Kurikulum Pendidikan Jasmani dan Sukan

1.0 Pengenalan

Tajuk ini dapat mengimbas kembali tentang kepentingan Pendidikan Jasmani sejak dari zaman primitif hinggalah ke hari ini. Perkembangan Pendidikan Jasmani dapat dilihat dengan jelas mengikut kronologi sejak dari zaman primitif, zaman awal purba, zaman Greek purba, zaman renaissance dan seterusnya kepada zaman pertengahan dan abad ke dua puluh. Melalui tajuk ini pelajar juga akan didedahkan kepada fungsi sesuatu pertubuhan sukan antarabangsa dan sumbangannya kepada perkembangan Pendidikan Jasmani.

1.2 Hasil  pembelajaran

Pada akhir tajuk ini pelajar akan dapat,

i.menjelaskan sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani
ii.menjelaskan fungsi pertubuhan dan persatuan sukan serta sumbangannya kepada perkembangan Pendidikan Jasmani.
iii.menyatakan perbezaan prinsip dan falsafah pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani

1.3 Isi pembelajaran

1.3.1 Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani

Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani Kesihatan (PJK) telah diubah menjadi dua mata pelajaran baru iaitu Pendidikan Jasmani (PJ) dan Pendidikan Kesihatan (PK).  Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil.3/98 bertarikh 29 Oktober 1998 telah meluluskan pelaksanaan kedua-dua mata pelajaran ini berkuatkuasa mulai sesi persekolahan 1999.

Kurikulum Pendidikan Jasmani digubal untuk memenuhi keperluan pertumbuhan dan perkembangan individu bagi membentuk masyarakat yang cergas, sejahtera dan produktif.  Kurikulum ini dibahagikan kepada tiga tunjang pembelajaran iaitu kecergasan, kemahiran dan kesukanan.  Tiga tunjang ini membantu mencapai matlamat dan objektif Pendidikan Jasmani.

Murid perlu memahami dan menghayati pengetahuan, kemahiran dan pengalaman Pendidikan Jasmani agar dapat mengamalkan gaya hidup cergas sebagai budaya Malaysia.  Murid diorientasikan dengan ilmu dan amalan Pendidikan Jasmani bagi membentuk sahsiah dan sikap untuk menghadapi cabaran hidup.  Kurikulum Pendidikan Jasmani yang terancang dan persekitaran yang kondusif dapat menggalakkan pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan potensi murid yang optima.


1.3.2 Huraian Sukatan Pelajaran

Huraian sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani adalah bertujuan untuk membantu guru-guru meneliti sukatan dengan terperinci. Butiran mengenai huraian sukatan pelajaran adalah seperti berikut:

a).Huraian sukatan pelajaran disediakan oleh Jawatankuasa Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia, dan salinannya diedarkan kepada setiap sekolah (Rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 25/1998)

b).Pemetaan Huraian Sukatan Pelajaran dibentuk berdasarkan sukatan pelajaran sebagai rujukan guru untuk merancang rancangan pelajaran semester dan tahunan berdasarkan 3 tunjang pelajaran iaitu kecergasan, kemahiran dan kesukanan

c).Setiap guru Pendidikan Jasmani mesti merujuk Huraian Sukatan Pelajaran sebelum merancang pemetaan rancangan tahunan atau semester

d).Pemetaan Huraian Sukatan Pelajaran Bermaksud perincian kandungan kemahiran yang dibentuk berdasarkan 3 tunjang tersebut.

e).Rujuk format Huraian Sukatan Pelajaran (Rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 25/1998)

1.3.3 Pemetaan Rancangan Tahunan / Semester

Setiap guru panitia Pendidikan Jasmani bertanggungjawab menyediakan Rancangan Pelajaran Tahunan/Semester bagi setiap tingkatan yang diajar.  Oleh itu guru berkenaan harus mempunyai pengetahuan dan kemahiran membuat perancangan tahunan/semester sebelum sesi persekolahan bermula.  Perkara-perkara dibawah boleh dijadikan panduan semasa membina Rancangan Tahunan/Semester.

