1.0 Pengenalan

Tajuk ini dapat mengimbas kembali tentang kepentingan Pendidikan Jasmani sejak dari zaman primitif hinggalah ke hari ini. Perkembangan Pendidikan Jasmani dapat dilihat dengan jelas mengikut kronologi sejak dari zaman primitif, zaman awal purba, zaman Greek purba, zaman renaissance dan seterusnya kepada zaman pertengahan dan abad ke dua puluh. Melalui tajuk ini pelajar juga akan didedahkan kepada fungsi sesuatu pertubuhan sukan antarabangsa dan sumbangannya kepada perkembangan Pendidikan Jasmani.

1.1 Hasil pembelajaran

Pada akhir tajuk ini pelajar dapat ,

i.menyenaraikan kronologi perkembangan Pendidikan Jasmani dan sukan di Malaysia
ii.menjelaskan fungsi pertubuhan dan persatuan sukan serta sumbangannya kepada perkembangan Pendidikan Jasmani.


1.2 Isi  Pembelajaran

1.2.1 Sejarah awal Pendidikan Jasmani

Bagaimanakah manusia memulakan penghidupan mereka?

Pada Zaman Primitif dan Purba Awal, aktiviti fizikal merupakan satu aspek yang sangat penting dalam kehidupan seharian.  Manusia perlu berusaha untuk penghidupan mereka dengan berbagai cara sperti berburu untuk mendapatkan makanan. Mereka juga perlu mempertahankan diri dan komuniti dengan membina kekuatan, daya tahan, ketangkasan dan kemahiran menunggang kuda, berenang, memanah serta kemahiran menggunakan senjata, melempar gada dan lembing, memburu binatang, membuat senjata dan sampan, menangkap ikan dan mendayung kolek.  Kanak-kanak pula belajar melalui peniruan dan ajaran ibu bapa, kanak-kanak perempuan diajar menguruskan rumah tangga oleh ibu mereka manakala kanak-kanak lelaki belajar memburu dan menjadi pengembara dari bapa mereka.  Aktiviti tersebut menjadi teras kepada perkembangan pendidikan jasmani di peringkat awal.

Pada zaman Greek Purba pendidikan jasmani telah bermula sebagai satu aktiviti fizikal. Pada masa itu aktiviti fizikal lebih menumpukan kepada pertandingan berbentuk fizikal seperti merejam lembing, gusti, berkuda, memanah dan sebagainya. Orang-orang Yunani (Greek) beranggapan bahawa melalui aktiviti fizikal mereka dapat membina kesempurnaan fizikal serta dapat  menyatupadukan rakyat.

Di negara China perkembangan Pendidikan Jasmani tertumpu kepada hal-hal agama dan intelektual. Bagi masyarakt bangsawan di negara China, anak-anak muda melibatkan diri dalam muzik, tarian, seni pertahanan diri, memanah, gusti, tinju, bola sepak, tarik tali bulu tangkis dan layang-layang. Kepercayaan orang China tentang penyakit yang disebabkan oleh kekurangan aktiviti fizikal telah memperlihatkan kumpulan-kumpulan gimnastik dan kung fu dipergiatkan.

Masyarakat di India pula mementingkan kehidupan berasaskan agama.  Namun begitu beberapa bukti menunjukkan bahawa aktiviti fizikal dijalankan berasaskan kepada aktiviti membaling bola, lumba kereta kuda, menunggang kuda, bertinju, berpedang, gusti dan menari.

Latihan

Buatkan perbandingan di antara aktiviti-aktiviti fizikal yang dijalankan di negara-negara di zaman Greek, China dan India dengan aktiviti-aktiviti fizikal yang dijalankan pada zaman Primitif dan Purba Awal

1.2.2  Pendidikan Jasmani, sukan dan rekreasi di abad ke 20

Pembentukan Jawatankuasa  Olimpik  Antarabangsa (International Olympic Committee) pada awal abad ke 20 adalah bertujuan untuk mengawal dan melaksanakan Pendidikan Jasmani di sekolah-sekolah awam dan institusi-institusi pengajian tinggi, serta menaikkan taraf dan memperbanyakkan projek-projek Pendidikan Jasmani dan sukan.  Melalui jawatankuasa tersebut, banyak permainan-permainan popular seperti bola keranjang, aktiviti-aktiviti olahraga diberi tumpuan utama. Dengan berkembangnya era pemikiran yang positif banyak negara seperti German dan  Czechoslovakia telah memperbanyakkan dan memperluaskan kegiatan Pendidikan Jasmani dan memberi tumpuan terhadap gimnastik, aktiviti berkhemah, berenang, menyelamatkan nyawa dan lain-lain.

