Pendekatan, Strategi, Kaedah dan Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Jasmani

1.0 Pengenalan

Tajuk ini akan membincangkan berkaitan pendekatan, kaedah, teknik dan strategi pengajaran Pendidikan Jasmani yang digunakan oleh guru.  Terdapat banyak pendekatan, kaedah, teknik dan strategi dalam pengajaran namun dalam tajuk ini kita akan membincangkan topik penting yang berkaitan.  Pelajar harus mencari sumber lain untuk menambah pengetahuan dalam topik berkenaan.


1.2 Hasil pembelajaran

Pada akhir tajuk ini pelajar akan dapat,

i. mengenalpasti definisi pendekatan, strategi, kaedah dan teknik dalam Pendidikan Jasmani
ii. merancang strategi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani berasaskan kepada pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran


1.3 Isi pembelajaran

1.3.1 Sejarah Perkembangan Pendekatan Pengajaran.

Pengajaran Pendidikan Jasmani menitikberatkan komponen kecergasan dan telah berubah mengikut perkembangan masyarakat yang berkembang maju maka kaedah pengajaran terpaksa berubah.  Oleh itu wujudlah gaya arahan yang mementingkan rangsangan tindakbalas iaitu Pendekatan Tradisional. Pendekatan arahan ini masih wujud dan diamalkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani di Malaysia.

Pada masa kini suatu pendekatan baru mula muncul menyahut cabaran masyarakat moden yang progresif.  Pendekatan Humanistik meresap masuk dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani dan menjadi popular.  Di Malaysia pendekatan Humanistik dan Tradisional digabungkan.  Selain itu Pendekatan Tingkahlaku dan Pendekatan Sistem ada dijalankan di Malaysia.

Pendekatan Humanistik menekankan perasaan seseorang itu terhadap pengalaman pembelajaran.  Fokus ditumpukan kepada seseorang pelajar dan memberi peluang untuk penglibatan individu secara mendalam.  .Pembelajaran adalah melalui pengalaman.di mana pelajar digalak untuk bertindak sendiri untuk menemui sesuatu.  Pendekatan ini mementingkan pelajar sebagai individu yang berpotensi dan menitikberatkan pembangunan sosial dan emosi individu.

Mengikut Hellison (1973) dalam bukunya Humanistic Physical Education terdapat empat matlamat yang boleh menolong seseorang guru untuk membentuk cara pengajaran Pendidikan Jasmani ke arah kemanusiaan iaitu penghargaan diri (self esteem), merealisasikan diri (self-actualization), kefahaman diri (self-understanding) dan pertimbangan sosial (social consideration).

Pendekatan Tingkahlaku menumpukan perhatian kepada pemilikan kandungan mata pelajaran.  Ia muncul dari aplikasi psikologi operan (operant psychology) yang dipelopori oleh Skinner (1974).  Pendekatan ini menggunakan penguasaan isi kandungan mata pelajaran sebagai pengukur kejayaan pengajaran. Skinner (1974) mencadangkan tiga perkara untuk interaksi antara tingkahlaku dan persekitaran iaitu ketika bila tingkahlaku berlaku, tingkahlaku itu sendiri dan aktiviti pengukuhan.  Matlamat pendekatan  ini ialah untuk membentuk tingkahlaku terakhir yang boleh diperhati dan dinilai.  Aplikasi prinsip psikologi operan ini mencipta suatu alat untuk Pendidikan Jasmani mencapai matlamat bertanggungjawab.

Pendekatan Sistem pula menganggap proses pengajaran pembelajaran melibatkan prosedur langkah demi langkah.  Pendekatan ini digunakan oleh guru untuk menunjukkan langkah yang digunakan oleh seseorang guru untuk membawa perubahan  kepada tingkahlaku.  Ciri penting pendekatan ini ia sangat produktif dan ia menunjukkan pertalian antara komponen-komponen yang merangkumi seluruh sistem. Menurut Straub(1976) menyenaraikan sepuluh proses yang terlibat dalam sistem ini iaitu mengenal pasti matlamat, analisis pengajaran, mengenalpasti kemahiran kemasukan pelajar, pembangunan objektif tingkahlaku, pembangunan alat penilaian, rekabentuk strategi pengajaran, pemilihan media, pembangunan atau pemilihan bahan pengajaran dan penilaian formatif.


