1 Hasil pembelajaran

Pada akhir tajuk ini pelajar akan dapat,

i.menyenaraikan aspek keilmuan yang berkait rapat dalam bidang Pendidikan Jasmani dan Sukan.
ii.menjelaskan kepentingan aplikasi bidang sains dalam melaksanakan aktiviti Pendidikan Jasmani dan Sukan.
iii.menyatakan pengetahuan dan aplikasi sains pergerakan dapat membantu meningkatkan prestasi individu

1.2 Isi  pembelajaran

1.2.1 Aspek biologi, psikologi dan sosiologi dalam Pendidikan Jasmani dan sukan

Aktiviti fizikal berasaskan kepada pergerakan tubuh badan yang melibatkan
sistem rangka, sistem respiratori, sistem pencernaan, sistem perkumuhan, sistem peredaran darah, sistem otot dan sistem saraf.  Sistem-sistem ini merupakan asas kepada biologi manusia.  Sistem otot dan rangka amat diperlukan dalam pergerakan motor, contohnya mengangkat dumbell.  Dalam pergerakan ini otot yang digunakan ialah otot bicep dan tricep sementara tulang yang berfungsi ialah tulang radius dan ulna.

Pembelajaran psikologi mempunyai implikasi kepada pengajar-pengajar pelaziman sukan, terutama dalam bidang teori pembelajaran, pembelajaran motor, perkembangan  peribadi dan pandangan terhadap diri sendiri.  Faktor-faktor penting yang mempengaruhi pembelajaran adalah motivasi, kematangan, perbezaan individu, ganjaran dan kesedaran.

Ganjaran yang diberikan di atas kejayaan seseorang ahli sukan dapat meningkatkan motivasi kepadanya untuk meningkatkan prestasi ke tahap yang lebih tinggi.  Kejayaan tersebut boleh menjadi rangsangan kepada orang lain dalam masyarakat.

Pendidikan Jasmani merupakan suatu agen sosialisasi yang penting. Perkembangan sosial adalah mustahak dan kegiatan-kegiatan Pendidikan Jasmani mempunyai potensi untuk mencapai objektif ini. Sifat-sifat kepimpinan, perangai bermoral dan ketekunan merupakan beberapa sifat sosial yang dapat dihasilkan dari program-program Pendidikan Jasmani.

Manusia mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti agar memenuhi keperluan asas, contohnya keperluan makanan mendorong manusia untuk memburu.  Apabila manusia telah dapat memenuhi keperluan-keperluan asas, mereka memerlukan ruang dan peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti fizikal seperti bersukan. Permainan adalah sebahagian penting dalam sesuatu  kebudayaan dan ia menggambarkan kelakuan individu atau kumpulan dalam sesebuah masyarakat.

Manusia memerlukan peluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti permainan terutama kanak-kanak dan belia, kerana terdapatnya unsur-unsur pendidikan di dalam permainan.  Aktiviti-aktiviti mainan memberi peluang kepada murid-murid untuk meniru situasi kehidupan yang sebenarnya, menjadi kreatif dan dapat menonjolkan diri mereka.

Sukan merupakan sebahagian yang penting dalam mana-mana kebudayaan.  Ia merupakan berita penting dan meliputi sebahagian besar akhbar-akhbar, tayangan secara langsung melalui TV tempatan dan antarabangsa yang  mendatangkan keuntungan berjuta-juta ringgit kepada pengusaha-pengusaha, merupakan acara antarabangsa, mempunyai kepentingan sosial, politik, guaman dan pendidikan.


Latihan

1. Senaraikan otot-otot yang terlibat dalam aktiviti menendang bola.

2. Fikirkan bagaimana aktiviti Pendidikan Jasmani, sukan dan rekreasi dapat membantu pertumbuhan ekonomi setempat.


1.1.2 Unsur-unsur sains dalam Pendidikan Jasmani, sukan dan rekreasi

Pada tajuk yang lepas anda telah belajar mengenai sistem tubuh badan manusia.  Untuk menggerakkan badan secara efisyen kita perlu ada pengetahuan dalam bidang sains terutama fizik, mekanik dan biologi. Melalui pemahaman tentang cabang sains yang dikaitkan dengan pergerakan ini dapat memperbaiki taraf pencapaian sukan dan aktiviti fizikal.

Hukum ilmu fizik semula jadi telah mengongkong pergerakan manusia, dengan pengetahuan yang ada kita boleh menyesuaikan dan mengubah teknik serta kaedah latihan untuk kejayaan akan datang. Pergerakan adalah perubahan yang berlaku kepada jasad yang tetap.  Tubuh bergerak dan mengenakan daya pada objek dengan mengecutkan otot.  Apabila rangsangan sampai kepada otot melalui saraf motor, tenaga biologi ditukar kepada tenaga pergerakan mekanik.  Kekuatan atau kelemahan pergerakan bergantung kepada bilangan gentian otot yang diransang.  Apabila tiada pergerakan berlaku, aktiviti otot dikatakan statik manakala aktiviti pergerakan berlaku, aktiviti otot adalah dinamik.  Selain daripada pergerakan otot unsur ilmu fizik lain yang terlibat dalam pergerakan adalah seperti pusat graviti, daya, kerja, kos tenaga, hukum pergerakan dan lain-lain.


-Pusat graviti sesuatu jasad adalah titik di mana jasad bertindak dan di mana
berat jasad itu dapat diperseimbangkan. Pusat graviti adalah berlainan di antara kaum lelaki dan wanita.

-Daya adalah sebarang tindakan yang mengakibatkan pergerakan (dari keadaan
pegun) atau perubahan pergerakan. Tiga faktor daya yang penting adalah magnitud daya, arah daya dan titik di mana daya dikenakan.

-Sistem Tuas – dua daya yang penting dalam tuas ialah daya (usaha) dan daya yang menentang (beban).  Tuas adalah suatu rod yang boleh dipusingkan pada  satu titik yang tetap.  Sistem tuas dapat dibahagikan kepada tiga berdasarkan kepada faktor-faktor berikut:

  • kedudukan daya yang dikenakan (D)
  • kedudukan beban (B)  dan 
  • paksi atau sangga (S)

[ Modul] Download




Post a Comment