a).Pemetaan rancangan Tahunan/Semester merupakan tanggungjawab guru mata pelajaran dan di bawah penyelarasan guru panitia mata pelajaran di sesebuah sekolah
b).Pemilihan isi kandungan rancangan pelajaran bergantung kepada latarbelakang sesebuah sekolah seperti kemudahan fizikal sekolah, tahap kebolehan murid, matlamat dan objektif
c).Perancangan mesti berdasarkan agihan masa yang telah ditetapkan (rujuk lampiran mengenai agihan waktu)
d).Format pemetaan rancangan pelajaran tahunan/semester perlu mengandungi perkara-perkara seperti minggu, tajuk, aktiviti, objektif, kaedah/strategi, bahan bantu pengajaran dan penilaian


1.3.4 Rancangan Tahunan

Rancangan kerja tahunan merupakan perancangan kurikulum bagi satu-satu tahun tertentu. Rancangan ini menyatakan senarai kemahiran dan strategi pengajaran dan pembelajaran dan jenis aktiviti yang akan dikendalikan. Selain daripada itu peruntukan masa bagi satu unit pembelajaran,penilaian akan dinyatakan. Rancangan perlu diadakan untuk memberi gambaran yang menyeluruh tentang kurikulum yang
disediakan. Selain daripada itu ia juga boleh digunakan sebagai perancangan penggunaan peralatan dan kemudahan yang wujud di sekolah. Ia juga menolong memastikan Pendidikan Jasmani diajar sebagai proses yang  berterusan. Tajuk-tajuk yang mempunyai unsur yang sama boleh disusun supaya mengikut prinsip ansur maju.

1.3.5 Kemahiran Berfikir dalam Pendidikan Jasmani

Pendidikan Jasmani membantu murid menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Mata pelajaran ini memberi peluang kepada murid mengambil bahagian secara aktif, memperoleh pengetahuan dan kemahiran praktikal. Kemahiran berfikir yang terdapat dalam mata pelajaran ini termasuk membuat kategori, menerangkan sebab, mengusul periksa andaian, membuat ramalan, mencipta metafora dan mencipta definisi. Mata pelajaran ini juga mendidik murid membuat keputusan yang bijak dan menyelesaikan masalah.

1.3.6 Nilai murni dalam Pendidikan Jasmani

Nilai murni yang terdapat dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani adalah selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Antara nilai yang diperlu diterapkan  dan diamalkan ialah semangat kesukanan, permainan bersih, tolenrasi, semangat berpasukan, disiplin, berdaya saing, kepemimpinan dan penyertaan.

1.3.7 Penilaian

Penilaian ialah proses mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid secara menyeluruh berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Penilaian merupakan sebahagian dari proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan secara berterusan.  Penilaian mata pelajaran ini dirancang dikendalikan oleh guru peringkat sekolah.  Instrumen penilaian dibina dan ditadbir oleh guru.  Penilaian boleh dibuat secara pemerhatian, penulisan dan lisan.  Hasil dari penilaian digunakan untuk tindakan susulan bagi meningkatkan pembelajaran murid dan memperbaiki pengajaran guru.  Pelaporan perlu dibuat di peringkat sekolah bagi memberi maklum balas kepada murid, ibu bapa dan guru lain.

1.4 Aktiviti Tutorial

Anda dikehendaki membuat refleksi mengenai kandungan tajuk ini.
Buat folio atau nota ringkas mengenai tajuk-tajuk yang difikirkan berkaitan.

1.5 Rumusan

Selepas meneliti isi tajuk ini anda harus boleh memahami kurikulum dan sukatan Pendidikan Jasmani serta bagaimana perancangan tahunan, dan harian  dapat membantu dalam pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.


Post a Comment