Bermula daripada abad ke 20, program-program Pendidikan Jasmani di sekolah menengah dan universiti diwajibkan. Dengan itu maka tertubuhnya kolej-kolej Pendidikan Jasmani bertujuan untuk melahirkan guru-guru yang mahir dalam aktiviti sukan dan rekreasi. Secara tidak langsung instiutsi-institusi ini  bertanggung jawab bagi menentukan taraf dan mengawal aktiviti-aktiviti sukan di sekolah.

Trenda ini diikuti oleh negara-negara di benua lain seperti United Kingdom, Australia, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, dan seterusnya ke kawasan Asia.
Di Asia, khususnya di negara China dan Jepun aktiviti-aktiviti bercorak bela diri seperti judo, gusti  dan  lawan pedang mula diperkenalkan. Sementara di India aktiviti yoga yang merupakan sistem renungan keagamaan juga melibatkan beberapa pergerakan secara fizikal, bertujuan untuk mengekalkan kesihatan seseorang menjadi sangat popular iaitu

Di Asia Barat pula  negara seperti Turki, Iraq, Lubnan, Afghanistan dan Israel masing-masing menubuhkan pasukan permainan yang popular di kalangan masyarakat. Sukan seperti bola tampar, bola keranjang, gimnastik, gimrama dan bola sepak.

Di negara-negara Eropah seperti Sweden, German dan England, aktiviti fizikal lebih ditumpukan kepada pergerakan-pergerakan asas gimnastik. Di German telah memperkenalkan program ‘Gymnastics for the young’ dan ‘games’ yang menyumbang kepada Pendidikan Jasmani moden. Latihan asas ketenteraan juga menjadi penyumbang kepada perkembangan aktiviti fizikal dan seterusnya menjadi penggerak kepada perkembangan pendidikan jasmani.

Tugasan:

Gunakan laman web  www/http:IOC.com untuk mencari maklumat mengenai International Olympic Commitee dan senaraikan jenis-jenis sukan yang dipertandingkan dalam sukan Olimpik.


1.3.3  Perkembangan Pendidikan Jasmani dan sukan di Malaysia

Pendidikan Jasmani di Malaysia mula diajar di sekolah vernakular China, di Melaka pada tahun 1815. Pada tahun 1819, Pendidikan Jasmani diajar di tiga buah sekolah di Singapura, manakala pada tahun 1856 pelajaran pendidikan jasmani diajar di ‘Special Malay Class’ di Singapura di bawah Kerajaan British.

Penyediaan sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani telah dibuat sejak 1930-an berdasarkan pada sukatan latihan fizikal sekolah-sekolah di England.  Pada tahun 1946, Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak telah menerbitkan sukatan latihan jasmani.  Sukatan ini telah digunakan pada tahun 1950-an setelah dibuat penyesuaian dan pindaan.

Mulai tahun 1952, guru-guru tempatan telah dihantar ke luar negara dilatih sebagai guru.  Mereka mempelajari Pendidkan Jasmani sebagai satu mata pelajaran di Kirby, dan Brinsford, England.

Pendidikan Jasmani mula diberi penghargaan pada tahun 1960 apabila Maktab Perguruan Ilmu Khas memulakan Kursus Tambahan Setahun Pendidikan Jasmani untuk guru-guru lelaki sahaja dan diperluaskan kepada kaum wanita tahun berikutnya. Sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan telah dikaji dan disiapkan pada tahun 1966. Pada tahun 1971 sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani disemak semula dan dikeluarkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Perkembangan sukan dapat dilihat dengan kedatangan askar-askar British ke Malaya semasa zaman penjajahan. Mereka memperkenalkan permainan-permainan seperti ragbi, kriket, bola sepak, hoki, badminton dan lain-lain. Persatuan-persatuan sukan di Malaysia telah ditubuhkan untuk mengawal dan mengendalikan aktiviti-aktiviti sukan tersebut, antaranya ialah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) dan lain-lain.


Kementerian Belia dan Sukan memperkenalkan Sukan Massa melalui program Malaysia Cergas, Rakan Muda, Seribu Satu Gelanggang dan sebagainya.  Aktiviti yang dirancang memberi peluang kepada masyarakat yang tidak berpeluang menyertai sukan berprestasi tinggi bersukan sebagai satu aktiviti rekreasi.


1.3 Aktiviti Tutorial

1. Nyatakan aktiviti  yang dijalankan di tempat anda di bawah program rakan muda
 
2. Susunkan secara kronologi perkembangan Pendidikan Jasmani, sukan
dan rekreasi di Malaysia


2.4 Rumusan

Tajuk ini memberi gambaran tentang perkembangan Pendidikan Jasmani di dunia dan di Malaysia.  Diharap ia dapat menimbulkan kesedaran di kalangan pelajar tentang kepentingannya untuk pembangunan negara dan individu.

Post a Comment