1.3.2 Definisi  Pendekatan, Kaedah, Teknik dan Strategi

(a). Strategi

Strategi Ialah merupakan satu penentuan dan perancangan kaedah dan teknik
untuk mencapai objektif jangka panjang. Konsepnya adalah berteraskan kepada kebijaksanaan memilih pendekatan, kecekapan merancang kaedah dan teknik serta berasaskan objektifnya

(b). Pendekatan 

Pendekatan  merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran diajarkan berdasarkan kepada objektifnya (Edward M. Anthony 1963).  Ianya merupakan satu set andaian yang saling berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur-unsur aksiomatik (kenyataan yang dianggap benar tanpa memerlukan sebarang bukti atau alasan).

Model pembelajaran diperlukan sebagai rujukan untuk menentukan pendekatan yang dijalankan sesuai digunakan dan mendatangkan keberkesanan.  Pendekatan ini berteraskan kepada prinsip-prinsip pengajaran dan pembelajaran.

Semasa pengajaran dan pembelajaran seseorang guru boleh menggunakan kaedah-kaedah yang telah dipelajari.  Kaedah yang dipilih haruslah bersesuaian dengan tahap kognitif dan psikomotor pelajar.  Bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran dicadangkan guru mengaplikasikan strategi, kaedah, teknik dan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan perkembangan murid.  Pendekatan pengajaran berpusatkan guru, pelajar dan berpusatkan bahan seperti penggunaan ICT.

(c). Kaedah

Kaedah merupakan satu tatacara atau organisasi bagaimana aktiviti pengajaran pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan. Ia merupakan satu siri tindakan guru yang sistematik untuk mencapai objektf pembelajaran khusus dalam jangka pendek.  Ianya juga adalah sebagai satu cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dan langkah-langkah penyampaian yang tersusun. Mengikut Edward, M.A. (1963),  kaedah merujuk kepada satu ikhtiar keseluruhan yang dikehendaki dalam satu set prosedur yang tersusun berdasarkan kepada sesuatu pendekatan yang dipilih

Jenis kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sering digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Pendididikan Jasmani adalah

i. Kaedah Tradisional

Ia meliputi:

  • Tugasan membaca buku teks
  • Kuliah
  • Mengucap dengan kuat
  • Tumpuan kepada perbendaharaan
  • Laporan secara lisan oleh murid
  • Mengkaji semula(riview)
  • Ujian,kuiz dan peperiksaan


ii.Kaedah  Inkuiri (Penemuan)

Kaedah Inkuiri (Penemuan) yang menekankan kepada 5 prosedur iaitu:

P1- Kenal pasti masalah
P2- Rancang penyelesaian
P3- Kumpul maklumat
P4- Buat tafsiran
P5- Buat kesimpulan

iii. Kaedah kumpulan


  • perbincangan kumpulan
  • kuliah perbincangan
  • kerja jawatankuasa
  • main peranan
  • Sesi Buzz
  • Sumbangsaran
  • Wawancara
  • Konferen


iv.Kaedah penyelesaian masalah

Ia meliputi

  • Projek
  • Tinjauan
  • Penyelidikan atau penjelajahan
  • Tunjukcara  atau demonstrasi
  • Kelab kesihatan
  • Lawatan


v. Kaedah Kolaboratif

Kolaboratif bermakna satu situasi di mana terdapat unsur bermuafakat serta tolak ansur di antara beberapa individu atau pihak untuk menghasilkan sesuatu yang berkesan.  Maka pembelajaran kolaboratif adalah satu kaedah di mana sekumpulan murid bermuafakat serta berganding bahu untuk melakukan aktiviti pembelajaran dengan bimbingan sebaya demi untuk menuju ke arah satu matlamat.  Ahli kumpulan berbincang, merancang dan membuat persediaan untuk menyelesaikan masalah tugasan yang diberikan oleh guru.  Pembelajaran kolaboratif memerlukan semangat setiakawan, saling percaya, mempercayai dan mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi.  Prinsip pembelajaran ini ialah kesebayaan, eksperimen, berinteraksi dan kepimpinan.

vi. Kaedah Koperatif

Unsur- unsur pembelajaran koperatif ialah,

  • Murid terlibat dalam memberi penerangan kepada rakan. Ahli berinteraksi diantara satu sama lain untuk mewujudkan persefahaman  dan kemajuan
  • Murid bekerja sebagai satu kumpulan untuk menyelesaikan satu masalah. Ahli kumpulan bergantung secara positif.
  • Murid belajar secara aktif danbukan hanya bergantung kepada guru. Ahli kumpulan bertanggungjawab untuk pencapaian pembelajaran  kumpulan.
  • Murid tidak terlalu bergantung kepada guru untuk menyelesaikan masalah. Ahli berusaha untuk menyumbangkan idea dan pendapat untuk menyelesaikan masalah atau tugasan yang diberikan.
  • Ahli harus menguasai dan mengamalkan kemahiran sosial seperti ikut giliran,memberi galakan,mendengar,memberi pertolongan,memberi penjelasan untuk membolehkan kumpulan berfungsi dengan efektif.
  • Ahli kumpulan menilai kembali usaha mereka serta kemajuan dari segi pencapaian matlamat.


(d). Teknik

Ialah merupakan kemahiran guru dalam pengelolaan dan pelaksanaan kaedah mengajar bagi  sesuatu  aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Contohnya teknik bercerita, bersyarah, perbincangan, demonstrasi, latih tubi, main peranan, simulasi, sumbang saran dan lain-lain.  Untuk menentukan keberkesanan pengajaran di tahap optimum ianya berteraskan kepada kriteria pencapaian objektif berikut ;

  • Umur
  • Kebolehan
  • Kecerdasan
  • Minat

i. Teknik simulasi

Simulasi merupakan satu situasi yang diwujudkan untuk menyerupai keadaan sebenar dengan cara menggunakan masalah atau kejadian atau peristiwa yang benar wujud dalam kehidupan seharian untuk diselesaikan di dalam keadaan terkawal dan selamat.  Simulasi membolehkan seorang guru menyampaikan secara olok-olok mengenai sesuatu pengalaman yang benar jika sebenarnya dilakukan akan menelan belanja yang besar, memakan masa, merbahaya atau rumit. Salah satu kaedah yang baik untuk menjalankan simulasi ialah dengan menggunakan komputer.

ii. Teknik main peranan

Satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan lakonan spontan mengenai sesuatu situasi atau masalah oleh sekumpulan murid yang dipilih.  Melalui aktiviti ini murid boleh mendapat gambaran dan pengalaman yang baru.  Lakonan ini dilakukan tanpa menggunakan sebarang skrip.  Ia boleh dilakukan secara berstruktur atau tidak berstruktur.

iii. Teknik latih tubi

Merupakan sejenis aktiviti yang memerlukan murid melakukan sesuatu aktiviti secara berulang-ulang sehingga mereka menguasai sesuatu kemahiran atau konsep baru dengan lancar.Aktiviti ini boleh dilakukan secara lisan,amali dan bertulis.Latihan seperti ini boleh memperkukuhkan fakta,konsep dan kemahiran pendidikan jasmani yang dipelajari.

iv. Teknik demonstrasi

Teknik pengajaran yang memusatkan guru atau aktiviti di mana seseorang menunjukkan cara melakukan atau menghasilkan sesuatu di hadapan murid dalam sesi pengajaran.  Murid lain memerhati dan mengenalpasti prosedur dan cara untuk melakukan sesuatu aktiviti tersebut.  Dengan cara ini diharapkan murid dapat melakukan aktiviti ini dengan sendiri secara sistematik, teratur, kemas dan berkesan.
Guru mesti mengetahui dengan jelas demonstrasi yang hendak ditunjukkan serta segala alat kelengkapan yang diperlukan.  Demonstrasi boleh dilakukan dengan menggunakan model hidup, model simbolik dan model persepsi.  Contoh guru boleh mendemonstrasikan cara menendang bola mengikut teknik yang betul di padang.

v. Teknik sumbangsaran

Sumbangsaran adalah satu kaedah untuk mendapatkan alternatif penyelesaian masalah.  Ia juga dikenali sebagai percambahan fikiran di mana semua orang dalam kumpulan dapat menyumbangkan fikiran dan pendapat terhadap sesuatu topik yang dibincangkan.  Untuk membolehkan aktiviti sumbangsaran dijalankan dengan berkesan, prinsip asas  sumbangsaran berikut harus dipatuhi iaitu:

  • topik perbincangan hendaklah sesuai dengan kebolehan murid.
  • kumpulan terdiri dari murid yang pelbagai kebolehan
  • pengerusi dan pelapor kumpulan memainkan peranan untuk    
  •  memastikan perjalanan aktiviti berjalan lancar.
  • setiap ahli diberi giliran untuk memberi pendapat atau cadangan.
  • semua cadangan hendaklah dicatat untuk dibincangkan secara umum.
  • cadangan yang kurang baik atau salah tidak boleh dikritik.




1 Comments

  1. Assalamulaikum.. saya mohon mendapat butiran nama penulis yang memasukkan bahan ini ke dalam blog.. terima kasih

    ReplyDelete

Post a Comment